KUALA LUMPUR: Jalan raya di kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur telah digegarkan dengan pelbagai laungan slogan bersolidariti dengan Palestin dan mengecam kezaliman rejim Zionis Israel serta mengutuk kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bersubahat dengan Israel dalam perang genosid terhadap Gaza. Lebih 2,000 orang telah mengambil bahagian dalam aksi “Himpunan Mega Demi Palestin” yang diadakan pada 2 Mac 2024 di Kuala Lumpur.

Himpunan Mega Demi Palestin yang dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin ini melibatkan perarakan sejauh lebih kurang 6 kilometer dari Bangunan Lembaga Tabung Haji ke Padang Merbok. Perarakan bersolidariti bersama Palestin ini juga melalui hadapan Kedutaan AS untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap persekongkolan kerajaan AS dalam perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza. Para demonstran yang menyertai aksi ini berarak dengan penuh bersemangat dengan melaungkan pelbagai slogan menuntut pembebasan Palestin dan mengecam kezaliman rejim Zionis Israel.

Perarakan berakhir di Padang Merbok dengan ucapan solidariti daripada wakil-wakil pelbagai organisasi yang menyokong usaha menghentikan perang genosid di Gaza dan menegakkan hak rakyat Palestin untuk membebaskan diri daripada kezaliman Zionis Israel.

Dalam ucapannya semasa perhimpunan di Padang Merbok, Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengatakan bahawa kerajaan AS telah memainkan peranan penting dalam membolehkan rejim Zionis Israel terus menzalimi rakyat Palestin.

“Kerajaan AS menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat segala usul yang menuntut keadilan buat rakyat Palestin, di samping terus membekalkan dana dan senjata kepada Israel untuk melakukan keganasan,” kata Dr. Jeyakumar. “Kita harus menggesa kerajaan-kerajaan di dunia, termasuk kerajaan Malaysia, untuk menggantungkan hubungan diplomatik dengan AS sehingga kerajaan AS berhenti memberi sokongan kepada Israel.”

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, berprotes di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

PSM juga menegaskan sekali lagi solidaritinya bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk menentukan nasib sendiri dan menentang rejim apartheid, penjajahan, imperialisme dan ketidakadilan sosial.

“Petang ini kita telah menyaksikan sejarah, di mana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama daripada semua latar belakang mengetepikan perbezaan politik kita, datang bersama dengan satu tujuan, iaitu untuk menyelamatkan kemanusiaan,” kata Tian Chua, jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin. “Ini adalah perjuangan untuk nilai-nilai sejagat kemanusiaan.”

Jutaan orang telah turun beraksi di jalanan di seluruh dunia pada 2 Mac 2024 untuk menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin, di samping menuntut gencatan senjata segera dan menghentikan perang genosid terhadap rakyat Palestin. Selagi rejim Zionis Israel masih menzalimi rakyat Palestin dan menduduki bumi Palestin, gelombang protes rakyat sedunia untuk bersolidariti bersama Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel sudah pasti akan berterusan.

Sejak rejim Zionis Israel melancarkan perang genosid di Gaza pada bulan Oktober 2023, lebih 30,000 orang Palestin telah dibunuh di Semenanjung Gaza, termasuk lebih 12,000 orang kanak-kanak, manakala lebih 71,000 orang cedera. Lebih 1.9 juta orang Palestin kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza. Selain itu, lebih 400 orang warga Palestin dibunuh di Tebing Barat dalam tempoh masa yang sama.

PSM bersama dengan organisasi-organisasi kiri di rantau Asia Tenggara telah mengeluarkan satu kenyataan bersama untuk mengecam  rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin dan menyuarakan sokongan penuh kepada hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menentang penjajahan Israel.

==========

Berikut ialah koleksi foto sepintas lalu aksi “Himpunan Mega Demi Palestin” pada 2 Mac 2024:

2 thoughts on “Rakyat Malaysia berarak untuk bersolidariti bersama Palestin

  1. PRM tetap menyokong perjuangan rakyat Palestine! Telah beberapa abad di tindas oleh regime zionis Israel, mereka patut mendapat kembali tanah air mereka dan hidup dlm keadaan selamat. Selagi US sokong Israel, selama itu lah penindasan berterusan!! Hidup Palestine! Hapus genosid!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *