Aktivis-aktivis dan warga Malaysia yang prihatin pada rakyat Palestin melancarkan satu aksi protes solidariti yang dikenali sebagai “Kepung Demi Palestin”, bermula pada 26 Disember 2023.

Aksi solidariti “Kepung Demi Palestin” ini akan berlangsung selama 5 hari, dari 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023, di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, untuk menyatakan bantahan keras rakyat Malaysia terhadap pembantaian Gaza oleh rejim Zionis Israel yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis AS, dan menuntut gencatan senjata serta-merta di Gaza.

Lebih 100 orang mula berhimpun di hadapan Kedutaan Besar AS pada pukul 10 malam, 26 Disember 2023, dan mendirikan khemah-khemah protes di tepi jalan untuk terus berkampung di situ. Aksi protes ini berhasrat untuk menarik perhatian orang ramai mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza sekarang ini. Aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Pemuda Sosialis PSM turut menyertai aksi ini.

Aksi solidariti “Kepung Demi Palestin” ini dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin, dan mendapat sokongan daripada 48 buah organisasi yang termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan pelajar dan parti-parti politik daripada pelbagai aliran. Parti-parti politik yang menyokong aksi ini terdiri daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Pemuda Sosialis PSM, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda AMANAH, Pemuda PAS, Pemuda Sosialis DAP dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA BERSATU). NGO-NGO yang menyokong aksi ini pula termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Viva Palestina Malaysia (VPM), Liga Rakyat Demokratik (LRD), Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Persatuan Pengundi Muda (UNDI18), IKRAM Muda, Yayasan Al Quds Malaysia, dan sebagainya.

Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, berucap dalam perhimpunan pelancaran aksi “Kepung Demi Palestin” pada 26 Disember 2023.

Aksi protes ini menyasarkan Kedutaan Besar AS kerana negara AS merupakan penyumbang kewangan dan persenjataan yang terbesar kepada tentera Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Kerajaan AS telah berulang kali menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menggagalkan sebarang usaha mendapatkan penyelesaian yang aman di Palestin.

Tentera Israel telah melancarkan perang genosid ke atas rakyat Palestin berikutan “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023. Setakat 27 Disember 2023, sekurang-kurangnya 20,915 orang warga Palestin telah dibunuh di Gaza, termasuk lebih 8,500 orang kanak-kanak dan lebih 6,300 orang wanita. Sekurang-kurangnya 54,918 orang cedera, dengan 75% merupakan wanita dan kanak-kanak, sementara lebih 7,000 orang masih hilang, dengan 70% merupakan wanita dan kanak-kanak. Sebanyak 1.9 juta orang warga Palestin di Gaza telah kehilangan tempat tinggal kerana serangan ketenteraan Israel.

Rakyat di seluruh dunia telah menyuarakan bantahan mereka terhadap keganasan perang Israel di Gaza dan menuntut gencatan senjata serta-merta. Namun, kuasa imperialis AS masih berdegil untuk menyokong rejim Zionis Israel dalam pembantaian terhadap rakyat Palestin. Oleh itu, rakyat sedunia, tanpa mengira kaum dan agama, harus terus bergabung tenaga dalam usaha menentang kezaliman Israel dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.

==========

PSM menyeru kepada orang ramai supaya turun memberi sokongan kepada aksi protes “Kepung Demi Palestin” yang berlangsung setiap hari sehingga 31 Disember 2023.

One thought on ““Kepung demi Palestin”: Aktivis Malaysia bantah pembantaian Gaza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *