oleh Arveent Srirangan Kathirtchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Gombak amat khuatir akan masalah gangguan bekalan air yang kian menjadi-jadi di Selangor. Di dalam kawasan Gombak, sekitar Selayang dan Taman Sri Gombak, telah berlaku sekurang-kurangnya dua kali gangguan bekalan air mengejut akibat paip bawah tanah pecah dalam 4 hari ini, antara 17 Julai dengan 20 Julai 2023.

Kedua-dua gangguan ini bertempoh lebih daripada 8 jam dan menyebabkan ketidakselesaan berlarutan bagi semua yang terkesan. Gangguan sebegini telah berlaku terlalu banyak kali dalam tahun ini sahaja.

PSM Gombak faham bahawa situasi yang tidak dijangka memang berpotensi berlaku sekali-sekala. Akan tetapi, kekerapan isu yang sama berulang atas sebab yang sama dan tempat yang sama menimbulkan persoalan, “Mengapakah tiadanya satu jalan penyelesaisan kekal?”

Kami berpandangan bahawa pihak Air Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor bersikap sambil lewa terhadap isu ini. Nampaknya mereka berasa bahawa tindakan mengambil alih daripada pihak Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) pada tahun 2015 serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pada tahun 2018 telah secara langsung menyelesaikan segala masalah lama. Kenyataannya tidak sebegitu!

PSM Gombak mengesyorkan langkah-langkah berikut untuk mencari satu penyelesaian kekal:

  • Satu audit menyeluruh dilakukan atas semua pemasangan paip bawah tanah sekitar Selangor, terutamanya di kawasan gangguan tertentu (hotspot) seperti Gombak, Klang dan Shah Alam. Audit ini harus merangkumi segala tarikh pemasangan, penambahbaikan yang dilakukan dan keadaan semasa paip tersebut.
  • Sejajar dengan audit ini, pihak Air Selangor harus melaksanakan penyelenggaraan pencegahan (preventative maintenance) terhadap kawasan-kawasan tertentu untuk mengelakkan masalah paip pecah berterusan.
  • Penyelenggaraan ini termasuk pembaikan dan penggantian komponen rosak serta penambahbaikan keadaan sekeliling komponen tersebut yang mungkin terkesan daripada pembangunan tidak dijangka (contohnya, tekanan daripada kenderaan berat dan pembinaan bangunan yang tidak dirancang sebelum ini).
  • Mengkaji penggunaan kaedah tadahan air hujan di sekitar Selangor untuk memastikan satu rizab air minimum wujud apabila situasi tidak terjangka sebegini berlaku.

Pihak PSM Gombak berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor serta pihak Air Selangor mesti menggalas tanggungjawab ini secara serius untuk memastikan rakyat Selangor, terutamanya rakyat marhaen, tidak terjejas lagi dengan masalah gangguan bekalan air.

==========

Arveent Srirangan Kathirtchelvan ialah Penyelaras PSM Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *