IPOH, PERAK – 16 JANUARI 2024: Petani-petani kecil di kawasan Hulu Kinta yang sedang menghadapi pelbagai ancaman pengusiran telah mengunjungi Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun pada hari ini, untuk menyerahkan satu memorandum dengan permintaan supaya dapat berjumpa dengan Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia, sendiri supaya membincangkan isu-isu yang diketengahkan oleh mereka.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada wakil Pejabat Ahli Parlimen Tambun. Turut hadir bersama petani-petani kecil semasa penyerahan memorandum ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Petani-petani kecil di sekitar kawasan Hulu Kinta, yang terletak di dalam kawasan Parlimen Tambun, sedang menghadapi ancaman pengusiran daripada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan beberapa buah syarikat pemaju swasta. Mereka pernah menghantar 3 pucuk surat atau memorandum kepada Pejabat Ahli Parlimen Tambun sepanjang tempoh satu tahun yang lalu, tetepi masih belum menerima sebarang respon daripada Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen di kawasan mereka.

Petani-petani kecil di kawasan Hulu Kinta telah mengetengahkan 3 perkara penting untuk perhatian Anwar Ibrahim dalam memorandum mereka, iaitu:

  • Masalah keterjaminan makanan di negara kita;
  • Gambaran palsu berkaitan projek SilverValley Technology Park (SVTP);
  • Persepsi yang salah dan tidak adil terhadap golongan petani kecil.

Masalah keterjaminan makanan

Kawasan persayuran di mukim Hulu Kinta merupakan kawasan persayuran yang terbesar di negeri Perak. Pekebun-pekebun sayur kecil di situ mengeluarkan lebih daripada 80 tan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari. Pada tahun 2010, wujudnya 3,000 ekar kebun penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di mukim Hulu Kinta. Dalam tempoh 13 tahun yang lalu, lebih kurang 90 ekar tanah kebun sayur di Kuala Kuang, 40 ekar di Kanthan dan 400 ekar di Tanah Hitam – Changkat Kinding telah dimusnahkan untuk projek-projek “pembangunan”. Bakinya tanah persayuran seluas 2,400 ekar telah dilupuskan kepada pihak swasta ataupun PKNP dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP). Hanya tinggal 70 ekar tanah yang berdekatan Kampung Baru Tanah Hitam belum lagi dilupuskan kepada pemaju.

Jadual 1: Status 3,000 ekar tanah persayuran yang wujud di Mukim Hulu Kinta pada tahun 2010

 Telah dimusnahkan oleh projek pembangunan 530 ekar
 Petani telah dihadap ke mahkamah oleh pemilik baharu tanah  370 ekar
 Telah dilupuskan tanah kepada pihak lain tetapi petani belum dihadap ke mahkamah 2,030 ekar
 Tanah persayuran yang masih belum dilupuskan kepada sesiapa. 70 ekar

Pada kami, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak sejak tahun 2000 untuk melupuskan tanah persayuran yang subur ini kepada projek-projek perumahan dan perindustrian adalah satu keputusan yang tidak mengambil kira cabaran masa hadapan negara kita (umpamanya perubahan iklim) dan keperluan asas rakyat kita (keterjaminan makanan). Gabungan Petani Perak menggesa supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya yang boleh mempertimbangkan perkara ini dan memutuskan sama ada caranya tanah persayuran dikendalikan oleh pihak Kerajaan Negeri Perak benar-benar menunaikan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita.

Pihak Kerajaan Negeri pernah mengumumkan bahawa 6 buah projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan keluasan tanah 2,000 hektar telahpun dimajukan untuk memastikan bekalan sayur-sayuran bagi rakyat kita. Anggota-anggota Gabungan Petani Perak telah melawat semua kawasan projek TKPM dan mendapati bahawa lebih daripada 50% kawasan tidak ditanam. Lebih daripada 50% yang ditanam adalah tanaman kelapa sawit. Hanya 25% kawasan yang diperuntukkan adalah ditanam sayur dan kebanyakan kebun sayur tidak segar.

Jadual 2: Status projek-projek TKPM di Perak

Kawasan yang tidak ditanam> 50% jumlah keluasan TKPM 
Kawasan yang ditanam kelapa sawit> 25% 
Kawasan yang ditanam sayur< 25%
Kawasan tanaman sayur yang segar < 12% jumlah keluasan TKPM

Suruhanjaya yang meneliti isu pengendalian tanah persayuran di Perak harus mengkaji perkara ini juga, dan menentukan prestasi kawasan-kawasan TKPM dalam membekalkan sayur-sayuran kepada rakyat Malaysia.

Gambaran palsu berkaitan SilverValley Technology Park (SVTP)

Sebuah kawasan seluas 3,000 ekar di Kanthan (1,670 ekar)  dan Sungai Siput (1,330 ekar) telah diberi kepada PKNP untuk melancarkan projek perindustrian yang kononnya akan menjana beribu-ribu peluang pekerjaan. Tetapi adanya beberapa perkara yang bercanggah dengan gambaran ini, termasuklah:

A) Walaupun alasan untuk mengambil tanah persayuran adalah untuk mewujudkan projek perkilangan, ada beberapa buah tapak tanah telah dijual kepada pemaju perumahan, misalnya –  

  • PKNP telah menjual tanah seluas 48.8 ekar kepada syarikat KM Majubina dengan harga RM2.72 setiap kaki persegi (walhal nilai pasaran adalah antara RM 12 – RM 15 se setiap kaki persegi);
  • PKNP telah menjual tanah sebanyak 10 ekar kepada syarikat Banjaran Barat.

B) Sebuah kawasan seluas 470 ekar di kawasan utara SVTP sedang dijual dalam talian kepada sesiapa yang ingin membelinya.

C) Pada dekad 1990-an, pekebun-pekebun kecil telah diusir keluar dari kawasan di Kanthan yang seluas 350 ekar. Sampai sekarang, 40% daripada tanah itu masih kosong. Ia dibeli oleh pelabur yang melakukan spekulasi terhadap tanah.  

“Kami berharap perkara ini juga dapat disiasat oleh Suruhanjaya untuk memastikan sama ada propaganda berkaitan SVTP hanya merupakan satu alasan untuk menjual tanah kerajaan secara yang cepat,” kata Dr. Jeyakumar mengenai isu ini. “Berapakah keluasan tanah yang diperlukan sebenarnya untuk projek-projek perkilangan? Bolehkah jualan tanah kepada individu dan syarikat kaya yang melakukan spekulasi tanah diberhentikan supaya petani-petani yang mengusahakan tanah itu boleh terus menghasilkan makanan bagi negara kita?” 

Persepsi yang tidak adil terhadap petani-petani kecil

Pekebun-pekebun kecil selalu digambarkan oleh Kerajaan Negeri sebagai sekumpulan orang kedekut yang enggan membayar premium/cukai tanah dan mahu menggunakan tanah kerajaan dengan percuma. Petani-petani kecil ini digambarkan sebagai sebuah kumpulan orang kaya yang menghalang pembangunan negara kita.  Namun, situasi sebenarnya adalah jauh berbeza: 

  • Datuk nenek petani-petani kecil ini telah menerokai tanah-tanah yang sedang diusahakan mereka sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Mereka menghasilkan makanan untuk populasi buruh ladang dan lombong yang semakin bertumbuh pada zaman itu.
  • Selepas kemerdekaan negara kita, ibu bapa petani-petani kecil ini telah memohon geran tanah ataupun pajakan tanah daripada Pejabat Tanah, tetapi hanya segelintir daripada mereka diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang bertempoh 1 tahun. Permohonan kebanyakan petani tidak dijawab oleh Pejabat Tanah. Kelihatan seperti adanya polisi untuk elak daripada mewujudkan ekuiti terhadap tanah itu. Menyalahkan petani selepas beberapa dekad kewujudan polisi sebegini, adalah kurang jujur dan tidak adil.
  • Pada tahun 1980-an, Pejabat Tanah Kinta telah mengumumkan Projek Persayuran Hulu Kinta di mana pekebun-pekebun akan ditawarkan pajakan tanah. Ramai pekebun kecil berminat dan telah memohon, tetapi projek ini telah dibatalkan oleh kerajaan.
  • Pada tahun 2011, pihak PKNP telah menawarkan pajakan selama 30 tahun kepada 100 orang petani di kawasan Kanthan. Hampir semua petani berminat untuk mengambil bahagian dan mendaftarkan nama mereka dengan PKNP, tetapi projek itu juga dibatalkan. Jadi, gambaran bahawa petani-petani kecil ini adalah tamak dan tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan adalah salah. Namun, inilah persepsi yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri. Mungkin persepsi negatif terhadap petani-petani kecil ini bertujuan untuk memudahkan proses mengusir petani-petani kecil apabila kerajaan ingin melupuskan tanah yang diusahakan mereka kepada pemaju kaya.
  • Pihak PKNP telah melakukan satu kajian terhadap pekebun-pekebun di kawasan Kanthan. Mereka mendapati bahawa 70% daripada kebun tanaman adalah bersaiz di bawah 6 ekar dan hanya 9% kebun/kolam adalah lebih besar daripada 10 ekar. Petani-petani kecil ini memang bukannya golongan yang sangat kaya.

Rayuan Gabungan Petani Perak kepada Anwar Ibrahim

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen Tambun yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia, Gabungan Petani Perak menyeru pada Anwar Ibrahim supaya:

  1. Mencampur tangan dalam isu ini sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan petani-petani kecil ini. Petani-petani kecil sedang menghadapi tekanan yang teruk daripada pemaju swasta dan PKNP. Petani-petani kecil meminta pada Anwar Ibrahim supaya membantu mereka dalam mengendalikan masalah ini.
  2. Membantu dalam mewujudkan sebuah suruhanjaya di peringkat negeri yang boleh meneliti caranya tanah persayuran diuruskan di Perak. Pada pandangan Gabungan Petani Perak, Kerajaan Negeri Perak tidak mengendalikan tanah persayuran, yang merupakan satu aset negara, secara yang bijak dan bertanggungjawab. Mereka terlalu memfokus pada pulangan wang yang cepat tetapi gagal mengambil kira keperluan masyarakat pada masa hadapan.
  3. Jika mendapati bahawa pelupusan tanah sebegini di kawasan persayuran di Mukim Hulu Kinta bukannya keputusan yang bijak ataupun bertanggungjawab, Kerajaan Persekutuan patut memberi bantuan dana kepada Kerajaan Negeri Perak untuk mengambil balik tanah yang telah dilupuskan, supaya ia dapat dipajak kepada para pekebun yang menjalankan aktiviti-aktiviti pengeluaran makanan.
  4. Hentikan sebarang usaha pengusiran terhadap petani-petani sehingga proses yang dinyatakan dalam perkara 2 di atas dilaksanakan.

Gabungan Petani Perak meminta pada pihak Pejabat Ahli Parlimen Tambun supaya menetapkan satu tarikh dalam jangka masa 3 minggu untuk berjumpa dengan petani-petani kecil di kawasan Hulu Kinta, dan membincangkan perkara-perkara yang diketengahkan dalam memorandum yang diserahkan pada hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *