Cadangan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC)

Pilihanraya merupakan satu komponen yang penting dalam demokrasi. Rakyat dapat memilih wakil rakyat yang mewakili mereka dalam sistem perundangan ataupun kerajaan yang mentadbir sesebuah negara melalui cara pengundian dalam pilihanraya yang bebas dan demokratik.

Sistem pilihanraya di negara kita masih mempunyai pelbagai kelemahan yang boleh menghalang usaha kita untuk membina demokrasi yang sihat dan mampan.

Oleh itu, kita perlu menjalankan pembaharuan yang menyeluruh terhadap sistem pilihanraya di negara kita supaya memastikan pilihanraya dapat mencapai hasrat kita untuk memperdalamkan demokrasi di negara kita demi kesejahteraan rakyat jelata.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengemukakan cadangan untuk pembaharuan sistem pilihanraya yang merangkumi aspek berikut:

A. Pelaksanaan sistem pengundian campuran

B. Pendanaan awam untuk parti politik

C. Pengagihan kerusi dalam Dewan Negara

D. Perwakilan untuk warganegara Malaysia yang menetap di luar negara

E. Penurunan umur layak mengundi

F. Pendaftaran pengundi secara automatik

G. Penambahbaikan proses perjalanan pilihanraya

F. Pemulihan pilihanraya tempatan

===============

A. Pelaksanaan sistem pengundian campuran

Sistem pengundian yang diamalkan dalam pilihanraya di negara kita sekarang ini, ialah sistem “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP), mana-mana calon yang mendapat undi terbanyak dalam sesuatu kawasan pilihanraya akan menjadi satu-satunya wakil rakyat untuk kawasan berkenaan.

Sistem “undian pemenang undi terbanyak” mempunyai pelbagai kelemahan dan masalah, antaranya:

i. Pengagihan perwakilan dalam Parlimen tidak mencerminkan pecahan jumlah undi yang diperoleh

Misalnya, dalam PRU-13 pada tahun 2013, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 47.38% daripada jumlah undi di seluruh negara, tetapi ia memenangi sebanyak 59.91% kerusi dalam Dewan Rakyat; sedangkan Pakatan Rakyat yang memperoleh sebanyak 50.87% undi pada masa itu hanya mendapat 40.09% kerusi dalam Dewan Rakyat. Amat jelas sekali, pengagihan kerusi dalam Parlimen tidak selaras dengan taburan undi yang diperoleh parti-parti yang bertanding.

ii. Undi dibazirkan

Jika kita ambil contoh senario yang boleh wujud di sesuatu kawasan pilihanraya: katakan dalam satu kawasan pilihanraya dipertandingkan oleh 2 orang calon (calon A dan B), daripada jumlah undi yang dibuang dalam peti undi, calon A mendapat sebanyak 51% undi, manakala calon B mendapat 49% undi, maka calon A akan menang kerusi yang mewakili sepenuhnya kawasan pilihanraya tersebut. Ini bermakna pilihan hampir separuh daripada pengundi di kawasan tersebut, iaitu 49% pengundi yang mengundi untuk calon B, tidak ditunjukkan dalam perwakilan di parlimen.

Ambil satu lagi contoh, katakan adanya 3 orang calon dalam suatu kawasan pilihanraya (calon A, B dan C), calon A mendapat 34% undi, calon B mendapat 33% undi dan calon C mendapat 33% undi, maka calon A muncul sebagai pemenang dan menjadi satu-satunya wakil rakyat untuk kawasan pilihanraya tersebut, walaupun dia hanya memperoleh sokongan lebih sedikit daripada 1/3 jumlah pengundi yang keluar mengundi. 66% undi “dibazirkan” begitu sahaja dalam senario ini.

iii. Mendorong pengundian secara taktikal yang tidak sihat untuk demokrasi 

Dalam pertandingan pelbagai penjuru, biasanya calon yang merupakan penyandang jawatan ataupun daripada parti yang lebih besar akan mempunyai kelebihan berbanding calon-calon yang lain.

Oleh sebabnya wujud masalah berkemungkinan besar undi dibazirkan, maka akan mendorong pengundi untuk mengundi secara taktikal semasa pilihanraya, dan terpaksa mengundi calon yang bukan pilihannya. Pengundian secara taktikal bermakna dalam situasi pertandingan pelbagai penjuru (melebihi 2 orang calon), pengundi akan membuat pertimbangan untuk mengundi calon yang mempunyai peluang yang lebih besar untuk menang, walaupun calon yang berpeluang besar untuk menang itu bukan pilihannya. Undi kepada mana-mana calon yang dianggap tidak berpeluang menang berkemungkinan akan “dibazirkan” ataupun tidak mendatangkan kesan kepada keputusan akhirnya.

Situasi memaksa pengundi untuk mengundi secara taktikal antara 2 orang calon yang paling berkemungkinan untuk menang di bawah sistem FPTP, biasanya akan meminggirkan pandangan politik yang tidak tergolong dalam parti politik aliran utama. Pandangan yang berbeza daripada parti politik aliran utama akan dipinggirkan, dan suara pengundi yang menyokong pandangan politik sebegini juga tidak dapat didengar dalam Parlimen akibat daripada pengundian secara taktikal.

Pengundian secara taktikal akan menafikan kewujudkan kepelbagaian pandangan politik dalam Parlimen, sedangkan masyarakat kita pada hakikatnya wujud kepelbagaian dalam banyak aspek. Pengundian secara taktikal yang menyekat kepelbagaian politik ini tidak sihat untuk perkembangan sistem demokrasi di negara kita.

iv. “Gerrymandering

Satu lagi masalah serius dengan sistem pilihanraya di negara kita yang mengamalkan FPTP adalah kecenderungan sesebuah parti pemerintah menggunakan kaedah “gerrymandering” bagi menambahkan peluangnya untuk menang lebih kerusi. Ini dilakukan setiap kali diadakan persempadanan semula, di mana sempadan kawasan pilihanraya dialihkan supaya boleh memasukkan penyokong parti pemerintah yang berlebihan di sesuatu kawasan pilihanraya ke dalam kawasan pilihanraya yang berjiranan. “Gerrymandering” akan menimbulkan keadaan taburan bilangan pengundi yang tidak samarata, di mana akan wujudnya perbezaan bilangan pengundi yang ketara antara kawasan pilihanraya.

Memandangkan sistem FPTP mempunyai pelbagai masalah yang disebut di atas dan tidak sihat untuk perkembangan politik demokrasi di negara kita, Kita perlu memperkenalkan unsur-unsur perwakilan berkadar (proportional representation) dalam sistem pengundian kita.

Sistem perwakilan berkadar akan memastikan taburan kerusi dalam dewan perundangan mencerminkan taburan perolehan undi setiap parti yang bertanding. Jenis sistem perwakilan berkadar yang paling kerap digunakan ialah perwakilan berkadar mengikut senarai parti. Di bawah sistem ini, seluruh negara dijadikan satu kawasan parlimen yang besar dan diwakili oleh sejumlah wakil rakyat yang bersamaan dengan jumlah kerusi dalam Parlimen; pengagihan kerusi akan mengikut nisbah undi yang diperoleh setiap parti yang disenaraikan dalam kertas undi.

Kelemahan dengan sistem perwakilan berkadar mengikut senarai parti adalah berkemungkinan perwakilan dalam dewan perundangan tidak mencerminkan perwakilan mengikut kawasan geografi (kerana sesuatu parti mungkin akan meletakkan semua calonnya dari kawasan pusat bandar); faktor calon tidak diambil kira jika menggunakan kaedah senarai-tertutup (kerana calon mana yang masuk ke dalam dewan perundangan ditentukan oleh senarai calon yang dibuat oleh sesuatu parti).

Sistem Pengundian Campuran (mixed electoral system), merupakan satu alternatif yang sesuai untuk menggantikan kaedah “Undian Pemenang Undi Terbanyak” (First-past-the-post, FPTP) yang digunakan dalam sistem pengundian dalam pilihanraya kita hari ini, di samping dapat mengatasi kelemahan yang wujud dalam sistem perwakilan berkadar.

Sistem Pengundian Campuran, ataupun dua undi untuk satu kawasan pilihanraya, menggabungkan kedua-dua sistem pengundian FPTP dan sistem perwakilan berkadar.

Secara mudahnya, di bawah Sistem Pengundian Campuran:

  • Seorang pengundi akan diberi dua kertas undi: satu untuk memilih antara calon untuk mewakili kawasan, dan satu lagi untuk memilih parti.
  • Wakil rakyat untuk kawasan boleh ditentukan melalui cara “undian pemenang undi terbanyak” (FPTP) dan membentuk sebahagian daripada perwakilan dalam dewan perundangan; sementara sebahagian lagi perwakilan ditentukan mengikut taburan undi yang diperoleh setiap parti dalam undi mengikut parti.
  • Kaedah ini dapat membolehkan perwakilan mencerminkan undi yang diperoleh di samping memastikan adanya perwakilan dari kawasan geografik yang berlainan.

Ada dua jenis pilihan untuk Sistem Pengundian Campuran:

Pilihan 1: Sistem Ahli Bercampur Majoritarian (Mixed Member Majoritarian, MMM)

Pilihan 2: Sistem Perwakilan Berkadar Campuran-Ahli (Mixed-member Proportional Representation, MMP). 

Untuk kedua-dua pilihan sistem pengundian ini, PSM mencadangkan sub-pilihan mengikut senario:

Senario A: Dalam keadaan kekalkan jumlah kerusi parlimen 222 yang sedia ada seboleh mungkin (namun di bawah Pilihan 2, iaitu sistem MMP, penambahan kerusi tidak dapat dielakkan jika perlu menghasilkan pengagihan kerusi secara berkadar).

Senario B: Jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat ditambah. (Kami mencadangkan untuk menambahkan kerusi Dewan Rakyat kepada maksimum 300 seboleh mungkin, kerana pertambahan kerusi dalam Parlimen yang lebih daripada sekarang bermakna juga beban kewangan kepada kerajaan untuk membayar wakil-wakil rakyat yang dipilih turut bertambah).

Kita juga perlu mengambilkira status kesamarataan taraf Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dalam rekacipta pilihan sistem pengundian.

Oleh yang demikian, PSM mencadangkan pilihan-pilihan berikut: 

Pilihan 1 

Sistem Ahli Bercampur Majoritarian (MMM) juga dikenali sebagai Pengundian Selari (Parallel Voting). Unsur perwakilan berkadar tidak begitu menonjol dalam sistem ini. Sistem ini digunakan di Itali, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan sebagainya.

Cadangan PSM untuk pelaksanaan di Dewan Rakyat:

  • Separuh kerusi dipilih melalui undi mengikut kawasan parlimen, separuh kerusi dipilih melalui undi mengikut senarai parti.
  • Wakil rakyat untuk kawasan parlimen ditentukan mengikut kaedah FPTP seperti yang sedia ada, manakala wakil rakyat daripada senarai parti ditentukan mengikut nisbah undi yang diperoleh.

Pilihan 1A

  • Dalam keadaan kekalkan jumlah kerusi parlimen 222 yang sedia.
  • 111 kerusi mengikut kawasan parlimen. Wakil rakyat untuk kerusi ini dipilih melalui kaedah FPTP yang sedia ada. Persempadanan semula perlu dilakukan untuk semua kawasan parlimen, dan keluasan untuk kebanyakan kawasan parlimen akan bertambah. (Jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat pada tahun 1964 ialah 104, dan ditambahkan kepada 144 semasa PRU-3 pada tahun 1969.)
  • 111 kerusi untuk senarai parti. Kami cadangkan 111 kerusi ini dipecahkan kepada 3 komponen ataupun wilayah mengundi: Semenanjung Malaysia (73 kerusi), Sabah (19 kerusi) dan Sarawak (19 kerusi). Pengagihan kerusi mengikut senarai parti untuk Sabah dan Sarawak diasingkan bertujuan untuk melindungi autonomi kedua-dua negeri ini.
  • Mana-mana parti yang berdaftar dengan SPR boleh disenaraikan dalam kertas undi senarai parti (ikut pecahan 3 komponen). Calon bebas boleh dimasukkan dalam undi senarai parti dengan mengemukakan senarai namanya (termasuk senarai satu orang), dengan syarat mengutip sekurang-kurangnya 5,000 tandatangan daripada pengundi berdaftar untuk memasukkan senarainya dalam senarai parti.
  • Kerusi untuk undi senarai parti diagihkan mengikut nisbah undi yang diperoleh setiap parti.
  • Ambang batas (threshold) perolehan undi untuk mendapatkan kerusi dalam Dewan Rakyat melalui undi senarai parti ialah 2% untuk Semenanjung Malaysia, iaitu mana-mana parti yang mendapat peratusan undi keseluruhan dari Semenanjung Malaysia sebanyak 2% atau lebih dalam undian senarai parti akan mendapat sekurang-kurangnya 1 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ambang batas peratusan undi untuk dapatkan 1 kerusi melalui senarai parti di Sabah dan Sarawak ialah 6%, kerana jumlah kerusi yang kurang.

Pilihan 1B

  • Jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat boleh ditambahkan kepada maksimum 300.
  • 150 kerusi mengikut kawasan parlimen. Wakil rakyat untuk kerusi ini dipilih melalui kaedah FPTP yang sedia ada. Persempadanan semula perlu dilakukan untuk semua kawasan parlimen, dan keluasan untuk kebanyakan kawasan parlimen akan bertambah.
  • 150 kerusi untuk senarai parti. Kami cadangkan 150 kerusi ini dipecahkan kepada 3 komponen: Semenanjung Malaysia (100 kerusi), Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (25 kerusi).
  • Ambang batas perolehan undi untuk mendapatkan kerusi dalam Dewan Rakyat melalui undi senarai parti ialah 1% untuk Semenanjung Malaysia, iaitu mana-mana parti yang mendapat peratusan undi keseluruhan dari Semenanjung Malaysia sebanyak 1% atau lebih dalam undian senarai parti akan mendapat sekurang-kurangnya 1 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ambang batas peratusan undi untuk dapatkan 1 kerusi melalui senarai parti di Sabah dan Sarawak ialah 4%.

Pilihan 2

Sistem Perwakilan Berkadar Campuran-Ahli (MMP), akan lebih bersifat perwakilan berkadar berbanding Sistem MMM, kerana nisbah pengagihan kerusi dalam Dewan Rakyat akan ditentukan oleh nisbah undi mengikut senarai parti. MMP digunakan dalam sistem pilihanraya di Jerman, Bolivia dan New Zealand.

Walaupun diperuntukkan separuh daripada kerusi dalam Dewan Rakyat untuk dipilih mengikut kawasan parlimen dan separuh lagi dipilih melalui senarai parti pada asalnya, kerusi tambahan akan diperuntukkan untuk mengimbangi peratusan pengagihan kerusi supaya perwakilan dalam Dewan adalah secara berkadar

Cadangan PSM untuk pelaksanaan di Dewan Rakyat:

Pilihan 2A

  • Dalam keadaan kekalkan jumlah kerusi parlimen 222 yang sedia seboleh mungkin.
  • 111 kerusi mengikut kawasan parlimen. Wakil rakyat untuk kerusi ini dipilih melalui kaedah FPTP yang sedia ada. Persempadanan semula perlu dilakukan untuk semua kawasan parlimen, dan keluasan untuk kebanyakan kawasan parlimen akan bertambah.
  • 111 kerusi untuk senarai parti pada asalnya. Kami cadangkan 111 kerusi ini dipecahkan kepada 3 komponen: Semenanjung Malaysia (73 kerusi), Sabah (19 kerusi) dan Sarawak (19 kerusi).
  • Pengagihan kerusi untuk senarai parti akan mengambilkira kerusi mengikut kawasan parlimen yang sudah diisi terlebih dahulu, dengan nisbah pengagihan jumlah kerusi Dewan Rakyat akhirnya mencerminkan nisbah undi mengikut senarai parti. Tambahan kerusi diberikan mengikut komponen untuk menghasilkan perwakilan secara berkadar mengikut pengagihan undi. Misalnya, jika parti A mendapat 10% undi dalam undian senarai parti tetapi tiada apa-apa kerusi melalui undian mengikut kawasan parlimen di Semenanjung Malaysia, parti A akan mendapat tambahan kerusi menjadikannya mendapat 10% daripada kerusi di Semenanjung Malaysia.
  • Ambang batas (threshold) perolehan undi untuk mendapatkan kerusi dalam Dewan Rakyat melalui undi senarai parti ialah 2% untuk Semenanjung Malaysia, iaitu mana-mana parti yang mendapat peratusan undi keseluruhan dari Semenanjung Malaysia sebanyak 2% atau lebih dalam undian senarai parti akan mendapat sekurang-kurangnya 1 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ambang batas peratusan undi untuk dapatkan 1 kerusi melalui senarai parti di Sabah dan Sarawak ialah 6%.

Pilihan 2B

  • Jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat boleh ditambahkan kepada 300 dan ke atas.
  • 150 kerusi mengikut kawasan parlimen. Wakil rakyat untuk kerusi ini dipilih melalui kaedah FPTP yang sedia ada. Persempadanan semula perlu dilakukan untuk semua kawasan parlimen, dan keluasan untuk kebanyakan kawasan parlimen akan bertambah.
  • 150 kerusi untuk senarai parti pada asalnya. Kami cadangkan 150 kerusi ini dipecahkan kepada 3 komponen: Semenanjung Malaysia (100 kerusi), Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (25 kerusi).
  • Pengagihan kerusi untuk senarai parti akan mengambilkira kerusi mengikut kawasan parlimen yang sudah diisi terlebih dahulu, dengan nisbah pengagihan jumlah kerusi Dewan Rakyat akhirnya mencerminkan nisbah undi mengikut senarai parti. Tambahan kerusi akan diperuntukkan untuk menghasilkan keputusan yang berkadar mengikut nisbah pengagihan undi.
  • Ambang batas (threshold) perolehan undi untuk mendapatkan kerusi dalam Dewan Rakyat melalui undi senarai parti ialah 2% untuk Semenanjung Malaysia, iaitu mana-mana parti yang mendapat peratusan undi keseluruhan dari Semenanjung Malaysia sebanyak 2% atau lebih dalam undian senarai parti akan mendapat sekurang-kurangnya 1 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ambang batas peratusan undi untuk dapatkan 1 kerusi melalui senarai parti di Sabah dan Sarawak ialah 6%.

B. Pendanaan awam untuk parti politik

Dengan adanya undi mengikut senarai parti dalam Sistem Pengundian Bercampur, negara kita juga boleh mewujudkan sistem pembiayaan untuk parti politik yang lebih adil dengan menggunakan dana kerajaan, di mana pengagihan dana kepada parti politik boleh disalurkan mengikut peratusan undi yang diperoleh dalam undian mengikut senarai parti.

Cadangan untuk pendanaan awam kepada parti politik adalah setiap undi kepada sesuatu parti dalam kertas undi mengikut senarai parti akan membolehkan parti berkenaan mendapat RM 10 setiap tahun sehingga pilihanraya seterusnya. Misalnya, jika sebuah parti (sama ada parti pemerintah ataupun parti pembangkang) mendapat jumlah 100,000 undi dalam undian mengikut senarai parti, maka ia layak mendapat RM 1 juta setiap tahun.

Pada takat ini, terdapatnya hampir 15 juta pengundi yang berdaftar di Malaysia. Jikalau campur semua yang layak mengundi pun, negara kita adanya lebih kurang 19 juta orang pengundi yang layak. Jika semua pengundi membuang undi semasa pilihanraya umum, maka bermakna sebanyak RM 190 juta diperlukan sebagai peruntukan untuk semua parti politik yang layak setiap tahun.

Dengan adanya pendanaan awam untuk parti politik, kita boleh menggubal undang-undang yang menyekat sumbangan wang oleh korporat kepada parti politik yang menerima dana awam, di samping mewajibkan semua parti politik yang menerima dana awam mengisytihar semua penyumbang swasta yang menderma kepadanya. Ini dapat menghindarkan masalah penyaluran dana daripada korporat kepada parti politik yang mewujudkan budaya politik yang tidak sihat.

C. Pengagihan kerusi dalam Dewan Negara mengikut cara perwakilan berkadar

Sistem pengundian perwakilan berkadar juga boleh digunakan untuk perlantikan Senator dalam Dewan Negara.

Tidak perlunya wujud satu lagi kertas undi atau mengadakan pilihanraya berasingan untuk tujuan ini. Pengagihan kerusi Dewan Negara boleh dibuat mengikut nisbah undi dalam kertas undi senarai parti.

Cadangan tanpa mengubah jumlah kerusi Dewan Negara yang sedia ada (70 kerusi):

  • Jumlah Senator yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong dikurangkan dari 44 orang kepada 36 orang, diagihkan berasaskan peratusan undi mengikut senarai parti dalam Pilihanraya Umum. Ambang batas perolehan undi untuk melayakkan sesebuah parti menamakan Senator ialah 3% undi.
  • 22 orang Senator yang ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri setiap negeri Semenanjung dikekalkan, sementara jumlah Senator dari Sabah dan Sarawak ditambahkan kepada 6 orang setiap negeri.

D. Perwakilan untuk warganegara Malaysia yang menetap di luar negara

Terdapat ramai warganegara Malaysia yang menetap di luar negara. Mereka berhak mengundi selagi mereka masih merupakan warganegara.

Namun, untuk memilih wakil rakyat yang mewakili sesuatu kawasan, pengundi yang lama menetap di luar negara sebenarnya sudah terpisah secara sosial dan politik dengan kawasan mengundinya di tanahair Malaysia. Pengundian pos ataupun pulang dengan perjalanan jauh untuk memilih wakil rakyat kawasan di kawasan yang tidak dihuninya untuk mewakili suaranya dalam dewan perundangan merupakan sesuatu yang tidak masuk akal.

Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara mempunyai keperluan dan kepentingan yang berbeza dengan pengundi yang menetap di kawasan parlimen dalam Malaysia.

Maka, PSM mencadangkan untuk mewujudkan satu atau lebih “kawasan pilihanraya Parlimen luar negara” (overseas constituecy) bagi warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, supaya warganegara yang menetap di luar negara juga boleh memilih wakil rakyat yang benar-benar dapat membawa suara mereka dalam Parlimen.

Pengundi yang menetap di luar negara boleh mendaftarkan nama mereka dengan pegawai yang ditugaskan untuk urusan SPR di Kedutaan Malaysia yang terdekat dengannya, dan namanya akan dipindahkan daripada senarai pengundi di kawasan asalnya kepada kawasan pilihanraya Parlimen luar negara. Sekiranya seorang pengundi yang mengundi di kawasan pilihanraya Parlimen luar negara pulang menetap di tanahair, dia boleh mengemaskini maklumat pengundinya dengan SPR untuk memindah semula namanya ke kawasan pilihanraya yang dihuninya dan namanya dalam senarai pengundi untuk kawasan pilihanraya Parlimen luar negara dibatalkan.

Dengan adanya kawasan pilihanraya untuk warganegara di luar negara, pengundi yang menetap di luar negara hanya perlu mengundi di Kedutaan atau Konsulat Malaysia yang terdekat dengannya pada hari mengundi.

E. Penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun

Penglibatan dalam proses demokrasi adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara. Amalan mengundi sebagai salah satu cara melibatkan diri dalam proses demokrasi perlu dipupuk sejak kecil lagi.

Umur 21 tahun untuk layak mengundi yang digunakan di negara kita sekarang ini sudah ketinggalan zaman. Kebanyakan negara di dunia pada hari ini telah menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minimum untuk layak mengundi. Malah, negara seperti Brazil, Cuba, Ecuador, Malta, Nicaragua dan Scotland menurunkan umur layak mengundi ke 16 tahun.

Anak muda yang berumur belasan tahun patut dilibatkan dalam proses membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada mereka. Jika seseorang yang berumur 18 tahun perlu mengikut undang-undang yang terpakai ke atas seorang yang dewasa, maka dia juga patut mempunyai hak untuk melibatkan diri dalam menentukan undang-undang sedemikian.

PSM mencadangkan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Menurunkan umur layak mengundi perlu dilakukan serentak dengan pemantapan pendidikan sivik dalam kurikulum sekolah dan penggalakan penglibatan pelajar-pelajar untuk mengambil bahagian dalam perbincangan tentang dasar-dasar negara.

F. Pendaftaran pengundi secara automatik

Pendaftaran pengundi secara automatik selaras dengan pengemaskinian maklumat pendaftaran kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara, bukan lagi sesuatu yang sukar dilakukan.

Pendaftaran pengundi secara automatik boleh mengurangkan kerja administratif yang diperlukan dalam kaedah pendaftaran pengundi yang ada sekarang.

Setiap orang warganegara yang mencapai umur layak mengundi, patut dimasukkan secara automatik dalam senarai pengundi, dengan maklumatnya dipindah daripada pengkalan data pendaftaran kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Daerah mengundi ditentukan mengikut alamat yang tertera dalam kad pengenalan warganegara, dan lokasi mengundi akan dikemaskini dan ditukar jika perlu setiap kali seseorang itu menukar alamat dalam kad pengenalan.

G. Penambahbaikan proses perjalanan pilihanraya

Beberapa cadangan lain untuk menambahbaikkan proses perjalanan pilihanraya:

  1. Tempoh penamaan calon dipanjangkan (dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari penamaan calon).
  2. Tempoh minimum 21 hari untuk kempen pilihanraya.
  3. Siaran debat perdana antara pemimpin semua parti yang bertanding semasa Pilihanraya Umum (PRU).
  4. Undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan dengan kesalahan pilihanraya diperkukuhkan, khususnya berkenaan dengan pemberian rasuan dan tindakan penipuan untuk memanipulasi pilihanraya. Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 perlu dipinda untuk menjelaskan bidang kuasa SPR dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penguatkuasaan terhadap kesalahan pilihanraya.
  5. Penguatkuasaan yang lebih ketat untuk membendung aktiviti berkempen pada hari mengundi.
  6. Tambahkan anggota bertugas di Saluran 1 setiap pusat mengundi untuk membantu golongan warga emas dan OKU semasa proses pengundian jika perlu.

H. Pemulihan pilihanraya tempatan

Kerajaan Tempatan, termasuk Dewan/Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah, merupakan peringkat ketiga dalam komponen sistem pentadbiran kerajaan di negara kita, malah juga peringkat pentadbiran awam yang berkait paling rapat dengan kehidupan harian rakyat.

Namun, rakyat Malaysia tidak mempunyai hak untuk memilih kerajaan tempatan dan wakil rakyat di peringkat majlis tempatan melalui pilihanraya sejak tahun 1960-an apabila pilihanraya tempatan digantung sehingga kini.

Pilihanraya tempatan dapat menjamin kebertanggungjawaban kerajaan tempatan terhadap rakyat setempat. Dengan adanya pilihanraya tempatan, ahli-ahli majlis tempatan akan bertanggungjawab terus kepada pengundi, dan bukannya kerajaan negeri yang melantik mereka tanpa proses demokrasi.

Dengan adanya pilihanraya tempatan, pihak berkuasa tempatan akan menjadi lebih peka dan lebih bertanggungjawab kepada kepentingan rakyat setempat, kerana sekiranya kerajaan tempatan tidak menjalankan tugas secara baik, ia akan dapat ditukar dalam pilihanraya tempatan yang akan datang.

Institusi demokrasi di negara kita hanya akan disempurnakan dengan adanya pilihanraya kerajaan tempatan.

Penghalang utama dari segi undang-undang untuk mengadakan pilihanraya tempatan adalah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan tajuk “Peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan” menyatakan bahawa, “walau apapun yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuatkuasa atau mempunyai kesan”.

Oleh itu, bagi membolehkan pilihanraya tempatan dapat dikembalikan, Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 perlu dimansuhkan. Sementara itu, Seksyen 9 dan 10 akta yang sama ini, berkenaan dengan kuasa kerajaan negeri memberi arahan kepada kerajaan tempatan dan juga perlantikan ahli majlis, perlu dipinda untuk memulihkan autonomi dan pilihanraya kerajaan tempatan.

Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 juga boleh dijadikan contoh rujukan untuk negeri-negeri yang ingin menggubal enakmen bagi membolehkan pelaksanaan piihanraya tempatan.

Oleh yang demikian, PSM menggesa supaya proses pindaan undang-undang dipercepatkan untuk membolehkan pemulihan pilihanraya majlis tempatan selewat-lewatnya tahun 2021. PSM mencadangkan supaya pilihanraya Datuk Bandar turut diadakan serentak dengan pilihanraya Majlis Tempatan.

PSM mencadangkan pelaksanaan secara berperingkat untuk pemulihan pilihanraya tempatan dengan menjalankan pilihanraya tempatan terlebih dahulu di Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran yang mempunyai status kewangan yang mantap dan mampan, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petang Jaya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Dengan majlis tempatan yang lebih besar dan mampan dari segi kewangan menjadi perintis untuk mengadakan pilihanraya tempatan, kita boleh mengenalpasti kelemahan perjalanan pilihanraya jika ada dan memperbaikinya supaya dapat dilaksanakan untuk semua majlis tempatan di seluruh negara.   

Penutup

PSM berharap cadangan yang dikemukakan di atas dapat dipertimbangkan secara teliti oleh ERC. PSM mengharapkan pembaharuan yang lebih menyeluruh dalam sistem pilihanraya di negara kita supaya kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang lebih harmoni berasaskan permuafakatan rakyat dari bawah melalui penglibatan dalam proses membuat keputusan secara demokratik, termasuk memilih wakil rakyat ke dalam Parlimen Persekutuan, Dewan Undangan Negeri dan Majlis Tempatan.

6 thoughts on “Cadangan PSM untuk pembaharuan sistem pilihanraya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *