Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 yang menggariskan 3 komitmen: memelihara alam sekitar, perumahan rakyat Selangor dan pemerkasaan demokrasi tempatan.

Komitmen 1: Memelihara alam sekitar

Komitmen pertama yang akan dijuangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada PSM adalah Memelihara Alam Sekitar. Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, seterusnya Pakatan Harapan, selama 15 tahun, kurang memberi tumpuan kepada beberapa isu alam sekitar yang serius.

Kini, kami di PSM tidak yakin akan kepimpinan Pakatan Harapan serta kerjasamanya bersama Barisan Nasional (BN) untuk menangani isu-isu ini. Justeru, PSM ingin menawarkan diri dalam mempertahankan alam sekitar dalam Dewan Undangan Negeri Selangor jika dipilih.

Isu-isu yang akan kami perjuangkan adalah seperti berikut:

i) Pencegahan kemusnahan alam semula jadi

  • Memastikan semua Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri Selangor yang sedia ada tidak dinyahwarta untuk apa-apa tujuan pembangunan dan mana-mana HSK yang telah dinyahwarta diwartakan semula, termasuk Hutan Simpan Bukit Cherakah, Hutan Simpan Bukit Lagong dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
  • Menghentikan amalan penggantian keluasan HSK yang dinyahwarta dengan keluasan yang sama diwartakan di kawasan lain. Amalan ini hanyalah berasaskan mengejar nilai ekonomi kawasan HSK sedia ada dan, secara keseluruhannya, meminimumkan keluasan hutan di Selangor secara keseluruhan.
  • Mengehadkan projek pembangunan besar yang memusnahkan alam sekitar dan berpotensi mendedahkan orang ramai kepada pencemaran alam seperti PJD Link.
  • Mengisytiharkan Darurat Iklim di Selangor dan mempelopori pengisytiharannya di seluruh Malaysia.

ii) Penambahbaikan bekalan air

  • Menstruktur semula kepimpinan Pengurusan Air Selangor atas sebab prestasi kurang memuaskan akibat gangguan bekalan air yang kerap terjadi.
  • Mengaudit aktiviti Pengurusan Air Selangor sejak penubuhannya untuk mendapat tahu isu-isu dalaman yang menyebabkan gangguan bekalan air ini dan mengemukakan laporan audit ini kepada orang ramai.
  • Merangka satu pelan komprehensif penambahbaikan bekalan air Selangor yang menitikberatkan langkah-langkah seperti berikut:
  • Pembaikan atau penggantian paip bawah tanah yang berada dalam keadaan buruk secara proaktif di seluruh Selangor untuk meminimumkan air tidak berhasil (Non-Revenue Water, NRW) dan insiden paip pecah yang seringkali menyebabkan gangguan bekalan air tidak dijangka.
  • Pengembangan punca air alternatif seperti sistem pengumpulan air hujan di bangunan dimiliki kerajaan Selangor, dewan-dewan komuniti, bangunan komersial dan taman perumahan.

iii) Toleransi sifar terhadap pencemar alam berskala besar

  • Memandangkan banyak insiden gangguan bekalan air di Selangor disebabkan oleh pencemaran bau atau air sungai, Kerajaan Selangor harus menyiasat siapa yang menjadi dalang utama dan mengambil tindakan serius terhadap mereka. Rumusan penyiasatan ini harus dilaporkan kepada Dewan Undangan Negeri Selangor.
  • Kerajaan Selangor harus menarik balik kebenaran penggunaan tanah terhadap sebarang pencemar berulang yang sedang mengguna tanah Selangor untuk mana-mana jenis perniagaan.
  • Memastikan mana-mana syarikat yang ingin memulakan perniagaan baharu atau meneruskan perniagaan sedia ada harus mematuhi piawaian ditentutkan untuk mitigasi pencemaran alam sebelum diberi kebenaran penggunaan tanah. Piawaian Pertubuhan Global Reporting Initiative (GRI) dan FTSE4GOOD dapat digunakan sebagai suatu tanda arah asas.

Komitmen 2: Perumahan rakyat Selangor

Rakyat Selangor dibelenggu masalah perumahan dalam pelbagai aspek. Secara asasnya, pemilikan rumah sendiri telah menjadi satu impian yang tidak dapat dicapai. Daripada portfolio pembinaan pemaju sekarang, hanya 20% merangkumi rumah berharga RM42,000. Ini jauh terpesong daripada sasaran 30% yang wujud sehingga tahun 2000-an apabila kategori Rumah Kos Rendah diganti dengan Rumah Mampu Milik berharga daripada RM42,000 hingga RM300,000.

PSM menitikberatkan akses kepada kediaman selesa yang masih disekat di Selangor. Hak kepada kediaman bagi peneroka bandar, warga pekerja ladang dan Orang Asli juga perlu dititikberatkan dalam perjuangan perumahan. Perumahan adalah hak asasi manusia sejagat yang perlu dititikberatkan oleh setiap kerajaan yang memerintah negara ini.

PSM akan memperjuangkan:

i) Perumahan Mampu Milik

  • Kembalikan syarat kuota pembinaan 30% Rumah Selangorku Jenis A dan B (harga antara RM42,000 – RM100,000) kepada semua pemaju perumahan bermula dengan GLC Selangor seperti PKNS dan MBI.
  • Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran dengan mengawal faktor pasaran yang menentukan kos rumah warga B40. Contohnya, kos tanah harus diserap oleh Kerajaan Selangor.
  • Kenakan cukai tambahan daripada Majlis Tempatan terhadap pemilikan rumah kedua yang tidak diduduki dan selebihnya serta penalti khas jika sesebuah rumah tersebut dibiarkan kosong lebih daripada tiga (3) bulan.

ii) Meningkatkan akses kepada kediaman selesa

  • Perluaskan pembiayaan secara sewa beli agar memudahkan pemilikan perumahan.
  • Sediakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bersewa rendah dengan tatacara dan syarat untuk menyalurkan penghuni PPR ini untuk membeli Rumah Selangorku Jenis A dan B. Rumah PPR sebegini bertindak sebagai rumah transit kediaman sementara rakyat sehingga boleh membeli rumah sendiri.
  • Penyelenggaran flat kos rendah seperti cat bangunan, lif dan sistem perparitan harus dibiayai sepenuhnya dan dipantau oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Tempatan. Proses aduan tentang kekurangan atau kerosakan kemudahan awam juga perlu mudah dan efektif.

iii) Menjamin hak kepada kediaman

a. Wujudkan Enakmen Perumahan Peneroka Bandar yang menjamin

  • Penghentian pengusiran paksa oleh pihak swasta ataupun kerajaan dengan mengunakan Kanun Tanah Negara.
  • Penganugerahan rumah atau lot tanah alternatif secara automatik kepada peneroka yang diusir keluar atas sebab pembangunan kerajaan.
  • Kos perumahan ganti peneroka dikongsi bersama pihak kerajaan dan pemaju untuk pembangunan swasta.
  • Mana-mana projek pembangunan sebegini ditunda sehingga ganti rugi tersebut ditunaikan kepada semua peneroka yang terjejas.

b. Wujudkan Enakmen Perumahan Pekerja Ladang di Selangor yang menjamin setiap keluarga pekerja ladang akan mendapat satu rumah kediaman yang dimilik sendiri.

c. Menjamin hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah adat mereka melalui pengenalan takrifan tanah adat Orang Asli dalam Kaedah-Kaedah Tanah Selangor atau satu enakmen baharu. Peruntukan ini harus:

  • Menjamin kelulusan sempadan tanah rizab Orang Asli di sesuatu lokaliti ditentukan oleh Orang Asli yang menetap di tanah itu
  • Menubuhkan sebiah Jawatankuasa Orang Asli yang diwakili oleh wakil-wakil komuniti Orang Asli Selangor yang diberi kuasa mutlak pemberian tanah melibatkan tanah adat Orang Asli di Selangor. Proses ini boleh mengehadkan isu salah guna kuasa oleh Menteri Besar dalam isu pemberian tanah di Selangor dan seterusnya menjamin kewujudan tanah adat masyarakat Orang Asli.
  • Mengiktiraf Wilayah Adat Orang Asli dengan menaja pengukuran Wilayah Adat. Proses pengiktirafan Wilayah Adat perlu dibuat dengan Jawatankuasa Orang Asli yang mempunyai kuasa untuk mengetahui status pengiktirafan Wilayah Adat melalui akses terbuka kepada maklumat di Pejabat Tanah dan Galian dan Warta Rasmi Kerajaan Selangor.

Komitmen 3: Pemerkasaan demokrasi tempatan

Komitmen ketiga yang akan diperjuangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor daripada PSM adalah Pemerkasaan Demokrasi Tempatan. Walaupun gabungan Pakatan Harapan telah sekian lama menyatakan ketersediaan mereka untuk memperkukuhkan demokrasi tempatan, namun ianya tidak terhasil, lebih-lebih lagi dengan kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, iaitu pilihanraya kerajaan tempatan bukan fokus utamanya!

Bagi PSM, Demokrasi Tempatan adalah amat penting dan kami akan usahakan perjuangan ini berterusan walaupun Pakatan Harapan telah lupakannya.

Isu-isu yang akan kami perjuangkan adalah seperti berikut:

i) Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Negeri Selangor

  • Membawa ke hadapan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan Negeri Selangor sebagai satu agenda utama dalam sesi DUN pertama.
  • Mendesak Kerajaan Selangor yang dibentuk kelak, bersama kerajaan negeri-negeri lain yang inginkan perlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan seperti Pulau Pinang, memohon pindaan yang berkenaan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk meluluskan kaedah ini dalam pemilihan kerajaan tempatan sesebuah negeri.
  • Dalam pada pindaan ini tidak dapat dicapai, mendesak pihak Kerajaan Selangor melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai cara mendapat tahu calon untuk mereka dilantik di setiap majlis tempatan di Selangor. Dengan ini, pilihan raya kerajaan tempatan dapat dilaksanakan walaupun secara rasmi kerajaan negeri yang melantik setiap ahli majlis. Tambahan lagi, calon kehendak rakyat dapat dibanding dengan calon yang dilantik secara terus supaya pembodek kerajaan yang mendapat jawatan tanpa menang bertanding dapat dikenal pasti.

ii) Menjalankan pilihan raya untuk melantik pemimpin tempatan

  • Perlaksanaan Pilihan Raya Pemimpin Tempatan, termasuk Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua-ketua komuniti serta penghulu mukim, di seluruh Selangor secara berperingkat dalam 5 tahun.
  • Menjalankan audit menyeluruh terhadap perbelanjaan pilihan raya sebegini pada peringkat Majlis Tempatan serta jawatankuasa berkenaan untuk setiap pilihan raya supaya tiada berat sebelah kepada mana-mana calon atau pembaziran berlaku.
  • Memastikan pendekatan secukupnya untuk mendidik rakyat setempat tentang kepentingan pilihan raya tempatan dilakukan oleh pihak berkenaan.

iii) Demokrasi tempatan berterusan

  • Mewujudkan Majlis Perundingan Rakyat yang menghimpunkan Ketua Kampung, Taman, Pangsapuri, NGO, Persatuan serta penduduk setempat lain secara berkala untuk menilai prestasi ADUN mereka dan berbincang tentang kerja-kerja yang patut dilakukan kelak.
  • Memastikan setiap persidangan Majlis ini direkodkan dan pencapaian ADUN dibandingkan dalam persidangan seterusnya.
  • Membawa setiap Rang Undang-Undang, Rancangan Pembangunan, Rancangan Tanah serta Usul-Usul di DUN Selangor ke peringkat akar umbi untuk dibincangkan, diterangkan dan difahami semua serta apa-apa tentangan dapat digembleng.
  • Memastikan pendapat golongan tertentu seperti wanita, orang kurang upaya dan masyarakat rentan diberi tumpuan sewajarnya dalam perangkaan dan perlaksanaan polisi negeri serta setempat.

Dokumen Manifesto PSM untuk PRN 2023 di Selangor boleh dimuat turun di sini.

One thought on “Manifesto PSM untuk PRN Selangor 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *