Oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Baru-baru ini, terdapat beberapa hebahan dan pandangan dalam media arus perdana yang menyokong idea untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada bulan Jun 2018. Pilihan ini diuar-uarkan sebagai perkara yang paling wajar dan bertanggungjawab untuk dilakukan kerana defisit Kerajaan Persekutuan telah meningkat kepada lebih kurang RM100 bilion setahun, dan jumlah hutang Persekutuan (tidak termasuk liabiliti di luar jangkaan) sekarang adalah lebih kurang RM1.2 trilion. Para penyokong GST berhujah bahawa selain mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan, GST akan membantu dalam meyakinkan pelabur-pelabur bahawa kerajaan adalah berhemat dari segi fiskal dan ini akan membawa kepada pengaliran masuk pelaburan yang lebih besar ke dalam ekonomi Malaysia.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak bersetuju dengan pandangan sebegini. Kami pernah berkempen secara bersungguh-sungguh untuk membantah GST pada tahun 2011 hingga 2015 kerana ia adalah cukai yang regresif, dan tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh 10 tahun lalu untuk mengubah fakta ini. Bagi golongan yang lebih miskin dalam masyarakat, yang membelanjakan hampir semua pendapatan mereka, kadar cukai GST 6% menggunakan 6% daripada pendapatan mereka. Bagi lapisan masyarakat paling kaya yang dapat menyimpan atau melaburkan separuh daripada pendapatan mereka, kadar cukai GST 6% hanya menggunakan 3% daripada pendapatan mereka. Cukai penggunaan seperti GST menjejaskan pendapatan golongan miskin secara berkadar lebih tinggi berbanding pendapatan lapisan masyarakat yang lebih kaya. Inilah sebabnya kenapa ia dikenali sebagai cukai “regresif”.

Kami mahu pembuat dasar dalam kerajaan mempertimbangkan realiti-realiti yang berikut:

  1. Salah satu cabaran terbesar yang sedang dihadapi negara kita ialah kita tidak dapat berkongsi kekayaan negara yang semakin bertambah itu secara saksama. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita telah meningkat kira-kira 23 kali ganda secara sebenar dalam tempoh 50 tahun yang lalu tetapi gaji median pekerja-pekerja kilang secara sebenar hanya meningkat 1.4 kali ganda berbanding 50 tahun dahulu. (“Secara sebenar” bermakna selepas mengambil kira kesan inflasi.)
  2. Hasil kerajaan telah menurun daripada lebih kurang 27% daripada KDNK Malaysia pada tahun 1980-an kepada 13% daripada KDNK pada masa sekarang. Liberalisasi berketerlaluan terhadap kerangka sistem kewangan global (yang diperkukuhkan oleh pelbagai “Perjanjian Perdagangan Bebas”) telah memaksa kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk mengurangkan cukai korporat mereka dalam cubaan terdesak untuk mengekalkan modal pelaburan di dalam negara mereka masing-masing. Negara Malaysia juga mengurangkan cukai korporat daripada kadar 40% keuntungan pada pertengahan tahun 1980-an kepada 24% daripada keuntungan pada masa ini. Negara kita sedang bersaing dengan Vietnam dan Thailand di mana kedua-dua negara itu mengenakan cukai korporat pada kadar 19% daripada keuntungan. Namun, kita harus sedar bahawa perlumbaan ke bawah dalam kadar cukai korporat ini bukannya ditakdirkan dari syurga. Ia sememangnya buatan manusia dan dibuat oleh orang yang tidak panjang fikiran! Oleh sebab ia adalah buatan manusia, maka ia boleh dibatalkan oleh manusia.
  3. Pengagihan pendapatan negara Malaysia yang tidak saksama itu bukannya konsep teori yang abstrak. Ia memberi kesan mendalam kepada keluarga-keluarga B40 dan M40, di mana kebanyakan mereka lemas dalam hutang, dan terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan kerja tambahan. Ia mendatangkan tekanan dalam keluarga dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak. Statistik Jabatan Kesihatan mendedahkan bahawa hampir 20% kanak-kanak Malaysia yang berumur di bawah 5 tahun mempunyai masalah tumbesaran terbantut. Ini bermakna mereka adalah jauh lebih pendek dari segi ketinggian badan berbanding apa yang sepatutnya bagi kanak-kanak seumur dengan mereka. Bukankah 20% ini cukup mengejutkan bagi sebuah negara yang berbangga pada dirinya berada di ambang menjadi sebuah negara “maju”? Berdasarkan hakikat ini, apa-apa dasar yang mengurangkan pendapatan boleh guna bagi golongan B40 dan M40 harus ditolak.
  4. Terdapat kesedaran yang semakin meningkat di seluruh dunia bahawa kegagalan individu-individu dan syarikat-syarikat terkaya dalam membayar bahagian cukai mereka itu adalah sebab utama kenapa jaringan perlindungan sosial semakin merosot di banyak negara. Ia juga merupakan sebab kenapa kita tidak dapat menyalurkan sumber-sumber yang mencukupi untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui pada kadar yang lebih cepat. Cukai minimum global 15% terhadap syarikat-syarikat multinasional besar yang akan dilaksanakan pada tahun 2024 mencerminkan kesedaran dan kebimbangan ini. Kita di Malaysia, harus mengambil kesempatan daripada kesedaran ini untuk mencadangkan kepada negara-negara jiran kita di ASEAN bahawa barang kali kita di ASEAN harus menghentikan perlumbaan ke bawah yang tidak masuk akal dalam percukaian korporat.   

Rakyat yang telah memilih kerajaan ini berhak mengharapkan kerajaan untuk menguruskan ekonomi secara bijak dan adil. Dalam situasi di mana penyorokan pendapatan negara yang berlebihan oleh golongan bilionair dan syarikat-syarikat terkaya sedang mengakibatkan defisit belanjawan dan peningkatan hutang negara, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya membuat rancangan untuk menangani punca masalah utama ini, bukannya cuba memerah RM30 bilion tambahan daripada golongan B40 dan M40 yang sudah terjejas dari segi ekonomi.

Perkara yang betul untuk dilakukan sekarang, ialah menyusun strategi untuk meningkatkan secara beransur-ansur bahagian pendapatan negara yang pergi kepada golongan B40, M40 dan kerajaan. Pengenalan semula GST langsung tidak harus dipertimbangkan pada ketika ini.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *