44404820_819888595014716_8504825992508866560_n.jpg

oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang amat bersedih dan terganggu dengan tragedy maut tanah runtuh di tapak pembinaan projek jalan pintas Paya Terubong pada 19 Oktober 2018. Sehingga hari ini, telah disahkan bahawa 8 orang pekerja telah terbunuh dan 2 orang lagi masih belum ditemui selepas kejadian tanah runtuh. Ini merupakan tanah runtuh maut yang meragut nyawa pekerja-pekerja yang berlaku di negeri Pulau Pinang dalam tempoh masa hanya setahun.

Walaupun terdapatnya amaran daripada kumpulan-kumpulan masyarakat sivil seperti Penang Forum berkenaan dengan pembukaan kawasan lereng bukit di Bukit Kukus, Kerajaan Negeri Pulau Pinang nampaknya tidak pernah mengambil serius tentang amaran dan nasihat daripada masyarakat sivil. Berapa banyak lagi nyawa diperlukan untuk Kerajaan Negeri menyedari masalah ini dan menghentikan tragedi sebegini daripada berulang?

Apa yang membimbangkan lagi untuk kami adalah Datuk Bandar Pulau Pinang Yew Tung Seang menegaskan bahawa “projek pembinaan jalan ini perlu diteruskan, walau apa jua pun.” Adakah Datuk Bandar ini menganggap bahawa projek pembinaan jalan lebih penting daripada nyawa pekerja? Adakah model pembangunan yang dikejar oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih mengutamakan penyempurnaan projek pembangunan (yang dipandu keuntungan) daripada nyawa rakyat biasa?

PSM Pulau Pinang menyokong seruan daripada Kesatuan Kongres Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Pulau Pinang, bahawa semua kerja-kerja pembinaan di kawasan bukit dan cerun yang tinggi dalam Negeri Pulau Pinang diberhentikan segera supaya memastikan tragedy sebegini tidak berlaku lagi, dan juga menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat tragedi ini.

Nyawa seseorang yang hilang tidak akan dikembalikan, dan setiap nyawa itu sama penting. Tragedi yang berlaku ini memang adalah buatan manusia, kerana ia berlaku di tapak pembinaan. Semua pihak yang terlibat dalam projek berkenaan, termasuk pemaju utama, begitu juga dengan mereka yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan dalam kerajaan, serta mereka yang sepatutnya memantau dan menguatkuasakan undang-undang, perlu dipertanggungjawabkan terhadap tragedi ini dan kecuaian mereka dalam melindungi nyawa pekerja.

Kami mengulangi seruan kami kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengenakan segera moratorium terhadap kelulusan SEMUA projek pembanguan kawasan bukit dan memulakan penyiasatan ke atas SEMUA tapak pembinaan di kawasan bukit.

Kerajaan kita harus memikir semula, menyemak semula dan mengubahsuai model pembangunan yang dikejarnya yang mendahulukan keuntungan korporat dan pemaju pada masa ini. Kita perlukan satu model pembangunan yang benar-benar berpusatkan rakyat untuk memastikan kelestarian kehidupan rakyat. Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah konkrit untuk membendung tragedy sebegini daripada berulang dan tidak boleh membenarkan sesiapa lagi terbunuh atau tercedera kerana tragedy sebegini. Kita tidak boleh lagi anggap semua adalah seperti biasa!

==========

Tulisan ini ialah kenyataan media PSM Pulau Pinang berkenaan dengan insiden tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang pada 19 Oktober 2018.

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Cawangan Bayan Baru.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s