oleh Gandipan Nantha Gopalan

Pemuda Sosialis mengambil maklum dan menolak sekeras-kerasnya  cadangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar khusus bagi golongan berpendapatan tinggi. Cadangan ini sangat mengejutkan kerana cadangan ini adalah satu kontradiksi yang besar dengan matlamat dan wawasan MRSM ditubuhkan dan ia datang daripada pengerusi institusi itu sendiri.

Matlamat asal MRSM ditubuhkan adalah untuk membantu anak-anak daripada golongan B40 yang kurang mampu, bukan untuk golongan kaya raya dan elit. MRSM berbayar untuk kelas elit hanya akan melebarkan lagi jurang sosial antara yang kaya dan yang miskin. Mewujudkan MRSM berbayar ini juga berkemungkinan besar akan menjadi titik permulaan untuk mengurangkan peruntukan kepada MRSM dan untuk menswastakan MRSM kelak.

Kami ingin mengingatkan bahawa cadangan Dr Asyraf untuk mewujudkan MRSM berbayar bukanlah sesuatu yang baru. Pada tahun 2017, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada masa itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga mengeluarkan kenyataan bahawa ada cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar.  Pemuda Sosialis ingin tahu alasan dan siapa sebenarnya di belakang tadbir Pengerusi MARA dan Menteri ini yang konsisten membawa cadangan ini kepada orang awam.

Pada tahun 2017, MARA menerima lebih 60,000 permohonan sedangkan MRSM hanya mampu menawarkan tempat kepada 7,500 orang pelajar baru Tingkatan Satu berdasarkan laporan portal Malaysiakini. 6 tahun kemudian, tempat yang disediakan untuk permohonan kemasukan adalah 7,169 orang pelajar sahaja. Ini bermaksud bahawa selama enam tahun lalu, MRSM tidak berkembang dan gagal untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi golongan yang memerlukan. Pemuda Sosialis ingin memberi perspektif ini kepada perhatian Dr. Asyraf Wajdi untuk menghalusi dan memberi cadangan pada masa yang akan datang tentang bagaimana MRSM boleh diperkembangkan dan menampung lebih banyak pelajar lagi.

MRSM tidak harus terpesong daripada matlamat penubuhannya. Mewujudkan peluang pendidikan untuk golongan kaya raya di platform yang seharusnya membantu golongan kurang berkemampuan adalah satu pendekatan korup dan harus dibantah.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *