oleh Sivarajan Arumugam

Sekali lagi, kerajaan Malaysia telah menyertai satu lagi perjanjian perdagangan yang dirundingkan secara rahsia. Ia ialah Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (Indo-Pacific Economic Framework for Prosperity, IPEF). Pada masa ini, perunding-perunding dari 14 buah negara peserta IPEF sedang berada dalam pusingan rundingan di Kuala Lumpur dari 15 hingga 24 Oktober 2023 untuk merundingkan perjanjian perdagangan ini. Selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang diterajui AS pada asalnya, nampaknya IPEF merupakan cubaan oleh kerajaan AS untuk mengalihkan semula peraturan perdagangannya ke dalam rantau Asia.

Dalam usaha mendampingi semula rantau ini, Presiden Biden dari AS melancarkan IPEF pada tahun 2022. Negara-negara yang melibatkan diri dalam rundingan pada masa ini ialah Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Australia, India, New Zealand, Jepun, Fiji, Korea Selatan dan AS. Adalah dikatakan bahawa negara-negara ini mewakili kira-kira 40% KDNK global.

Seperti TPP dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menggantikannya kemudian, rundingan IPEF diadakan secara rahsia. Kerajaan AS dengan menandatangani satu perjanjian kerahsiaan dengan semua perunding yang mewakili negara masing-masing. Oleh itu, tiada sesiapa pun yang tahu tentang apa isu kritikal yang penting untuk rakyat sedang dirundingkan dan dipersetujui. Malah, Ahli-ahli Parlimen pun tidak tahu tentangnya.

Sesi pendengaran pemegang taruh seperti yang diadakan pada 19 Oktober 2023 di Kuala Lumpur, tidak banyak memberi manfaat kerana organisasi-organisasi masyarakat sivil, kesatuan-kesatuan pekerja, kumpulan-kumpulan akar umbi dan komuniti-komuniti, yang biasanya terkesan dengan peraturan perdagangan sebegini, telah dibiarkan dalam kegelapan. Sesi “pendengaran” yang dianjurkan oleh sekretariat IPEF untuk “”mendengar” kebimbangan organisasi-organisasi masyarakat sivil ini, tidak memanfaatkan sama ada pihak-pihak berkepentingan ataupun perunding-perunding kerana begitu sedikitnya maklumat mengenai teks IPEF yang dapat diulas. Kami terpaksa bergantung pada kenyataan akhbar yang ditulis dengan kata-kata menarik yang dikeluarkan selepas pusingan rundingan untik mendapatkan gambaran tentang isu-isu yang dibincangkan.

Antara topik-topik yang akan dimasukkan dalam perjanjian tersebut ialah amalan kawal selia yang baik, kawal selia domestik perkhidmatan, melonggarkan peraturan eksport untuk hasil pertanian GMO, peraturan alam sekitar yang menyekat subsidi kepada nelayan, kemudahan perdagangan ekonomi digital untuk mewujudkan aliran data rentas sempadan, dan sebagainya.

Isu-isu ini mempunyai implikasi yang meluas. PSM memahami dan berkongsi kebimbangan organisasi-organisasi masyarakat sivil dan gerakan akar umbi seperti yang berikut:

  • IPEF akan menghakis kawalan-kawalan yang sedia ada untuk mencegah hasil GMO daripada memasuki Malaysia. IPEF mungkin menyekat keupayaan Malaysia untuk mengadakan peraturan-peraturan bukan-tarif terhadap produk pertanian seperti permit, pensijilan halal dan kelulusan untuk produk organisma yang diubah secara genetik (GMO) memasuki pasaran.
  • Atas nama melindungi alam sekitar, IPEF mengenakan peraturan dan sekatan terhadap mereka yang menangkap ikan di kawasan-kawasan paya bakau dan rumput laut, terutamanya nelayan kecil. Apabila nelayan dengan bot besar yang menangkap ikan secara berlebihan itu tidak dihukum, IPEF pula mungkin mendesak supaya subsidi untuk nelayan kecil dibatalkan kerana mereka menangkap ikan di kawasan-kawasan tersebut, walaupun mereka mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang mampan.
  • Syarikat-syarikat teknologi besar juga mendesak secara agresifnya untuk pendekatan “lepas tangan” terhadap peraturan data digital dan hendak menghalang peraturan-peraturan lain dalam bidang digital. Justeru, mereka mendesak untuk memudahkan aliran data rentas sempadan yang akan menyebabkan data peribadi berada dalam risiko diakses dan diwangkan oleh pihak-pihak tertentu.
  • Bab amalan kawal selia yang baik seperti dalam TPP, cuba untuk menyahkawal selia perlindungan sedia wujud yang kita ada dalam undang-undang tempatan kita untuk melindungi warganegara daripada kesan-kesan buruk aktiviti perniagaan. “Amalan kawal selia yang baik” ini dimodelkan mengikut kerangka neoliberal yang melemahkan keupayaan kerajaan untuk mengawal selia perniagaan dan korporat.
  • Tambahan pula, Kawal Selia Domestik Perkhidmatan (SDR) akan menyekat keupayaan kerajaan untuk mengawal selia lebih daripada CPTPP. Ia juga akan memberi kesan kepada hasil kerajaan, kerana IPEF menyelam jauh ke dalam sistem kawal selia kita untuk menentukan dan mendisiplinkan yuran pelesenan, mengharamkan duti kastam dan menghalang cubaan untuk mengkehendaki syarikat-syarikat untuk menyimpan rekod percukaian bagi penilaian oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, PSM menyeru pada kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula segera keputusannya untuk menyertai IPEF kerana ia tidak menjamin sebarang akses pasaran ke dalam AS. Perjanjian-perjanjian perdagangan ini hanya bertujuan untuk menyahkawal selia dan meliberalisasikan ekonomi kita tanpa sebarang manfaat yang ketara dari segi perdagangan atau penambahbaikan sosio-ekonomi untuk rakyat kita.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *