oleh GegarAmerika

GegarAmerika mengalu-alukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai langkah sementara yang telah dikemukakan oleh Afrika Selatan dalam tuntutannya menentang Israel atas serangannya ke atas Gaza yang melanggar Konvensyen Genosid 1948. Namun, GegarAmerika berasa kecewa dengan kegagalan mahkamah antarabangsa itu untuk mengarahkan gencatan senjata dengan serta-merta. Seramai 174 orang warga Palestin di Gaza telah dibunuh oleh tentera rejim zionis Israel dalam tempoh 24 jam sejak keputusan ICJ.

GegarAmerika dengan tegasnya menganggap tindakan Israel di Gaza sebagai serangan terhadap rakyat Palestin yang secara jelas dan nyata merupakan jenayah penghapusan kaum (genosid). Keputusan ICJ telah gagal memihak kepada desakan Afrika Selatan untuk segera menguatkuasakan gencatan senjata sepenuhya di Gaza.

Keputusan ICJ telah gagal mewujudkan mekanisme penguatkuasaan yang utuh, sebaliknya hanya mengkehendakkan Israel melapor kepada mahkamah dalam jangka masa satu bulan. Israel telah berulang kali mencabuli kedua-dua ketetapan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai perbuatannya; dan tiada bukti sejarah yang menunjukkan bahawa keganasan berleluasa Israel di Semenanjung Gaza akan terhenti kerana keputusan mahkamah ini. Pertanyaan kami kepada ICJ, di manakah keadilan dengan membenarkan penindas menguatkuasakan keputusannya secara sendiri?

GegarAmerika ingin menekankan bahawa ICJ telah gagal membuat keputusan yang memihak kepada langkah-langkah tertentu yang dituntut Afrika Selatan, termasuk dan tidak terhad kepada:

  • Israel hendaklah menggantung operasi ketenteraan di Gaza dengan segera;
  • Israel hendaklah mengambil semua langkah wajar untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza;
  • Israel hendaklah mencegah pengusiran paksa rakyat Palestin dari kediaman mereka;
  • Israel hendaklah memberhentikan sekatan terhadap akses kepada makanan dan minuman yang mencukupi.

Walau bagaimanapun, kami memuji mahkamah di atas keputusan mereka dalam meluluskan sebahagian daripada langkah-langkah sementara yang diusulkan, khususnya mengangkat Perkara II dalam Konvensyen Genosid, yang mencegah perlakuan-perlakuan berikut:

(a) membunuh ahli-ahli kumpulan;
(b) mengakibatkan kecederaan badan atau mental ke atas ahli-ahli kumpulan;
(c) dengan sengaja mengenakan keadaan hidup ke atas kumpulan yang khusus dengan niat membawa kemusnahan fizikal secara menyeluruh atau sebahagiannya; dan
(d) mengenakan langkah-langkah yang bertujuan untuk mencegah kelahiran dalam sesebuah kumpulan.

Kami berharap keputusan mahkamah ini akan menjadi titik permulaan kepada pengakhiran kekebalan daripada hukuman yang dinikmati Israel – dengan sokongan Amerika Syarikat yang merupakan dalang penghasut peperangan – di pentas global yang secara terang-terangan melanggari Undang-undang Kemanusiaan dan Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Kami, GegarAmerika, ingin mengingatkan seluruh Masyarakat Antarabangsa bahawa rakyat Palestin, dengan perintah ini, dianggap sebagai warga yang terlindung. Masyarakat Antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk melindungi rakyat Palestin daripada genosid. Kami menyeru Masyarakat Antarabangsa dan Institusi Antarabangsa untuk menegakkan komitmen mereka terhadap Undang-Undang Kemanusiaan dan Hak Asasi Manuysia Antarabangsa. Kami menekankan pentingnya Masyarakat Antarabangsa bekerjasama untuk menguatkuasakan langkah-langkah sementara yang telah diluluskan oleh ICJ, serta mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pencabulan atau menyokong sebarang pelanggaran terhadap langkah-langkah sementara tersebut.

Di samping itu, kami ingin berterima kasih kepada kerajaan Afrika Selatan atas komitmen mereka untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan menegakkan keadilan, serta keberanian mereka membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa meskipun menghadapi ancaman hebat daripada kuasa-kuasa imperialis Barat. Kami menyeru negara-negara yang mementingkan konsep kedaulatan untuk mengambil tindakan keras terhadap mereka yang terus menyokong, membiayai dan membekalkan senjata kepada Israel dalam usaha melanjutkan genosid terhadap Gaza. Kami menggesa supaya pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam genosid yang sedang berlaku juga dibawa menghadap ICJ.

Akhirnya, kami menyeru untuk gencatan senjata yang serta-merta, dan kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza; menyeru negara-negara ahli UNSC (khususnya Algeria) untuk mengambil langkah-langkah bagi menguatkuasakan perintah ICJ melalui resolusi UNSC; menyeru pada kerajaan Malaysia untuk mengemukakan sebuah resolusi di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi menyokong langkah-langkah sementara yang telah diperintahkan oleh ICJ; dan menyeru pada PBB untuk menggantung keahlian Israel sekiranya ia gagal mematuhi perintah yang telah diputuskan oleh ICJ.

==========

GegarAmerika merupakan gerakan oleh rakyat Malaysia yang bergiat untuk menentang kekejaman Amerika Syarikat (AS); mengecam keras imperialisme Barat dan pencerobohan campur tangan AS di seluruh Selatan Global, khususnya dalam isu perjuangan pembebasan Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *