(gambar arkib)

oleh Rani Rasiah

Akhirnya adalah diakui bahawa pengeluar-pengeluar kekayaan di dalam negara ini (iaitu pekerja-pekerja biasa) menerima gaji yang sangat rendah. Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) pertama yang diterbitkan oleh kerajaan, mengemukakan angka-angka yang menunjukkan peningkatan beban pekerja yang bergelut untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Menurut Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi Malaysia, pekerja-pekerja hari ini adalah lebih miskin daripada ibu bapa mereka, dengan bahagian gaji pekerja dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh daripada 37.2% pada tahun 2020 kepada 32.4% pada tahun 2022. Peningkatan gaji minimum yang paling tinggi sepanjang tempoh 10 tahun pelaksanaannya adalah pada kadar RM1,500, tetapi masih jauh di bawah paras gaji sara hidup yang disarankan oleh Bank Negara, iaitu RM2,700 sebulan untuk pekerja bujang di bandar yang bergantung pada pengangkutan awam, dan RM6,500 untuk sebuah isi rumah dengan empat orang ahli keluarga.

Kerajaan telah memutuskan bahawa model gaji minimum yang diperkenalkan sejak tahun 2013 akan digantikan dengan model gaji progresif dengan penyesuaian tertentu. Rafizi berkata bahawa ia adalah campuran struktur gaji minimum untuk sektor-sektor tertentu, dan sebuah Model Gaji Progresif, yang dibezakan mengikut sektor, dengan kerajaan mengesyorkan jumlah kenaikan gaji untuk setiap sektor. Tidak akan adanya paksaan terhadap pihak majikan, maka terpulang kepada mereka untuk memutuskan sama ada mereka mahu memakainya tetapi mereka yang melakukannya akan diberi ganjaran oleh kerajaan. Logik Model Gaji Progresif adalah produktiviti akan meningkat apabila pekerja-pekerja menjalani latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran diri mereka; produktiviti yang lebih tinggi membawa kepada keuntungan yang lebih tinggi, dan dengan itu gaji yang lebih tinggi.

Sememangnya keputusan untuk menaikkan gaji pekerja sangat didorong oleh betapa lamanya gaji rendah telah mengecutkan ekonomi melalui kejatuhan penggunaan domestik. Keputusan ini selaras dengan aspirasi untuk Malaysia menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Para pemilik modal sentiasa membayangkan bahawa mereka boleh terus mengembangkan margin keuntungan mereka dengan menekan gaji pekerja secara berterusan, tanpa berfikir tentang betapa rapatnya hubungan antara keuntungan (yang terikat dengan permintaan pasaran) dan gaji pekerja.

Cabaran

Adakah model gaji baharu ini akan membebaskan pekerja-pekerja daripada kesusahan dan membawa kepada sebuah ekonomi yang lebih kukuh? Pelaksanaannya adalah penting, dan terdapat banyak cabaran yang akan dihadapi oleh kerajaan dalam hal ini.

Dasar gaji minimum sememangnya merupakan campur tangan oleh kerajaan yang sangat diperlukan pada ketika pekerja-pekerja tidak mahir dan berkemahiran rendah dibayar dengan gaji yang terlampau rendah yang diputuskan oleh majikan individu masing-masing. Walau bagaimanapun, berbanding dengan model Gaji Minimum yang lebih jelas dan mudah, “Model Gaji Progresif plus” nampaknya lebih kompleks dari segi pentadbiran dan penguatkuasaan. Kita diberitahu bahawa Singapura telah mengamalkan penyesuaian model ini dengan berjayanya sejak tahun 2012. Namun, itu Singapura.

Persekitaran perburuhan Malaysia

Selama beberapa dekad yang lalu, persekitaran perburuhan di Malaysia adalah tidak mesra pada pekerja. Kadar penyertaan kesatuan sekerja telah merosot secara berterusan kepada hanya 5.8% daripada tenaga kerja di Malaysia pada masa ini, dengan kurang daripada 2% seluruh pekerja dilindungi oleh perjanjian bersama. Undang-undang kesatuan sekerja yang menyekat menjadikan hampir mustahil untuk membentuk kesatuan sekerja, manakala pindaan terhadap undang-undang buruh secara berkala telah menjejaskan hak pekerja. Penindasan terhadap kuasa rundingan pekerja ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan imej mesra-perniagaan, untuk mengekalkan ekonomi bergaji rendah yang bersaing untuk menarik pelaburan asing (FDI) dalam perlumbaan ke bawah di peringkat serantau.

Tambahan pula, pasaran buruh dibanjiri dengan pekerja-pekerja migran, sama ada yang berdokumen atau tanpa dokumen, di mana jumlahnya adalah lebih daripada dua kali ganda berbanding keperluan yang ditetapkan oleh Rancangan Malaysia. Migrasi buruh yang kekal tidak terkawal menyumbang kepada anggaran 3.5 juta orang pekerja migran tanpa dokumen. Mereka bukannya sebahagian daripada tenaga kerja formal tetapi tidak bermakna mereka tidak berbuat apa-apa. “Tenaga kerja hantu” ini tidak ditunjukkan dalam statistik rasmi tetapi output buruh mereka dimasukkan dalam angka KDNK melalui jumlah sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). PKS sanggup menyerap mereka kerana mereka adalah lebih murah dan lebih mudah diperah. Namun, situasi ini mewujudkan penanda aras yang rendah untuk semua. Pekerja-pekerja Malaysia dianggap kurang menarik berbanding pekerja-pekerja migran kerana mempunyai harapan yang lebih tinggi (di dalam sebuah negara yang kaya dengan sumber) berbanding rakan sejawat migran mereka. Mereka dianggap bersikap terlalu memilih dan suka sangat mendesak, dan selalunya diberitahu untuk meninggalkan tempat kerja sekiranya mereka tidak berpuas hati.  

Dalam suasana di mana pekerja-pekerja berada dalam kedudukan yang lemah ini, penguatkuasaan harus menjadi keutamaan tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada dasar, dan pekerja-pekerja tidak dieksploitasi dan dibuli. Namun realitinya adalah penguatkuasaan sangat kekurangan dana dan masih tidak berkesan atau tidak wujud langsung. Sebagai contoh, sehingga kini, dengan kurang daripada setahun untuk Perintah Gaji Minimum terbaru tamat tempohnya, ratusan ribu orang pekerja masih belum dibayar mengikut kadar gaji minimum RM1,500. Bagi ramai pekerja di kawasan bandar mahupun luar bandar, gaji bulanan RM1,500 yang amat dinanti-nantikan itu rupa-rupanya hanya satu mimpi. Tiadanya pemeriksaan buruh oleh agensi perburuhan, tiadanya kesatuan sekerja untuk mewakili mereka, dan pekerja-pekerja yang berani untuk membuat aduan kes buruh hampir pasti menghadapi risiko dibuang kerja.

Inilah persekitaran yang membentuk hubungan antara majikan-majikan dan pekerja-pekerja selama ini. Para majikan menikmati kebebasan daripada hukuman yang cukup baik dan sering kali terlepas daripada pendakwaan kerana pelanggaran undang-undang buruh. Sementara itu, pekerja-pekerja Malaysia menjadi golongan yang lemah dan tidak bersemangat. Tiadanya insentif untuk bekerja keras, kerana walaupun bekerja 12 jam sehari pun mereka tidak dapat memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup keluarga mereka, dan terus berhutang. Pihak majikan sering merungut tentang etika kerja pekerja-pekerja Malaysia. Bolehkah mereka mengharapkan semangat yang lebih besar daripada pekerja-pekerja?

Kemampuan dan kapasiti latihan

Apabila gaji minimum RM1,500 diumumkan, pihak majikan berkata bahawa mereka tidak mampu membayar. Hakikatnya, banyak syarikat yang diwajibkan di bawah undang-undang untuk membayar kadar gaji minimum baharu mulai bulan Mei 2022 masih belum mula berbuat demikian. Sebahagian daripada ketidakpatuhan ini mungkin disebabkan oleh ketidakmampuan sebenar dalam kalangan sebahagian daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhama (PMKS). Tanpa sokongan kewangan, syarikat-syarikat yang mengupah 48% daripada tenaga kerja ini mungkin tidak mampu membayar gaji yang lebih tinggi.

Satu lagi elemen dalam gaji progresif adalah latihan berkala bagi pekerja-pekerja untuk meningkatkan kemahiran diri mereka. Siapa yang akan menyediakan latihan ini? Adakah kita berkeupayaan untuk melatih? Adakah pihak majikan bersedia untuk memudahkannya?

Perlunya paradigma baharu

Kita memerlukan satu cara pemikiran yang baharu dalam kalangan pemegang taruh yang terlibat untuk menjayakan pelaksanaan model gaji yang dicadangkan. Pekerja-pekerja perlu diperkasakan, majikan-majikan perlu menghargai input pekerja, dan kerajaan perlu sentiasa peka.

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *