Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 20 November 2021 menyaksikan kemenangan besar untuk Barisan Nasional (BN) yang memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Keputusan ini merupakan satu tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) yang hendak mengambilalih kuasa melalui cara menerima wakil rakyat yang melompat parti. BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga, dan Sulaiman Md Ali, ADUN UMNO untuk kawasan Lendu, mengekalkan jawatan Ketua Menteri Melaka yang dipegangnya sejak 9 Mac 2020.

PRN Melaka kali ini diadakan lebih awal kerana krisis politik yang timbul selepas 4 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Ketua Menteri Sulaiman Md Ali sebelum itu menarik balik sokongan mereka pada 4 Oktober 2021. PRN Melaka menyaksikan parti-parti dalam dua gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan sekarang ini, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), bertanding melawan sesama sendiri dalam Pilihanraya Negeri. Namun, pertembungan antara dua gabungan parti pemerintah ini nampaknya tidak menguntungkan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan gabungan parti pembangkang utama setelah ia kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan dan Negeri Melaka pada bulan Mac 2020; sebaliknya PH kehilangan hampir separuh daripada undi yang diperolehinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada tahun 2018. Ini merupakan satu tamparan kepada pemimpin PH yang terlalu ghairah untuk merampasa kuasa termasuk sudi menerima ahli-ahli politik yang mengubah pendirian mengikut kepentingan diri dan tidak berprinsip langsung.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya seramai 326,068 orang atau 65.85% pengundi keluar mengundi dalam PRN Melaka kali ini, satu angka atau peratusan yang jauh lebih rendah berbanding 418,112 orang atau 84.52% pengundi yang keluar mengundi pada tahun 2018. Antara faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi ini rendah, selain ancaman pandemik COVID-19 yang masih wujud, kekecewaan pengundi terhadap perebutan kuasa antara elit politik yang membawa kepada pilihanraya awal ini juga menurunkan mood pengundi untuk keluar mengundi, khususnya mereka yang bekerja di luar negeri Melaka. Suasana pilihanraya di lapangan Melaka juga kurang hangat kerana larangan untuk perhimpunan orang ramai dan aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi, atas tujuan membendung penularan wabak COVID-19.

BN berjaya menguasai kerusi majoriti dua pertiga selepas menang 21 kerusi, dengan UMNO menang 18 daripada 20 kerusi yang ditandinginya, MCA menang 2 daripada 7 kerusi yang ditandinginya dan MIC menang dalam satu-satu kerusi yang ditandinginya. PH hanya menang 5 kerusi, dengan 4 kerusi dimenangi DAP dan 1 lagi dimenangi AMANAH. Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah kalah di kesemua 11 kerusi yang ditandinginya. Dalam PRU-14, PH menguasai 15 kerusi DUN Melaka sehingga membolehkannya memerintah negeri itu selama 22 bulan sebelum dijatuhkan pada bulan Mac 2020 berikutan Langkah Sheraton, dan memegang sebanyak 11 kerusi sehingga PRN Melaka terbaru.

PN yang memang dijangkakan akan mengalami kekalahan teruk sebelum lagi pengundian, hanya dapat menang 2 kerusi, dengan kedua-duanya dimenangi oleh Parti BERSATU. Parti PAS dan GERAKAN, dua buah parti komponen PN, telah menyertai PKR sebagai parti komponen dalam gabungan parti utama yang tidak memenangi apa-apa kerusi, hanya kekalahan mereka tidak seteruk PKR yang bertanding lebih banyak kerusi. Walau bagaimanapun, jika dilihat dari segi perolehan undi, prestasi PN sebenarnya tidak seteruk mana, kerana ia masih berjaya meraih sebanyak 24.31% dari pada jumlah undi keseluruhan (hampir satu perempat). Apabila PAS bertanding secara sendiri dalam PRU-14, ia hanya mendapat 10.78% undi. Ini bermakna bahawa banyak undi yang tidak menyokong PH tidak terus beralih kepada BN, tetapi pergi kepada PN. Jika wujudnya sistem pengundian berasaskan perwakilan berkadar, PN sudah dapat 25% kerusi dalam DUN Melaka.

Walaupun BN menang 75% kerusi DUN Melaka, tetapi jika dilihat dari segi perolehan undi, ia hanya meraih 38.39% undi, sedikit lebih tinggi berbanding 37.84% undi yang diperolehinya dalam PRU-14 pada tahun 2018. Walaupun perolehan undi PH telah merosot dengan hebatnya, daripada 51.11% pada tahun 2018 kepada 35.80% kali ini, tetapi peratusan kerusi yang dikuasainya jauh lebih rendah, iaitu tidak sampai 18%. Ini sekali jelas menunjukkan kelemahan dalam sistem “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP) kerana ia menghasilkan pengagihan kerusi yang tidak setara dengan undi yang diperoleh. Parti komponen dalam PN seperti BERSATU patutnya berasa kesal kerana tidak memainkan peranan pro-aktif dalam mempercepatkan proses pembaharuan sistem pilihanraya yang merangkumi usaha untuk memperkenalkan sistem perwakilan berkadar.

Secara keseluruhannya, PRN Melaka tidak membawa apa-apa perkara yang mengujakan, dan tidak memberi apa-apa nafas baharu kepada politik negara kita hari ini. Dengan kemenangan besar (dari segi penguasaan kerusi, bukannya perolehan undian) BN dalam PRN Melaka, sudah pasti gabungan politik yang pernah memerintah negara kita selama lebih 6 dekad sebelum ia ditewaskan dalam PRU-14 kerana skandal korupsi pemimpinnya, akan lebih berkeyakinan untuk bertanding dalam PRU akan datang tanpa perlu bekerjasama dengan parti-parti dalam PN. UMNO sudah pasti tidak akan membiarkan BERSATU menjadi parti nasionalis Melayu berhaluan kanan yang boleh menggantikannya, maka memang tiada sebab pendorong untuk UMNO berganding bahu dengan BERSATU. Persoalannya adalah berapa banyak dan berapa lama lagi politikus-politikus dalam BERSATU itu akan kembali menyertai UMNO demi kepentingan mereka sendiri.

Barangkali apa yang “positif” dalam PRN Melaka adalah pengundi dengan jelasnya menolak ahli-ahli politik yang melompat parti sesuka hati. Tiga orang ahli politik yang menjadi “pencetus” kepada krisis politik yang mewujudkan PRN Melaka kali ini, telah dihukum oleh pengundi. Idris Haron, bekas Menteri Besar Melaka, yang melompat keluar dari UMNO dan bertanding sebagai calon PH/PKR di kawasan DUN Asahan, ditewaskan oleh calon BN dengan undi majoriti 2,993. Nor Azman Hassan, seorang lagi ahli politik yang keluar dari UMNO dan bertanding sebagai calon PH, hanya menduduki tangga ketiga dalam perolehan undi di kawasan DUN Pantai Kundur, di belakang calon BN yang menang dan calon PN. PRK yang menerima dua orang ahli politik “katak” daripada UMNO ini juga menerima “balasannya” kerana sanggup mengangkat ahli pollitik yang tiada prinsip politik. Norhizam Hassan Baktee, bekas ADUN DAP yang berperanan dalam menjatuhkan Kerajaan PH di Melaka pada tahun 2020 dan kemudiannya terlibat dalam pencetusan krisis politik Melaka terbaru, telah tewas dengan teruknya sehingga kehilangan deposit di kawasan DUN Pengkalan Batu.

2 thoughts on “PRN Melaka: Tamparan kepada PH yang terima ahli politik katak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *