IPOH, PERAK: Perbicaraan untuk permohonan daripada pihak pemaju untuk mengusir petani-petani di Changkat Kinding, Perak, dengan menggunakan Aturan 89, telah diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 13 Oktober 2023 dan akan disambung lagi pada 6 November 2023.

Sebuah syarikat pemaju swasta, Generasi Simbolik Sdn Bhd, telah memfailkan permohonan “prosiding terus untuk mendapatkan pemilikan tanah” di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk mengusir keluar 10 orang petani kecil yang sedang mengusahakan tanah di kawasan Changkat Kinding, Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta, Perak.

Terdapat kira-kira 35 orang petani kecil telah mengusahakan sebidang tanah yang terletak berdekatan Kampung Baru Changkat Kinding sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Mereka mengeluarkan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan ternakan yang merupakan sumber makanan kepada masyarakat kita. Petani-petani mendapat maklum, hanya tidak lama sebelum ini, bahawa tanah seluas kira-kira 250 ekar telah dilupuskan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada Generasi Simbolik Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milikan penuh LBS Bina Group Berhad. Sebahagian tanah tersebut telah dibahagikan kepada lot-lot perumahan dengan hak milik tanah didaftarkan atas nama Generasi Simbolik Sdn Bhd.

Pada 18 Mei 2022, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh, mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap 5 orang petani yang sedang mengusahakan tanah pertanian di situ dengan mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah dalam tempoh 14 hari. Petani-petani telah membantah ancaman pengusiran paksa ini. Mereka kemudiannya memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap notis pengusiran notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara itu. Kebenaran untuk mendengar kes tersebut telah diberikan dan sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

Dalam satu perjumpaan yang diaturkan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Hulu Kinta pada 26 Mei 2022 yang turut dihadiri oleh wakil daripada syarikat Generasi Simbolik, pihak ADUN memberitahu bahawa pihak pemaju menawarkan pampasan RM9,000 seekar untuk petani-petani keluar dari situ. Muhamad Arafat Varisai Mahamad, ADUN Hulu Kinta yang turut hadir dalam perjumpaan itu, berkata bahawa pihak pemaju telah diberikan tanah berkenaan pada tahun 2007, dan petani-petani tidak mempunyai pilihan selain daripada menerima pampasan yang ditawarkan oleh pihak pemaju dan terus berpindah keluar. Namun, petani-petani Changkat Kinding menyatakan hasrat mereka untuk terus bercucuk tanam di situ, kerana aktiviti pertanian merupakan satu-satunya punca pendapatan mereka. Mereka akan kehilangan mata pencarian dan tiada alternatif lain sekiranya keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka.

Petani-petani Changkat Kinding kemudiannya menyerahkan surat kepada ibu pejabat LBS Bina Group Berhad dengan rayuan supaya mereka diberikan pajakan selama 10 tahun untuk meneruskan aktiviti penanaman sayur-sayuran di situ memandangkan negara kita sedang menghadapi krisis makanan. Namun, tiada apa-apa maklum balas daripada pihak syarikat LBS Bina Group Berhad terhadap surat rayuan petani-petani kecil ini. Sebahagian petani yang tidak sanggup meneruskan usaha perjuangan mempertahankan rezeki mereka telah bersetuju untuk berpindah, dan kontraktor pemaju pun memasuki tanah yang dikosongkan itu untuk memulakan kerja.

10 orang petani di Changkat Kinding yang masih ingin meneruskan aktiviti pertanian telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 28 Mac 2023, dengan permintaan supaya tanah pertanian di kawasan Changkat Kinding dikekalkan sebagai kawasan penanaman sayur-sayuran. Mereka juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan mereka, kawasan Parlimen Tambun.

Petani-petani kecil yang mengusahakan tanah pertanian di kawasan Changkat Kinding ini mengatakan bahawa mereka mempunyai ekuiti ke atas tanah berkenaan kerana:

  • Wujudnya persetujuan tersirat daripada pihak kerajaan sejak zaman penjajahan sehingga kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan untuk mereka mengusahakan tanah di situ, di mana mereka tidak pernah diminta untuk mengosongkan tanah tersebut oleh pihak berkuasa sehingga notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang dikeluarkan pada tahun 2022;
  • Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan semasa zaman pentadbiran Tun Abdul Razak telah menggalakkan petani-petani untuk menggunakan tanah kerajaan yang tidak terpakai untuk menanam tanaman makanan;
  • Pihak pemaju yang mengatakan dirinya sebagai pemilik tanah tidak mengeluarkan sebarang surat yang meminta mereka untuk berpindah keluar sehingga baru-baru ini walaupun pihak pemaju dikatakan telah memperoleh hak milik tanah tersebut lebih 15 tahun dahulu;
  • Terdapat beberapa orang antara petani-petani di Changkat Kinding ini pernah memohon untuk mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, tetapi tidak berjaya dan tiada alasan diberikan oleh pihak berkuasa;
  • Petani-petani kecil ini memang mengusahakan tanah tersebut jauh lebih lama sebelum pihak pemaju memiliki tanah tersebut.

Perbicaraan yang diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 13 Oktober 2023 adalah berkenaan dengan permohonan daripada pihak pemaju Generasi Simbolik Sdn Bhd di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 dengan tujuan mendapatkan penghakiman terus untuk mendapatkan pemilikan tanah yang membolehkannya mengusir keluar petani-petani yang masih mengusahakan tanah di situ.

Kes ini telah didengar di hadapan hakim Tuan Moses Susayan. Petani-petani Changkat Kinding diwakili oleh peguam James Huntzen Ong. Perbicaraan pada 13 Oktober 2023 hanya sempat mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili pihak pemaju sebagai plaintif dalam kes ini. Perbicaraan akan bersambung pada 6 November 2023 untuk mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili petani-petani Changkat Kinding sebagai defendan dalam kes ini.

Hujahan daripada peguam yang mewakili pihak pemaju pada dasarnya tertumpu pada pihak pemaju ialah pemilik sah bagi tanah yang dimaksudkan kerana memiliki geran hak milik tanah dan undang-undang negara Malaysia tidak mengiktiraf konsep “pemilikan bertentangan” (adverse possesion), maka mana-mana orang tidak berhak untuk menuntut hak milik atau hak menduduki sesebuah tanah walaupun orang berkenaan telah menduduki di atas sebidang tanah untuk tempoh masa yang lama atau bergenerasi.

“Jika petani-petani kecil ini diusir keluar begitu sahaja, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” kata Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hadir bersolidariti dengan petani-petani Changkat Kinding di Mahkamah Tinggi Ipoh. “Semua pelaburan yang telah dibuat oleh mereka ke atas tanah itu selama 80 tahun yang lalu akan lesap begitu sahaja, termasuklah sistem saliran, paip pengairan, langkah-langkah yang pernah dilakukan untuk meningkatkan kesuburan tanah, pembinaan dan penyelenggaraan jalan akses, dan sebagainya. Selain itu, petani-petani kecil ini akan kehilangan sumber pendapatan jika mereka diusir keluar dari tanah yang sedang diusahakan sekarang.”

“Masyarakat Malaysia akan kehilangan satu lagi kawasan pengeluaran sayur-sayuran dan ikan air tawar yang subur lagi produktif pada ketika kita sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga makanan,” ulas Chong Yee Shan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *