KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 orang telah menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan di perkarangan Masjid Negara pada 13 Oktober 2023. Aksi himpunan ini disertai oleh pemimpin-pemimpin parti politik daripada kedua-dua blok pemerintah dan pembangkang sebagai tanda perpaduan rakyat Malaysia dalam solidariti dengan rakyat Palestin yang sedang menghadapi serangan ketenteraan Israel yang hebat berikutan peningkatan penentangan pejuang Palestin terhadap pendudukan Israel baru-baru ini.

Ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengambil bahagian dalam aksi himpunan solidariti semalam dengan seruan tegas untuk menamatkan pendudukan Israel ke atas bumi Palestin dan menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk bebas daripada penindasan rejim Zionis Israel.

“Isu Palestin bukannya isu antara orang Islam dengan orang bukan Islam,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM. “Isu Palestin ialah pertembungan kuasa antara sebuah negara yang menakluk dengan sebuah negara yang ditakluk. Kalau kita selesaikan isu Palestin, sudah pasti keamanan dunia boleh dicapai. Isu Palestin ialah satu-satunya isu yang paling penting tetapi sehingga hari ini masih merupaan isu yang paling susah untuk diselesaikan. Rakyat Palestin harus diberikan semula tanah mereka sendiri dan mendapat semula kehidupan mereka.”

“Kuasa-kuasa Barat dan media-media Barat hanya bercakap tentang satu isu di mana adanya pencerobohan di beberapa buah tempat di Israel, tetapi sebenarnya semua tanah itu pada asalnya ialah tanah Palestin,” ulas Arutchelvan. “PSM sentiasa bersama rakyat yang tertindas di mana-mana sahaja di dunia ini, dan hari ini kita bersama dengan perjuangan rakyat Palestin.”

“Kami berada di sini untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin,” kata Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM yang turut hadir dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza. Sivarajan telah menyampaikan pendirian PSM dalam isu Palestin dan solidariti dengan perjuangan rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri, dengan tuntutan-tuntutan seperti:

  • Menamatkan pendudukan Israel di Palestin;
  • Mengiktiraf, menghormati dan merealisasikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri;
  • Menamatkan serta-merta sekatan terhadap Semenanjung Gaza;
  • Memenuhi hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman mereka;
  • Embargo senjata yang menyeluruh ke atas Israel;
  • Semua pihak dalam konflik harus mengelak daripada menyebabkan pengorbanan orang awam.

“Isu Palestin bukannya isu agama. Ia bukan isu agama Islam lawan agama Yahudi, atau isu Muslim lawan bukan Muslim. Isu Palestin ialah isu kemanusiaan. Ia ialah isu berkaitan kolonialisme peneroka.” kata Danny Villenguez Mohd Amani, ahli Pemuda Sosialis PSM. “Jika sesiapa mempunyai rasa kemanusiaan, sama ada anda Muslim, Yahudi atau Kristian, anda akan berpihak pada rakyat Palestin. Apabila kebanyakan media Barat sekarang, seperti BBC dan CNN, hanya bercakap tentang keganasan yang dilakukan oleh orang Palestin. Namun, keganasan yang dilakukan oleh golongan yang menindas adalah tidak sama dengan keganasan yang dilakukan oleh golongan yang ditindas. Golongan yang menindas cuba untuk menindas, sementara golongan yang ditindas sedang cuba melawan untuk kebebasan. Pejuang pembebasan adalah tidak sama dengan golongan yang menindas. Jadi, kita tidak boleh samakan apa yang dilakukan oleh orang Palestin untuk kebebasan mereka dengan apa yang dilakukan oleh Israel untuk menindas orang Palestin. Ini satu isu di mana kita tidak boleh bersikap neutral. Jika anda bersikap neutral, anda berpihak pada penindasan. Apabila anda berpihak pada penindasan, anda adalah sejahat seperti penindas.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *