PETALING JAYA, SELANGOR – 15 JULAI 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bersetuju untuk mengadakan kerjasama pilihan raya berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Kerjasama antara PSM dan MUDA ini akan berlandaskan 5 prinsip bersama dan mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi kedua-dua buah parti dalam PRN 2023.
Perkara ini diumumkan dalam satu sidang media bersama yang diadakan pada hari ini. Turut hadir dalam sidang media pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden MUDA), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM), Amir Hadi (Setiausaha Agung MUDA), Bawani KS (Timbalan Setiausaha Agung PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM).
“Antara perkara yang kami telah bersetuju adalah kami hendak membawa sejenis politik baharu, bukannya politik yang memanipulasi rakyat, mempermainkan isu perkauman dan menakut-takutkan rakyat,” kata Dr. Jeyakumar dalam sidang akbar bersama PSM-MUDA. “Politik arus perdana sekarang ini sangat toksik untuk negara kita. Kami, PSM dan MUDA, berhasrat membawa satu corak politik yang berbeza. Kami tidak mahu memperbodohkan rakyat dan menjadikan rakyat bermusuhan sesama sendiri.”
“Kami juga hendak memfokus pada isu-isu rakyat biasa B40 dan M40, serta isu alam sekitar” ulas Dr. Jeyakumar. “Ini hanyalah satu permulaan. Kami berharap kerjasama ini boleh terus berkembang selepas PRN ini untuk membawa satu budaya politik yang lebih bersih dan lebih baik untuk negara kita.”
“Hari ini ialah hari yang bersejarah di mana pimpinan parti MUDA dan PSM membuat keputusan bersama untuk mengumumkan persetujuan kerjasama pilihan raya,” kata Syed Saddiq. “Kerjasama pilihan raya ini bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan pertindihan kerusi, tetapi untuk menggembleng tenaga kedua-dua parti untuk memastikan bahawa kita akan berkhidmat dan bekerja dengan lebih baik demi mendapat kemenangan, dan lebih mustahak untuk membela nasib rakyat.”
“Sama ada menang atau kalah, kami akan bekerjasama selepas pilihan raya,” tambah Syed Saddiq. “Saya rasa di kalangan kedua-dua parti, pimpinan dan akar umbinya, ada lebih banyak persamaan dari perbezaan.”
5 tunjang utama yang disenaraikan dalam Persetujuan Kerjasama Pilihan Raya antara PSM dan MUDA sebagai prinsip bersama yang menjadi asas kepada kerjasama pilihan raya ini ialah:
1. Menolak politik perkauman
- MUDA dan PSM mewakili rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Kedua-dua parti berasa bahawa politik arus perdana Malaysia selama ini yang berasaskan sentimen perkauman sudah lapuk ditinggal zaman dan perlu digantidengan perjuangan berasaskan keperluan (need based).
- MUDA dan PSM sedar bahawa pemecahbelahan rakyat dari segi kaum dan agama kini semakin menebal. Untuk menentangnya secara habis-habisan, MUDA dan PSM akan bersama menjadi kuasa penyatuan rakyat Malaysia berjuang untuk kebaikan bersama.
- MUDA dan PSM fahami bahawa strategi memecahbelahkan rakyat dibuat agar para elit, politik dan bisnes dapat terus menindas rakyat demi kepentingan diri.
2. Mengangkat nasib rakyat terbanyak dan terpinggir
- Kebanyakan polisi yang diwujudkan di peringkat nasional mahupun negeri lebih tertumpu kepada perkembangan golongan berada berbanding rakyat bawahan yang paling memerlukan bantuan.
- MUDA dan PSM ingin menguatkan suara rakyat terbanyak dan terpinggir di setiap negeri dengan mengarusperdanakan tumpuan polisi terhadap mereka demi memperkasakan kemampuan menampung keperluan hidup dan meningkatkan daya saing dengan golongan berada.
3. Demokrasi tulen
- MUDA dan PSM percaya bahawa suara rakyat adalah panduan kepada kerajaan dan ADUN dan wakil rakyat mesti menyediakan platform untuk rakyat berkongsi pendapat secara langsung.
- MUDA dan PSM percaya hak rakyat untuk memilih wakil tempatan dan lain-lain jawatan kerajaan mesti dipulangkan ke tangan rakyat. Tanpa proses pemilihan, aspirasi rakyat tidak mungkin tercapai.
4. Pembangunan seimbang dan inklusif
- MUDA dan PSM berasa bahawa setiap negeri di Malaysia patut memikul tanggungjawab mengehadkan impak kepada rakyat marhaen di samping pembangunan yang diperlukan.
- MUDA dan PSM ingin mengangkat isu-isu seperti penambahbaikan pengangkutan awam, penyelenggaraan kemudahan awam, akses kepada bekalan air bersih dan langkah-langkah meningkatkan kualiti hidup rakyat setiap negeri.
5. Alam sekitar
- Kerajaan-kerajaan negeri kini lebih fokus kepada pembangunan ekonomi negeri mereka tanpa mengendahkan impak kepada alam persekitaran. Pencemaran oleh polisi pembangunan yang berketerlaluan ini secara terus memudaratkan bencana alam dan perubahan iklim yang menyebabkan kerugian kepada rakyat dan negara.
- MUDA dan PSM ingin menekankan tumpuan terhadap polisi yang menjamin kelestarian alam sekitar dan menjadikan perwujudan bandaraya hijau sebagai dasar pembangunan.
Dalam Persetujuan Kerjasama Pilihan Raya antara PSM dan MUDA, kedua-dua parti ini bersetuju bahawa hanya seorang calon akan ditetapkan untuk mewakili MUDA dan PSM dalam sesuatu kawasan DUN supaya tidak berlakunya pertembungan kerusi yang ditandingi kedua-dua parti ini dalam PRN di enam buah negari yang akan datang.
“Persetujuan ini dipersetujui dengan semangat setia kawan serta iltizam yang tinggi bagi memperjuangkan 5 tunjang utama yang telah disebutkan dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara,” begitu katanya Persetujuan Kerjasama Pilihan Raya antara PSM dan MUDA yang ditandatangani oleh kepimpinan kedua-dua buah parti ini.
3 thoughts on “PSM dan MUDA jalin kerjasama pilihan raya dalam PRN 2023”