3 orang aktivis PSM bersama-sama para penyokong PSM yang hadir bersolidariti di hadapan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – 18 SEPTEMBER 2023: 3 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini untuk disoal siasat oleh polis kerana penglibatan mereka dalam penyerahan memorandum daripada petani-petani Perak kepada Parlimen pada 12 September 2023.

3 orang aktivis PSM tersebut ialah S. Arutchelvan yang merupakan Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Soh Sook Hwa yang merupakan Bendahari Nasional PSM dan Ayman Hareez yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM. Mereka disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Pada 12 September 2023, aktivis-aktivis yang hadir bersolidariti dengan petani-petani kecil Perak yang menghadapi pelbagai ancaman pengusiran paksa telah dihalang oleh pihak polis di kawasan berdekatan Tugu Negara daripada berjalan menuju ke Parlimen, iaitu destinasi penyerahan memorandum. Selepas itu, pihak polis membuat kertas siasatan terhadap aktivis-aktivis PSM yang bersolidariti dengan petani-petani ini.

“Adalah satu norma dalam mana-masa sistem demokrasi, rakyat berhak untuk menyerahkan memorandum, petisyen dan mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Parlimen, memandangkan Parlimen ialah simbol demokrasi negara,” kata Arutchelvan sebelum masuk ke IPD Dang Wangi untuk dirakam percakapannya. “Namun, kami melihat sejak kebelakangan ini, pihak PDRM telah menyekat rakyat daripada pergi ke kawasan perkarangan Parlimen untuk menyerahkan memorandum atau berhimpun. Pihak PDRM juga memberikan alasan bahawa ini adalah arahan daripada Parlimen bahawa rakyat tidak dibenarkan menyerahkan memorandum di kawasan perkarangan Parlimen. Adalah dimaklumkan bahawa kawasan perkarangan Parlimen bukannya kawasan larangan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Perhimpunan Aman 2012.”

Arutchelvan telah menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan sama ada Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau sesiapa bagi pihak Parlimen memberi arahan kepada polis untuk menyekat hak demokrasi rakyat untuk berhimpun di Parlimen atau kawasan perkarangan Parlimen, dan sama ada Yang di-Pertua Dewan di dalam Parlimen mempunyai bidang kuasa di luar kawasan Parlimen seperti kawasan Tugu Negara atau Padang Merbok untuk menerima memorandum.

“Tindakan polis ini sedang membazir masa semua pihak,” tambah Arutchelvan. “Menghalang rakyat daripada menyampaikan memorandum kepada Parlimen adalah bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan bahawa setiap rakyat mempunyai hak untuk kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.”

PSM menyeru kepada pihak berkuasa supaya menghentikan segala intimidasi terhadap aktiviti-aktiviti masyarakat yang mengamalkan hak demokratik kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *