KUALA LUMPUR – 12 SEPTEMBER 2023: Gabungan Petani Perak mengunjungi Parlimen pada hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang dengan seruan mengekalkan kawasan pengeluaran sayur-sayuran di negeri Perak, seperti Kathan, Tanah Hitam dan Changkat Kinding.

Turut hadir bersolidariti bersama rombongan petani-petani kecil dari Perak pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Tharma Pillai daripada kumpulan “Lawan Lapar” dan ramai lagi aktivis masyarakat sivil.

“Rombongan Gabungan Petani Perak yang hadir pada hari ini mewakili 250 orang pekebun kecil dari kawasan Kanthan, Tanah Hitam, dan Changkat Kinding yang sedang menghadapi masalah ancaman pengusiran paksa,” kata Dr. Jeyakumar yang hadir bersolidariti bersama petani-petani kecil. “Mereka telah mengusahakan tanah di situ untuk aktiviti-aktiviti pertanian untuk tempoh lebih daripada 80 tahun. Datuk nenek mereka telah menerokai kawasan ini sebelum Perang Dunia Kedua dan keluar mereka telah menanam sayur di situ sejak masa itu. Pada zaman Darurat, ibu bapa mereka dikehendaki untuk merobohkan rumah kediaman mereka yang berdekatan dengan kebun sayur mereka dan dipaksa untuk berpindah ke kampung-kampung baru yang didirikan di kawasan Kanthan, Tanah Hitam dan Changkat Kinding. Namun begitu, pihak pentadbiran British telah membenarkan ibu bapa mereka untuk terus mengusahakan kebun-kebun mereka pada waktu siang kerana pihak berkuasa memang tahu bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam pembekalan makanan kepada rakyat tempatan.”

“Selepas Merdeka, beberapa orang antara petani-petani kecil ini pernah memohon lesen pendudukan sementara (TOL) daripada Pejabat Tanah Kinta. Ada ramai antara mereka yang dijemput untuk temu duga oleh Pejabat Tanah,” Dr. Jeyakumar menerangkan dengan lebih lanjut lagi. “Pada tahun 1980-an, terdapat satu masa di mana adanya perbincangan untuk mewujudkan projek persayuran di kawasan belakang bandar Chemor. Tetapi tiada kata putus diberikan. Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, tanah yang sedang diusahakan oleh petani-petani kecil ini telah dilupuskan kepada pihak-pihak lain.”

Jadual di bawah menunjukkan kawasan tanah yang sedang diusahakan oleh petani-petani kecil tetapi telah dilupuskan kepada pihak yang lain:

Pelupusan Tanah di kawasan Kanthan, Tanah Hitam dan Changkat Kinding

Kawasan  Keluasan dan bilangan petani  Pihak yang dilupuskan tanah  Tahun
Kuala Kuang  50 ekar
7 orang
  Ain Bina Sdn Bhd  2001
Changkat Kinding  250 ekar
36 orang
  Generasi Simbolik Sdn Bhd Anak Syarikat LBS Bina Group  2010(?)
Kanthan  > 1200 ekar
130 orang
  PKNP  2011
Tanah Hitam  24 ekar
10 orang
  Pasukan Bola Sepak Perak  2019
Belakang Bandar Chemor  50 ekar 1
8 orang
  Kinding Maju dan Infinite Acres (Anak-anak syarikat Liew Yin Yin Land)  2020

Dalam 20 tahun yang lalu, lebih daripada 1600 ekar tanah di Perak yang sedang digunakan untuk mengeluarkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan tawar dan itik telah dilupuskan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada beberapa pihak untuk projek-projek pembinaan rumah dan pembangunan tapak industri.

“Ini bukannya satu pendekatan yang bijak ataupun yang mengambil kira kepentingan jangka masa panjang rakyat kita. Petani-petani kecil yang sedang mengusahakan 1600 ekar tanah ini merupakan pembekal terbesar sayur-sayuran di Perak pada masa ini. Adalah dijangka bahawa mereka mengeluarkan sejumlah 80 tan sayur dan buah-buahan setiap hari,” ulas Dr. Jeyakumar.

“Negara kita sedang menghadapi kekekangan dalam bekalan makanan untuk rakyat, dan harga barangan makanan sedang naik,” tambah Dr. Jeyakumar. “Malaysia telah mengimpot barangan makanan bernilai RM70 bilion pada tahun lalu. Dengan kedatangan perubahan iklim, masalah bekalan makanan akan menjadi lebih rumit. Oleh itu, keputusan untuk mengorbankan kawasan-kawasan yang mengeluarkan makanan untuk rakyat kita bukan satu keputusan yang bijak dan tidak harus dipertahankan.”

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia dan juga Ahli-ahli Parlimen, Gabungan Petani Perak menyeru kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya:

1. Menghentikan segala bentuk pengusiran di kawasan Kanthan, Tanah Hitam belakang bandar Chemor dan Changkat Kinding buat masa ini. (50 ekar kebun di Kuala Kuang telah habis dimusnahkan kerana pengusiran.)

2. Bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Di-Raja yang bertanggungjawab untuk menyiasat

  • Peranan kawasan-kawasan yang diusahakan petani-petani kecil dalam membekalkan barangan makanan kepada rakyat Malaysia. Adakah angka 80 tan sehari yang disebut oleh petani-petani itu benar?
  • Prestasi 6 buah kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Perak dalam 10 tahun yang lalu. Tinjauan pihak petani ke 6 buah kawasan TKPM mendedahkan hakikat bahawa kurang daripada 25% kawasan yang diperuntukkan sedang ditanam sayur. Ada banyak kawasan ditanam sawit dan sebahagian besar terbiar sahaja.
  • Sama ada kawasan-kawasan yang diusahakan oleh petani-petani kecil sekarang boleh diambil balik dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah dan pihak pemaju diberi tanah lain ataupun pampasan kewangan terhadap perbelanjaan mereka sehingga sekarang? Oleh kerana ia melibatkan keterjaminan makanan negara, Kerajaan Persekutuan boleh menghulur bantuan kewangan untuk membayar pampasan kepada para pemaju berkenaan.
  • Bagaiamana sebuah persetujuan pajakan tanah selama 15 tahun kepada petani yang sedang mengusahakan tanah di kawasan-kawasan ini boleh digubal. Syor daripada Gabungan Petani Perak adalah kawasan-kawasan ini harus dikekalkan untuk pengeluaran makanan. Oleh itu, petani-petani tidak memohon geran terhadap tanah ini. Persetujuan pajakan boleh mengandungi syarat bahawa jika kebun tidak diusahakan untuk tempoh 2 tahun, ianya boleh diambil balik dan dipajak kepada seorang petani yang lain.  

Pada pandangan petani-petani kecil Perak, pelupusan 1600 ekar tanah di kawasan-kawasan yang sedang mengeluarkan makanan kepada pihak pemaju merupakan keputusan yang tidak mengambil kira kepentingan jangka masa panjang negara dan rakyat kita. Keterjaminan makanan, cabaran yang dibawa oleh perubahan iklim dan kesejahteraan rakyat Malaysia tidak diambil kira oleh pihak-pihak yang membuat keputusan itu. Pendekatan yang bertanggungjawab pada masa ini adalah untuk mengkaji semula semua keputusan itu melalui satu proses yang bebas, iaitu Suruhanjaya Diraja dan, jika perlu, mengambil tindakan yang tegas seperti disenaraikan di atas.

Kejadian sampingan: Halangan daripada pihak polis

Terjadinya perkara yang tidak masuk akal semasa aksi penyerahan memorandum pada hari ini apabila pihak polis cuba menghalang sebahagian daripada aktivis-aktivis yang bersolidariti dengan petani-petani kecil ini untuk bergerak menuju ke Parlimen. Mereka telah disekat pergerakan mereka di kawasan berdekatan dengan Tugu Negara.

“Kita sepatutnya ada hak untuk berhimpun secara aman di Malaysia hari ini. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memberikan setiap rakyat Malaysia hak untuk berhimpun secara aman tanpa bersenjata,” kata Arutchelvan yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk pihak polis pada hari ini. “Kami hendak menghantar memorandum di Parlimen kepada Ahli-ahli Parlimen. Tempat yang seharusnya kami berkumpul adalah di hadapan Parlimen. Tetapi polis tidak membenarkan kami untuk pergi ke Parlimen. Pihak polis meminta kami menyerahkan memorandum di kawasan Tugu Negara. Ini bukannya cara yang betul. Apabila kami bertanya pada polis, pihak polis mengatakan bahawa ini ialah arahan daripada Parlimen. Tetapi kawasan di hadapan Parlimen itu bukannya kawasan larangan! Parlimen ialah tempat di mana rakyat menyerahkan tuntutan mereka kerana Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat itu duduk di dalam Parlimen! Mengapakah polis menghalang rakyat daripada menyerahkan memorandum secara aman di hadapan Parlimen? Jadi, ini amat mendukacitakan.”

2 thoughts on “Kekalkan kawasan pengeluaran makanan di Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *