oleh Nurfitri Amir Bin Muhammad

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengecam keras tindakan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Perak yang melakukan kekerasan kepada seorang aktivis dan tangkapan 3 lagi aktivis dan seorang petani oleh pihak polis sewaktu proses pengusiran paksa dan pemusnahan kebun di Kanthan, Perak, pagi tadi. Tindakan ini jelas menunjukkan sikap samseng, tidak berperikemanusiaan dan tidak bersyukur atas jasa bakti para petani di Malaysia yang menjadi barisan hadapan keterjaminan makanan negara.

Kawasan yang terbabit melibatkan kebun seluas 132 ekar yang menghasilkan purata 50 tan sayur sayuran setiap hari oleh lebih 200 orang petani. Kawasan ini telah diusahakan oleh para petani disini sejak tahun 1970-an atas program Dasar Buku Hijau oleh Tun Abdul Razak dan sejak itu berfungsi sebagai kawasan pengeluaran makanan untuk negeri Perak. Sejak tahun 2021, pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah berusaha mengusir para petani di sini untuk pembangunan kawasan perindustrian Perak Hi-Tech Park yang akan dibangunkan oleh beberapa syarikat dari Kuala Lumpur.

Kekerasan yang dilakukan atas kuasa Seksyen 425 Kanun Tanah Negara ini adalah zalim kerana isu utama para petani tersebut enggan berpindah adalah kerana kegagalan pihak kerajaan negeri sendiri yang tidak menepati janji untuk memberikan kawasan tanah ganti yang sesuai untuk berkebun. Pihak Parti Sosialis Malaysia dan Gabungan Marhaen yang membantu para petani menguruskan kes ini telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Kementerian Pertanian dan Perdana Menteri untuk mendapatkan penyelesaian yang rasional demi kebajikan petani dan keterjaminan makanan negara namun pengusiran secara paksa tetap dilaksanakan.

Oleh itu, kami mendesak agar mereka yang ditahan polis dibebaskan segera dan individu yang dicederakan dalam kes ini diberikan keadilan yang sewajarnya.

Kami mengingatkan kerajaan Malaysia kewajipan untuk mempertahankan hak-hak petani dalam Perjanjian ITPGRFA (The International Treaty on Plant Genetic Resources for Food and Agriculture) yang dianggotai oleh Malaysia, iaitu salah satunya adalah hak untuk terlibat dalam proses perbincangan dan pembuatan keputusan dan deklarasi UNDROP (United Nations Declaration on the Rights ofPeasants and Other People Working in Rural Areas) yang disokong Malaysia, iaitu salah satunya adalah perlindungan kepada komuniti petani daripada pengusiran paksa.

==========

Nurfitri Amir Bin Muhammad ialah Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *