IPOH / SHAH ALAM – 3 OKTOBER 2022:  Hari Isnin pertama dalam bulan Oktober setiap tahun disambut sebagai Hari Habitat Sedunia di peringkat antarabangsa sejak tahun 1986. Bersempena Hari Habitat Sedunia pada tahun ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gabungan Marhaen mengadakan aksi protes serentak di Ipoh dan Shah Alam dengan membawa tuntutan-tuntutan kepada Kerajaan Negeri Perak dan Selangor untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat yang sudah lama tertangguh.

Ipoh, Perak.

Di Ipoh, Perak, satu memorandum telah diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak dengan dua tuntutan utama, iaitu:

  • Menyelesaikan masalah perumahan di 5 buah kampung yang telah dijanjikan perumahan alternatif oleh Kerajaan Negeri Perak;
  • Mencampurtangan dalam menyelesaikan isu perumahan pekerja Ladang Windsor.
Penyerahan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak.

Menurut Rani Rasiah, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, yang hadir semasa penyerahan memorandum kepada Kerajaan Negeri Perak di Ipoh, terdapat isu perumahan yang belum selesai dan tertangguh lama di beberapa kawasan di Perak. Antara kawasan yang dimaksudkan itu ialah Kampung DBI dan Kampung KTM yang terletak di Ipoh, serta Kampung Sungai Buloh, Kampung Jalan Lintang dan Kampung Benggali di Sungai Siput. Isu pengusiran paksa di Ladang Windsor juga diketengahkan dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Besar Perak.

“Semua kampung ini sudah lama wujud, tetapi menghadapi pengusiran paksa atas nama pembangunan. Kebanyakan keluarga dari kawasan ini tidak mampu membeli rumah dan berpindah keluar memandangkan harga rumah yang melambung naik di pasaran,” kata Rani. “Kampung-kampung ini telah melalui perjuangan yang berpanjangan. Mereka pernah menyerahkan puluhan surat dan memorandum kepada kerajaan. Terdapat janji-janji daripada kerajaan untuk membina rumah teres atau menawarkan lot perumahan. Namun, janji-janji ini belum ditunaikan lagi sehingga kini.”

Shah Alam, Selangor.

Di Shah Alam, Selangor, Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan di bawah Gabungan Marhaen telah mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat peneroka bandar kepada perhatian Kerajaan Negeri Selangor. Antara isu-isu yang belum diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor ialah: proses pemberian rumah ganti atau tanah ganti yang mengambil masa terlalu lama di beberapa kawasan peneroka bandar, janji penawaran kedai ganti di Kampung Manickam Bangi Lama yang belum ditunaikan, pemberian tanah ganti yang tidak selamat untuk dihuni kepada peneroka Kampung Baru India Pulau Carey, dan ancaman pengusiran yang sedang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kawasan seperti Penempatan Jalan Reko di Kajang, Kampung Sri Makmur di Sri Gombak dan Kampung Bukit Kuda di Klang.

Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan menuntut pembangunan yang seimbang untuk peneroka bandar. Tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Besar Selangor ialah:

  • Menyelesaikan segera segala urusan pemberian rumah, tanah dan kedai ganti kepada peneroka bandar;
  • Hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat peneroka bandar;
  • Tanah ganti yang selamat dihuni oleh rakyat.

“Kami menggesa Menteri Besar Selangor supaya mencampurtangan segera dan memastikan isu-isu yang dihadapi oleh kampung-kampung peneroka bandar ini dapat diselesaikan dengan segera,” demikian katanya Parameswary Elumalai, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, semasa penyerahan memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor. “Kami juga bimbang bahawa jika tidak diselesaikan dengan segera dan ditangguh lagi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, ia akan memberi kesan kepada segala proses penyelesaian masalah ini.”

“Isu-isu yang dihadapi peneroka bandar ini bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia dan sudah pun wujud pada masa negara kita mengalami proses urbanisasi sejak tahun 1980-an lagi. Namun sehingga hari ini, tiada satu jaminan kepada hak untuk hidup bagi kaum peneroka bandar ini. Oleh sebab itu juga, masalah-masalah peneroka bandar masih wujud sehingga hari ini. Peneroka bandar tidak seharusnya dipinggirkan dan dimangsakan oleh pembangunan yang rancak. Sebaliknya hak peneroka harus dihormati dan kerajaan harus menjamin hak untuk hidup bagi kaum peneroka bandar,” ulas Parameswary. “Gabungan Pereroka dan Perumahan MARHAEN bersedia untuk berdialog bila-bila masa dengan pihak kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat peneroka bandar.”

Aksi sambutan Hari Habitat Sedunia di Shah Alam, Selangor.

Bersempena Hari Habitat Sedunia tahun ini, PSM juga mengemukakan satu kenyataan yang menggariskan beberapa cadangan yang penting untuk menyelesaikan masalah perumahan yang sedang dihadapi oleh rakyat marhaen di negara kita, antaranya:

  • Mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) untuk meringankan beban peminjam perumahan daripada golongan B40;
  • Mengeluarkan pembekalan rumah pertama rakyat daripada pasaran swasta dan mengurangkan harga rumah;
  • Menghentikan lelong rumah rakyat marhaen dan menawarkan penstrukturan semula pembayaran kepada golongan rakyat marhaen yang tidak mampu membayar hutang pinjaman perumahan;
  • Menghentikan pengusiran paksa terhadap peneroka bandar dan pekerja ladang, di samping mengiktiraf hak peneroka bandar dan menggubal Akta Skim Perumahan Ladang;
  • Majlis Perbandaran Tempatan harus mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah;
  • Hentikan penindasan terhadap pekerja migran, pelarian dan pemohon suaka.

Karthiges Rajamanickam, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, berkata, “Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan harus mencampurtangan untuk menyelesaikan isu-isu perumahan yang sedang dihadapi oleh masyarakat bawahan.”

“Kita harus sedar bahawa pihak kapitalis dan kerajaan yang menjadi ‘pak turut’ pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Adalah hak rakyat untuk ditawarkan skim perumahan selesa mampu milik atau sewa yang bukannya berlandaskan keuntungan. Kerajaan harus mengambil alih penyediaan perumahan pertama rakyat dan keluarkannya daripada pasaran swasta. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal,” begitu katanya Karthiges.

One thought on “Selesaikan masalah perumahan rakyat segera – Seruan rakyat sempena Hari Habitat Sedunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *