oleh Arveent Kathirtchelvan

Kabinet Malaysia baharu telah diumumkan dan ia sangat tidak memuaskan. Pertama-tama, kita telah kembali kepada zaman di mana Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa yang sama. Zahid Hamidi yang tidak disenangi ramai pula diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bersama portfolio Kementerian Pembangunan Luar Bandar, manakala Tengku Zafrul, bekas Menteri Kewangan yang ditewaskan oleh Dr. Dzulkefly Ahmad, telah diangkat menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Walaupun ramai warga Malaysia kecewa, tersirat tanggapan bahawa “kalau kita nakkan Menteri yang baik, kita kena undi Pakatan Harapan” dan juga “sekurang-kurangnya bukan PAS”. Namun, sambutan mesra oleh wakil-wakil rakyat PH dan penyokong-penyokongnya terhadap BN nampaknya semakin hari semakin menolak PH ke haluan kanan sebagai sebuah gabungan selagi mereka asyik menang menggunakan naratif ini.

PAS benar-benar menghantui masyarakat kita yang berbilang budaya. Kita sudah melihat kerajaan PAS di Terengganu mengharamkan operasi salon uniseks, termasuk millikan bukan Islam, sesuatu yang memungkiri janjinya dahulu bahawa orang bukan Islam tidak akan terkesan dengan undang-undang Islam. Tambahan pula, kerajaan yang sama telah menetapkan hukuman teruk untuk sihir, ilmu hitam, kehamilan atau beranak luar nikah, perempuan berpura-pura menjadi lelaki dan “persiapan” untuk meliwat. Hal ini menjadi satu serangan tidak munasabah terhadap golongan wanita dan minoriti seksual.

Tetapi PH gemar menuding jari ke arah sesuatu jembalang politik untuk mempopularkan diri sendiri. Dalam PRU-14, mereka menggunakan BN sebagai alasan untuk bekerjasama dengan Mahathir. Kini, mereka menggunakan PAS sebagai alasan untuk bekerjasama dengan BN. Realitinya, PH dan semua orang progresif perlu faham bahawa tiada jalan pintas untuk menjatuhkan ancaman sayap kanan.

Realiti di bumi yang nyata: semua orang sedang merana kecuali golongan mahakaya. Golongan pekerja menjadi hamba kepada pekerjaan yang tidak membahagiakan, yang memerah keringat mereka lebih 8 jam sehari tanpa bayaran tambahan, yang menyedut kontang nilai sebanyak mungkin daripada mereka. Pekerjaan sama membayar gaji ciput yang tidak setimpal dengan usaha mereka, sekadar hampir tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos makanan, sewa dan hutang. Bilamana mereka pulang ke rumah, golongan pekerja menghadapi kemurungan eksistensial. Kalau tidak masuk kerja, kebuluran; kalau masuk kerja, tertekan.

Ketika ini, satu kumpulan mendatangi mereka dengan penyelesaian yang mudah. Kumpulan itu mengatakan bahawa “segala masalah awak berpunca daripada kaum lain, budaya lain, orang pelarian, migran serta mereka yang bukan orang kita!”. Sewajarnya kita membidas penipuan itu sebagai hujah yang wujud hanya untuk menyemai kebencian dan meraih undi. Tetapi, buat pekerja yang penat, analisis apa lagi yang didengari? Di manakah kita dalam membawa analisis alternatif kepada marhaen? Kalau tidak bersungguh-sungguh seperti lawan kita, patutkah kita terkejut atau kecewa apabila politik kebencian meluaskan pengaruhnya?

Realitinya, kita tidak bersama marhaen di tempat mereka; tidak membawa idea tentang kelas, perjuangan kelas dan pembinaan kesedaran kelas. Marhaen tidak dapat mendengar kita. Kita tidak berada di TikTok mahupun di padang untuk menerangkan perkara-perkara ini. Untuk sesetengah pihak, ini disebabkan oleh kekurangan sumber. Untuk yang lain seperti PH, mereka terlalu fokus pada agenda reformasi-korupsi. Ia hanyalah hujah simplistik yang disebarkan luas melalui bahan propaganda canggih.

Apabila munculnya pihak lawan yang membungkus agenda sama dalam ideologi berbeza, seperti Perikatan Nasional dengan cogan katanya “lebih bersih daripada BN, bebas daripada DAP”, kita menyaksikan sokongan hebat buat mereka. Namun, hujahan balasnya masih sama: menuding jari, ejek-mengejek, menuduh korupsi. Ideologi langsung tidak disentuh.

Ini adalah berbahaya. Dengan tidak mengedepankan alternatif kepada politik perkauman dan agama, perubahan mampan tidak akan berlaku dan masyarakat kita akan terus berpecah. PH meneruskan air liurnya dengan membikin video tentang perpaduan dan kemakmuran tanpa mengubati sakit sebenar yang dirasai oleh golongan marhaen.

Apa yang kita perlukan ialah program ekonomi untuk golongan marhaen. Hubungan antara kesengsaraan kita dan kapitalisme perlu dijelaskan. Ketidakberdayaan sebagai individu dalam memilih pekerjaan dan masa depan kita perlu dikaitkan dengan masalah pengumpulan modal persendirian (private capital). Kita perlu menunjukkan kenapa kesatuan sekerja sukar untuk ditubuhkan, kenapa gaji tidak naik, kenapa kerja kontrak dan ekonomi gig berkembang. Hanya dengan menyedari musuh sebenar, iaitu sistem yang menyedut kontang buruh orang bawahan untuk mengkayakan orang atasan, barulah kita dapat membina solidariti merentasi kaum dan agama.

Ini bukan nak kata bahawa segala kontradiksi masyarakat akan terhapus apabila kita mengangkat kesedaran kelas ke dalam arus perdana, cuma ia akan menghilangkan penyumbang besar kepada perkembangan sayap kanan cuba menyajikan jawapan yang meyakinkan kepada masalah ekonomi warga Malaysia biasa tetapi tetap tidak benar sama sekali. Kita harus ingat bahawa, isu seperti PH memotong subsidi yang sepatutnya diberikan kepada petani dan nelayan menjejaskan sokongan daripada golongan ini terhadapnya. Kita harus ingat bahawa, cara puak kanan menentang dasar yang menggantikan kuota kaum dengan kuota kelas didorong oleh rasa takut yang orang paling merana dalam kaum mereka akan rugi. Maka, agenda ekonomi kirilah yang perlu kita popularkan.

Ini bukan juga nak kata bahawa PH ialah organisasi kiri dalam apa jua bentuk. Mereka tidak menyokong analisis mengenai kapitalisme yang dibawa oleh puak kiri, atau sekurang-kurangnya tidak menunjukkannya dalam dasar-dasar mereka. Sebenarnya, mereka jarang membincangkan dasar-dasar mereka. Mereka lebih banyak bersembunyi di sebalik hantu PAS untuk membentuk imej yang lebih bersih. Yang menyedihkan lagi, ramai daripada kita masih memberi alasan untuk kelemahan mereka dengan mengatakan bahawa sekurang-kurangnya bukan PAS, betul? Namun, kecendurungan PH semakin mencodong ke Haluan kanan tetap tidak dapat dinafikan kalau kita perhatikan cara mereka berkempen sewaktu PRU-15. Kita kena ingat, selagi kita memberi alasan untuk parti-parti ini, jarak antara mereka dengan lawan politik mereka akan semakin dekat demi memperluaskan pengaruh. Apa yang akan kita ada selepas itu?

Dengan itu, kami di PSM ingin memperluaskan gerakan rakyat marhaen bagi menyebarkan kesedaran kelas. Selepas PRU-15, kami mempunyai lebih banyak tenaga dan ahli untuk melakukan demikian. Kami menyeru pada anda semua yang ingin menyaksikan Malaysia yang bersatu padu, untuk melakukan demikian juga. Walaupun kita ingat PAS sudah tewas sekarang, mereka hanya akan terus berkembang melainkan kita menguasai naratif dan meyakinkan marhaen bahawa perjuangan kelas itu penyelesaian kepada kesengsaraan mereka. Moga anda menyertai kami dalam usaha ini.

=========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

One thought on “Jangan mengadu pasal puak kanan kalau kamu tak bangunkan kesedaran kelas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *