(foto: pexels)

(Berikut ialah kenyataan media daripada Pemuda Sosialis PSM berkenaan isu kelonggaran dalam peraturan memakai pelitup muda.)

oleh ‘Izz Daenie & Audrey Chan

Pada 7 September 2022, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kawasan dalam kecuali pengangkutan awam dan kemudahan perubatan.

Keputusan tersebut meninggikan risiko semua orang dijangkiti COVID-19, lebih-lebih lagi orang kurang upaya, orang dengan sistem keimunan yang terkompromi, warga emas, dan orang yang mempunyai kondisi sedia ada. Seseorang tidak perlu tergolong dalam kumpulan-kumpulan tersebut untuk memahami risiko mereka ketika terdedah kepada COVID-19. Pengumuman tersebut menyatakan bahawa memakai pelitup muka merupakan saranan semata-mata, bukan kewajipan. Hal ini menjadikannya tanggungjawab individu untuk memelihara orang berisiko daripada terjangkit sedangkan ia merupakan tanggungjawab kerajaan.

Tindakan kerajaan dalam menangani penyebaran COVID-19 yang berlaku secara bawaan udara, yakni medium penyebaran yang paling kerap, adalah tidak memadai. Virus yang wujud secara bawaan udara mampu berlegaran di dalam bangunan berjam-jam setelah orang yang terjangkit berada di situ (Greenhalgh et al., 2021). Dengan ini, pelitup muka paling berkesan dalam mengekang penyebaran COVID-19. Namun, bukan sahaja peraturan memakai pelitup muka dilonggarkan, malah tiada penambahbaikan pada sistem pengudaraan untuk mengelakkan penyebaran secara bawaan udara.

Tambahan pula, walaupun sebahagian besar populasi telah mendapatkan vaksin dan dos penggalak, banyak lagi hospital tidak menawarkan dos penggalak dan maklumat berkenaannya masih lagi tidak mudah didapati. Hal ini memburukkan penyebaran pelbagai varian COVID-19 dalam kalangan populasi dan meninggikan risiko penjangkitan semula yang mampu memberi kesan jangka panjang lantas mengurangkan keupayaan seseorang secara kekal (Sidik, 2022).

Peraturan pelitup muka longgar yang tidak didahului tindakan untuk mengelakkan penyebaran COVID-19 secara holistik merupakan keputusan yang membatasi pergerakan orang berisiko, khususnya di ruang yang dipenuhi orang berjangkit ataupun tidak berpelitup muka, lantas membatasi akses mereka. Tingkatkan kualiti sistem pengudaraan, tingkatkan akses kepada dos penggalak, subsidi yang lebih banyak kepada kelengkapan pencegahan COVID-19 seperti pelitup muka dan kit ujian kendiri (RTK), wajibkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, dan serius dalam menangani COVID-19.

Kami mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih serius untuk mengekang penyebaran COVID-19 dan memelihara komuniti yang paling berisiko. Bagi mereka, situasi kini tidak berbeza daripada zaman awal COVID-19 (Grant, 2022). Kami memahami sikap tergesa-gesa untuk maju ke hadapan daripada pandemik ini, tetapi kita hanya dapat melakukan demikian apabila komuniti yang paling berisiko dilindungi.

==========

‘Izz Daenie dan Audrey Chan ialah ahli Biro Keadilan OKU Pemuda Sosialis PSM.

==========

Sumber rujukan:

Grant, K. (2022). For the Immunocompromised, COVID Remains a Major Threat. Retrieved 15 September 2022, from https://www.webmd.com/lung/news/20220406/for-the-immunocompromised-covid-remains-a-major-threat

Greenhalgh, T., Jimenez, J., Prather, K., Tufekci, Z., Fisman, D., & Schooley, R. (2021). Ten scientific reasons in support of airborne transmission of SARS-CoV-2. The Lancet, 397(10285), 1603-1605. doi: 10.1016/s0140-6736(21)00869-2

Sidik, S. (2022). Heart disease after COVID: what the data say. Retrieved 15 September 2022, from https://www.nature.com/articles/d41586-022-02074-3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *