IPOH, PERAK – 28 MAC 2023: Petani-petani yang mengusahakan tanah di kawasan Changkat Kinding, Hulu Kinta, Perak, menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Perak pada hari ini, dengan seruan kepada Kerajaan Negeri Perak supaya menghentikan ancaman pengusiran paksa daripada pihak pemaju swasta dan mengekalkan kawasan pertanian yang sedang diusahakan mereka.

Turut hadir bersama dengan para petani dari Changkat Kinding semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sentiasa bersama dengan petani-petani kecil dalam mempertahankan hak petani untuk bercucuk tanam dan melindungi keterjaminan makanan untuk semua.  

10 orang petani di kawasan Changkat Kinding yang sedang menghadapi ancaman pengusiran ini telah menjalankan aktiviti pertanian di kawasan tersebut selama lebih 80 tahun. Datuk nenek mereka yang mula-mula menerokai tanah di kawasan tersebut sebelum Perang Dunia Kedua lagi dan mereka telah menanam sayur-sayuran di situ sejak itu. Pada zaman sebelum kemerdekaan, mereka dibenarkan oleh pihak pentadbiran British pada masa itu untuk mengusahakan tanah kebun-kebun mereka, dan kemudiannya dibenarkan untuk meneruskan usaha ini oleh Kerajaan Malaysia selepas negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga hari ini. Terdapat beberapa orang antara petani-petani kecil ini pernah cuba memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, tetapi permohonan mereka tidak pernah dibalas oleh pihak berwajib.

Akan tetapi, pada lebih kurang 15 tahun dahulu, sebanyak 250 ekar tanah penanaman sayur-sayuran di kawasan Changkat Kinding telah dilupuskan kepada sebuah syarikat pembangunan hartanah yang Bernama Generasi Simbolik Sdn Bhd. Generasi Simbolik Sdn Bhd ialah anak syarikat kepada LBS Bina Group Berhad, sebuah syarikat pemaju perumahan yang beribu pejabat di Petaling Jaya. Sejak 8 bulan yang lalu, pihak Generasi Simbolik telah cuba memujuk dan mengugut petani-petani di kawasan ini untuk berpindah keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka dengan hanya membayar pampasan RM9,000 seekar. Beberapa orang petani telah menerima tawaran ini.

Namun, bagi petani-petani yang enggan menerima tawaran daripada pihak syarikat pemaju, mereka berpandangan bahawa tindakan mengorbankan sebuah kawasan pertanian yang sedang mengeluarkan beberapa tan sayur-sayuran setiap hari ialah satu keputusan yang tidak bijak pada masa ini, kerana ia menjejaskan keterjaminan makanan di negara kita.

“Negara kita sedang menghadapi masalah kekurangan makanan dan harga makanan asas sedang meningkat,” kata Dr. Jeyakumar, Pengerusi Nasional PSM, semasa penyerahan memorandum bersama dengan petani-petani Changkat Kinding. “Negara kita sedang mengimport barangan makanan yang bernilai RM60 bilion setahun. Ini bukannya masa untuk menghancurkan kapasiti kita untuk mengeluarkan bahan-bahan makanan bagi rakyat kita!”

Petani-petani Changkat Kinding yang menghadapi ancaman pengusiran ini telah mengunjungi ibu pejabat LBS Bina Group Berhad pada 8 Jun 2022, untuk meminta pada pihak syarikat LBS Bina Group supaya menangguhkan rancangan membuat projek perumahan di kawasan tersebut selama 10 tahun dan memajakkan tanah yang berkenaan kepada para petani untuk tempoh masa itu. Namun, pihak syarikat LBS Bina Group bukan sahaja tidak membalas surat permohonan daripada petani-petani Changkat Kinding, malah sedang berusaha mengusir keluar petani-petani kecil dari kawasan tersebut.

Oleh itu, Jawatankuasa Petani Changkat Kinding merayu pada Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, untuk mencampur tangan dan mengkaji balik keputusan yang menghancurkan kawasan pengeluaran makanan ini. “Adakah ia satu keputusan yang mengambil kira keterjaminan makanan untuk negara kita pada zaman ini di mana masyarakat kita sedang diancam oleh perubahan iklim dan sekatan dalam rantaian bekalan makanan akibat permasalahan geopolitik?” tanya Jawatankuasa Petani Changkat Kinding dalam memorandumnya kepada Menteri Besar Perak.

Jawatankuasa Petani Changkat Kinding juga menyarankan Menteri Besar Perak untuk meneliti prestasi 6 buah kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang telah diwujudkan di negeri Perak lebih kurang 10 tahun dahulu. Tinjauan Gabungan Petani Perak ke atas kawasan-kawasan TKPM tersebut mendapati bahawa lebih daripada 70% kawasan di dalam TKPM gagal dibangunkan sebagai kawasan persayuran.

Petani-petani Changkat Kinding menyeru kepada Menteri Besar Perak supaya:

  • Menghentikan usaha Generasi Simbolik Sdn Bhd yang hendak mengusirkan petani-petani kecil keluar dari kawasan Changkat Kinding;
  • Menangguhkan projek perumahan di kawasan Changkat Kinding yang sedang mengeluarkan makanan buat masa ini;
  • Memajakkan tanah berkenaan kepada petani-petani kecil yang sedia ada dan petani-petani lain untuk tempoh masa 15 tahun supaya petani-petani yang mengusahakan tanah dapat terus mengeluarkan sayur-sayuran untuk rakyat Malaysia.

Jawatankuasa Petani Changkat Kinding juga menyatakan harapannya bahawa Menteri Besar Perak akan memandang serius perkara-perkara yang dibangkitkan oleh para petani kecil dalam memorandum mereka dan menetapkan satu tarikh awal untuk berjumpa dengan petani-petani kecil yang sedang diancam pengusiran ini.

2 thoughts on “Jangan usir! Kekalkan Changkat Kinding sebagai kawasan pertanian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *