KAJANG, SELANGOR – 20 JULAI 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan pada hari ini calon keempat daripada PSM yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang ini. S. Arutchelvan, yang lebih dikenali sebagai Arul, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, akan bertanding untuk kerusi DUN N25 Kajang di Selangor.

Turut hadir dalam Majlis Pengumuman Calon PSM untuk kawasan DUN Kajang pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), Dr. Nasir Hashim (mantan Pengerusi Nasional PSM), Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM), Amir Hadi (Setiausaha Agung Parti MUDA), Bawani KS (Timbalan Setiausaha Agung PSM), Dr. Kua Kia Soong (aktivis sosial veteran), Irene Xavier (Pengasas Bersama Persatuan Sahabat Wanita Selangor), Sevan Doraisamy (Pengarah Eksekutif SUARAM) dan ramai lagi penyokong PSM.

“Politik di Malaysia pada hari ini cukup berpolarisasi, di mana hanya ada dua pihak, dua gabungan parti besar yang mempermainkan politik kutuk-mengutuk dan menakut-takutkan rakyat,” kata Arutchelvan. “Rakyat kita hidup di bawah suasana ketakutan. Isu-isu rakyat biasa seperti isu gaji, isu rumah dan isu flat kos rendah tidak dibincang oleh parti-parti besar kerana mereka hanya membincangkan isu-isu untuk menakut-takutkan rakyat kita.”

“Berbeza dengan parti-parti besar, PSM tiada sokongan daripada tauke-tauke dan kapitalis-kapitalis besar,” ujar Arutchelvan. “PSM juga tidak mempermainkan politik perkauman dan agama. Parti-parti politik besar yang mempermainkan sentimen perkauman dan agama dapat meraih banyak sokongan pada hari ini, tetapi mereka telah meracuni rakyat Malaysia dengan politik perkauman dan menjadikan masyarakat kita tidak dapat bersatu padu.”

“Bayangkanlah jika adanya ADUN PSM atau MUDA dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, dewan itu mesti akan berbeza dan membawa isu-isu yang lebih penting bagi rakyat biasa ke dalamnya,” ulas Arutchelvan. “Selepas Cikgu Lee (ADUN Kajang untuk penggal 2008-2013), kerusi DUN Kajang telah menjadi tempat percaturan untuk menyelesaikan masalah politik dalaman parti, bukannya untuk menyelesaikan masalah rakyat Kajang. PSM menawarkan satu harapan baharu kepada rakyat di Kajang supaya Kajang terbela!”

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional PSM pada masa ini. Arul ialah salah seorang pengasas PSM dan menyandang jawatan Setiausaha Agung dari tahun 1998 hingga 2015. Arul melibatkan dirinya dalam usaha perjuangan rakyat marhaen sejak zaman universitinya. Arul merupakan pengasas bersama Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), sebuah gerakan rakyat marhaen yang terdiri daripada gabungan pekerja kilang, pekerja ladang, peneroka bandar, pelajar dan sebagainya. JERIT kini telah disusun semula sebagai Gabungan Marhaen (MARHAEN).

Arul pernah bertanding sebagai calon PSM di kawasan DUN Semenyih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2008, 2013 dan 2018. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang pada tahun 2008-2013. Beliau pernah menyertai Jawatankuasa Task Force Perumahan Masyarakat Ladang dan Jawatankuasa Menangani Perumahan Peneroka Bandar di bawah Kerajaan Selangor. Arul juga pernah bekerja di SUARAM, sebuah badan bukan kerajaan hak asasi manusia yang penting di negara kita, dari tahun 1995 hingga 2006. Beliau merupakan pengasas bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), sebuah gerakan rakyat yang akhirnya membawa kepada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Arul ialah seorang pejuang rakyat yang komited,” kata Dr. Kua Kia Soong, mantan Pengarah SUARAM. “Beliau ialah seorang yang berani sejak zaman universiti lagi. Beliau pernah menjadi aktivis mahasiwa dan merupakan pengasas kepada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa-Mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1987, sebuah kumpulan pelajar yang membantu rakyat miskin di kawasan Hulu Langat dan Sepang. Beliau ialah salah seorang pengasas Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) pada tahun 1993. Beliau juga ialah salah seorang pengasas Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) pada tahun 1992. Arul telah membuat kerja dalam kalangan pekerja ladang, pekerja kilang, peneroka bandar dan Orang Asli sehingga kini.”

“Arul adalah seorang yang cukup berpengalaman dalam perjuangan rakyat selama lebih 30 tahun. Beliau seorang yang berani, bersih, mesra dan tidak rasis,” kata Dr. Nasir Hashim semasa mengumumkan Arul sebagai calon PSM untuk kawasan DUN Kajang. “Beliau ialah rakan seperjuangan saya yang saya kenali sekian lama. Saya boleh menjamin bahawa penduduk Kajang amat bertuah jika mereka memberi peluang kepada Arul untuk berkhidmat.”

“Calon PSM adalah calon yang buat kerja,” kata Nik Aziz Afiq, mantan Ketua Pemuda Sosialis PSM yang pernah bertanding sebagai calon PSM dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih pada tahun 2019. “Calon PSM di mana sahaja melepasi satu kriteria yang ketat, iaitu dia mestilah seorang yang buat kerja. Dia tak boleh tiba-tiba mimpi semalam nak jadi calon PSM dan terus diisytihar sebagai calon PSM pada hari ini. Calon PSM adalah orang yang terbukti dengan kerja-kerja dan perjuangan mereka merentasi masa serta tempat.”

“PSM tak tanding di Kajang secara suka-suka,” tambah Nik Aziz. “PSM bertanding di Kajang selepas bekerja di sini selama lebih 30 tahun! Antara perjuangan yang melibatkan PSM di kawasan Kajang ialah perjuangan Ladang Braemar, perjuang isu tanah kuarters pekerja hospital di Sungai Jelok, perjuangan isu kuarters KTM di Jalan Reko, perjuangan jawatankuasa banjir di Jalan Reko, dan banyak lagi kes. Setelah banyak kali dipujuk untuk bertanding di Kajang, maka kali inilah baru PSM bertanding di Kajang.”

“Tinjauan pendapat terbaru menunjukkan negeri Selangor akan terus berada di bawah pegangan Pakatan Harapan (PH). Oleh itu, kita perlukan satu dua orang ADUN seperti calon PSM untuk membawa isu rakyat biasa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM yang merupakan mantan Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput. “Kita perlukan kuasa ketiga yang benar-benar dapat memperjuangkan isu rakyat dan alam sekitar. Jika pengundi di sini cukup berani untuk membuat satu pilihan yang bijak, kita boleh adanya wakil rakyat yang kuat kerja dan menggunakan kesempatan ini untuk memperjuangkan isu-isu rakyat demi kebaikan bukan sahaja bagi kawasan ini malah seluruh negeri Selangor.”

Selain Kajang, PSM juga sudah mengumumkan calonnya untuk kerusi Meru, Dengkil dan Kota Damansara yang akan bertanding dalam PRN Selangor 2023.

==========

Baca kenyataan media PSM DUN Kajang di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *