IPOH, PERAK – 20 JUN 2023: Wakil bekas pekerja ladang dari Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak, Sungai Siput (U), Perak, menyerahkan satu semorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini, dengan seruan kepada Kerajaan Negeri Perak supaya jangan menangguhkan lagi proses pemberian hak milik tanah yang diluluskannya kepada bekas pekerja dari dua buah ladang tersebut sejak tahun 2012.

“Sekiranya Kerajaan Negeri Perak masih tidak memberi maklum balas, kami akan kembali ke Pejabat Menteri Besar ini untuk mengadakan protes duduk bantah sehingga kami diberikan tawaran hak milik tanah bagi membina rumah,” begitu katanya S. Munusamy, wakil daripada Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak, semasa menyerahkan memorandum tersebut.

Memorandum tersebut diterima oleh Mohamad Abd Rahim selaku Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak. Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah R. Karthiges selaku Penyelaras Jawatakuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dan M. Sukumaran daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Sungai Siput.

Pada tahun 2011, 34 orang bekas pekerja syarikat Sime Darby (sebelum itu dikenali sebagai Kumpulan Guthrie) di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak, telah ditawarkan sebidang tanah seluas 7 ekar yang terletak di kawasan Ladang Kamiri untuk dibahagikan kepada lot-lot perumahan bagi para bekas pekerja. Tawaran ini diberikan oleh syarikat Sime Darby adalah bertujuan untuk menyelesaikan isu pampasan bagi pekerja-pekerja ladang yang diberhentikan kerja pada tahun 1999. Syarat yang dikemukakan semasa menawarkan tanah tersebut ialah pihak bekas pekerja ladang perlu memohon pada Kerajaan Negeri Perak supaya menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memindahkan hak milik tanah berkenaan kepada bekas pekerja ladang yang berkaitan. Para bekas pekerja ladang telah mendapatkan wang sejumlah RM250,000 sebagai bayaran deposit untuk memohon pengambilan tanah tersebut.

Pada bulan Disember 2011, dalam satu mesyuarat bersama yang dihadiri oleh wakil bekas pekerja ladang, wakil syarikat Sime Darby, pegawai daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput dan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak telah mengemukakan satu cadangan alternatif, iaitu menggunakan sebahagian tanah kerajaan di kawasan sebelah Taman Lintang Makmur, Jalan Lintang, Sungai Siput (U), untuk dibahagikan kepada 34 lot yang berukuran 45 X 80 kaki persegi supaya diberikan kepada bekas pekerja ladang. Kemudiannya pada 25 Januari 2012, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak meluluskan lot kediaman tersebut untuk 34 orang bekas pekerja di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak. Cadangan ini telah diterima oleh pihak syarikat Sime Darby yang bersetuju untuk membayar wang sebanyak RM340,000 sebagai sumbangan untuk menyediakan tanah tersebut kepada bekas pekerjanya.

Namun, pelaksanaan cadangan UPEN untuk memberi hak milik tanah kepada bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak telah mengambil masa yang Panjang. Sehingga kini, selepas hampir 12 tahun, walaupun jalan dan longkang telahpun disediakan di kawasan berkenaan, Borang 5A untuk pemberian hak milik tanah masih belum dikeluarkan kepada bekas pekerja ladang yang berkaitan.

“Kami difahamkan bahawa fail berkaitan dengan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) untuk kami telah dihantar oleh Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput kepada Pihak Berkuasa Negeri pada tahun 2018 untuk tindakan selanjutnya. Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah memaklumkan kepada kami melalui satu surat bertarikh 16 Jun 2022 bahawa fail kami telah dirujuk kepada Mesyuarat Mesyuarat Kerajaan Perak untuk kelulusan terakhir sebelum dilaksanakan,” ulas S. Munusamy, wakil pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak. “Kami juga telah menyerahkan satu surat kepada pihak Menteri Besar Perak pada 3 Januari 2022 untuk memohon supaya menyegerakan proses pemberian geran hak milik tanah ini. Kami juga pernah bermesyuarat dengan EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng, untuk memberitahu tentang isu kami, dan beliau membalas bahawa hanya ada beberapa kerja teknikal yang perlu diselesaikan. Namun, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput memberitahu kami bahawa tanah yang diluluskan kepada kami itu telah ditukar statusnya kepada projek perumahan baharu, dan nasib kami menjadi tanda tanya sekali lagi.”

Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak merayu pada Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak supaya menyegerakan kelulusan projek RPT bagi bekas pekerja ladang. “Kini sudah hampir 12 tahun sejak tawaran UPEN, dan usia kami juga semakin meningkat,” kata Munusamy. “Kami tidak mahu terlibat dengan projek perumahan yang tiada kaitan dengan kami. Berikan kami lot tanah seperti yang dijanjikan dan diluluskan sejak dahulu lagi.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *