Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di 6 buah negeri di Semenanjung Malaysia pada 12 Ogos 2023, menghasilkan keputusan yang mengekalkan kerajaan yang memerintah di negeri masing-masing, di mana semua gabungan politik yang memerintah menguasai majoriti dua pertiga di negeri masing-masing kecuali negeri Selangor. Polarisasi masih terus wujud dalam kalangan pengundi, bukan sahaja dari segi polarisasi antara kaum, malah juga polarisasi antara pengundi kawasan bandar dan kawasan luar bandar.

PRN 2023 diadakan di negeri Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan untuk memilih sebanyak 245 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dengan 36 kerusi di Kedah, 40 di Pulau Pinang, 45 kerusi di Kelantan, 32 di Terengganu, 56 di Selangor dan 36 di Negeri Sembilan.

Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), bukan sahaja dapat memperkukuhkan kubu kuatnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, malah berjaya memenangi lebih banyak kerusi di 3 buah negeri lain yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH). Barang kali inilah yang dimaksudkan “gelombang hijau” yang menyaksikan peningkatan sokongan undi kepada PN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada bulan November 2022. Pakatan Harapan (PH) yang bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, mampu mempertahankan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi hilang agak banyak kerusi kepada PN.

PN menang 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, sementara gabungan PH-BN hanya memperoleh 3 kerusi DUN (semuanya dimenangi oleh calon PH). Kerusi yang dikuasai oleh PN di Kedah meningkat sebanyak 12 berbanding ketika DUN Kedah dibubarkan, sementara kerusi yang diperoleh PH-BN merosot sebanyak 9.

PN menang 43 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan, sementara PH-BN hanya dapat 2 kerusi (1 untuk PH dan 1 untuk BN). PN berjaya menambah sebanyak 6 kerusi berbanding kedudukan sebelum DUN Kelantan dibubarkan, dan kerusi yang dipegang PH-BN menurun daripada 7 kepada 2.

PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu. Sebelum pembubaran DUN Terengganu, BN masih menguasai 10 kerusi, tetapi semuanya tewas dalam PRN kali ini. PN juga menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN 2023.

PH-BN menang 34 daripada 56 kerusi DUN di Selangor (32 untuk PH dan 2 untuk BN), sementara PN menguasai 22 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN Selangor, PH-BN menguasai 45 kerusi, malah semasa PRU 2018, PH menang sebanyak 51 kerusi (di mana BERSATU masih berada dalam PH pada masa itu). PH-BN telah kehilangan majoriti dua pertiga yang dipegangnya dalam penggal DUN sebelum ini.

PH-BN menang 29 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang (PH menang 27 dan BN dapat 2), sementara PN memperoleh 11 kerusi. Keputusan ini agak tidak memuaskan berbanding PRU-14 pada tahun 2018 apabila PH memenangi 37 kerusi DUN.

Di Negeri Sembilan, PH-BN menang 31 daripada 36 kerusi DUN (17 untuk PH dan 14 untuk BN), sementara PN memperoleh 5 kerusi. Sebelum ini, PN tidak menguasai apa-apa kerusi dalam DUN Negeri Sembilan.

Dari segi keseluruhan keputusan PRN di 6 buah negeri, PN telah menang sebanyak 146 kerusi, sementara PH-BN memperoleh 99 kerusi, dengan PH menguasai 80 kerusi dan BN mendapat 19 kerusi. Tiada parti politik lain yang bukan dalam kedua-dua gabungan besar ini dapat menang mana-mana kerusi dalam PRN 2023 di 6 buah negeri.

Sememangnya ini memberi satu lagi suntikan keyakinan kepada PN dan menimbulkan persoalan kepada gabungan PH-BN. PH masih mampu bertahan di kawasan bandar tetapi nampaknya masih tidak dapat memenangi sokongan daripada majoriti pengundi luar bandar. BN, khususnya UMNO, masih dalam trajektori kehilangan sokongan pengundi, di mana ia terus mengalami kekalahan teruk kecuali di Negeri Sembilan yang nampaknya masih mempunyai asas sokongan yang kuat. Ini merupakan satu lagi tamparan hebat kepada Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang semakin kehilangan kredibilitinya, lebih-lebih lagi masih dihantui kes pendakwaan di mahkamah berkaitan amalan rasuahnya. UMNO-BN sudah pasti akan terus menuju ke dalam tong sampah sejarah sekiranya masih tidak menyingkirkan pemimpin-pemimpinnya yang korup dan tidak melakukan pembaharuan yang sejajar dengan perubahan zaman.

Dengan pengaruh PN yang semakin kuat, sudah tentunya politik arus perdana negara kita akan dibawa ke arah yang lebih konservatif, kerana PH-BN berkemungkinan akan cuba bersaing dengan PN dari segi menunjukkan siapa yang lebih konservatif atas nama mempertahankan kepentingan kaum dan agama. Ini akan menjadi penghalang kepada usaha pembaharuan masyarakat yang progresif dalam menangani masalah rakyat yang semakin diancam oleh krisis-krisis yang timbul daripada kepincangan sistem kapitalis (seperti ketidaksamarataan ekonomi, ketidakadilan sosial, ketidakjaminan kerja, kenaikan kos sara hidup, krisis iklim dan sebagainya). Isu-isu sosio-ekonomi yang membelenggui rakyat biasa akan mudah dikaburkan atau dipesongkan oleh politik perkauman dan keagamaan yang memecah-belahkan rakyat sedangkan golongan elit masih dapat terus membolit kekayaan negara.

Adalah penting untuk rakyat Malaysia terus berusaha dalam membina sebuah alternatif yang progresif, inklusif dan demokratik. Ini hanya dapat dilakukan melalui organisasi dan mobilisasi masyarakat dari bawah untuk memperjuangkan isu-isu rakyat marhaen dan membina sebuah masyarakat yang menjamin kesejahteraan bersama tanpa mengira kaum serta agama.

==========

Mengenai penglibatan PSM dalam PRN 2023, sila baca di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *