oleh Arveent Kathirtchelvan

Pemuda Sosialis kecewa terhadap Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang masih tidak memberi apa-apa maklum balas terhadap seruan daripada ramai aktivis untuk Malaysia menarik balik ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Tarikh akhir penarikan balik ini telah tiba semalam (29 November 2022) dan mulai hari ini, ratifikasi CPTPP telahpun berkuatkuasa secara rasmi.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menentang CPTPP sekeras-kerasnya atas sebab Malaysia akan terdedah kepada beberapa sekatan dari segi ekonomi negara yang berkemungkinan besar menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan marhaen. Antaranya:

  1. CPTPP mengkehendaki Malaysia menyertai persetujuan UPOV (International Union for the Protection of New Varieties of Plants) 1991 yang akan melarang perkongsian dan penjualan benih antara petani jika benih tersebut ialah hasil tanaman benih yang diberi hak pembiak baka tumbuhan. Petani dikehendaki membeli benih daripada syarikat pembekal benih. Ini berpotensi tinggi mewujudkan monopoli dalam pembekalan benih dan kos petani akan meningkat.
  2. CPTPP memerlukan Malaysia untuk mensifarkan tarif import bagi semua (100%) barangan import yang masuk ke Malaysia. Ini bermakna hampir semua barangan buatan tempatan tidak akan dilindungi (kecuali daging ayam, khinzir, susu, telur dan barangan terpilih). Lambakan barangan diimport akan berlaku dan akan melemahkan perniagaan tempatan terutama pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekaligus menggugat pekerja PKS yang merupakan 64% daripada jumlah pekerja di Malaysia.
  3. CPTPP memberi pelabur asing hak untuk menghadap kerajaan kita ke tribunal timbang tara swasta jika pelabur itu berasa keuntungannya, termasuk anggaran keuntungan masa depan, terjejas oleh dasar kerajaan. Pelabur tidak dikehendaki untuk merujuk masalahnya dengan kerajaan di mahkamah tempatan dahulu. Panel arbitrasi yang terdiri daripada tiga orang peguam korporat, boleh menganugerahkan pampasan dalam jumlah besar (berbilion ringgit tanpa had), termasuk untuk kehilangan keuntungan pada masa hadapan. Kedaulatan Malaysia dalam merangka dasar-dasar tempatan akan tergugat.

Oleh yang demikian, Pemuda Sosialis mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik penyertaan Malaysia dalam CPTPP. Ini mesti dilakukan serta-merta kerana mana-mana pelabur di Malaysia mulai hari ini boleh menggunakan mana-mana peruntukan CPTPP yang dapat memberi impak yang ketara kepada ekonomi negara kita.

Difahamkan juga bahawa penarikan balik Malaysia daripada CPTPP dari hari ini akan mengambil masa selama 6 bulan. Datuk Seri Anwar perlu memastikan aktiviti mana-mana pelabur asing ditangguhkan dalam tempoh masa ini supaya Malaysia tidak terikat dengan klausa CPTPP sebelum keluar daripadanya.

Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian akan menjadi satu titik hitam dalam sejarah kepimpinannya.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *