KUALA LUMPUR – 15 SEPTEMBER 2022: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu memorandum yang mengetengahkan isu kegagalan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dalam melindungi pekerja-pekerja kontrak, kepada ibu pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada hari ini.

Mereka yang hadir semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah S. Tinagaran (Ahli Biro Pekerja PSM), A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM), Choo Chon Kai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM) dan dua orang pekerja dari Kedah yang dinafikan faedah SIP. Memorandum tersebut telah diterima oleh Haji Zainal Ismail selaku Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan PERKESO.

JPKK dan PSM telah membawa kepada perhatian PERKESO mengenai kelemahan yang wujud dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sehingga menyebabkan pekerja-pekerja kontrak yang berpendapatan rendah dan kekurangan jaminan kerja tidak dilindungi.

Hilang kerja 9 bulan tanpa bantuan kewangan

Kes spesifik yang dibawa oleh JPKK dan PSM kepada perhatian PERKESO ialah permohonan faedah SIP daripada 2 orang pekerja pembersihan sekolah yang ditolak awal tahun ini.

Mageswaree A/P Muniyandy dan Moorthi A/L Rajoo ialah pekerja pembersihan sebuah sekolah rendah di Lunas, Kedah, yang diupah oleh syarikat kontraktor yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan sekolah daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Tugas mereka ialah membersihkan dan memastikan kebersihan premis sekolah di mana mereka bekerja. Mereka bekerja 8 jam sehari dan 6 hari seminggu. Mereka hanya menerima gaji yang dibayar mengikut kadar gaji minimum semasa. Mereka mula bekerja di sekolah tersebut pada bulan Mac 2020.

Pada 31 Disember 2021, Mageswaree dan Moorthi diberitahu oleh pihak majikan bahawa mereka diberhentikan kerja kerana kontrak mereka tidak diperbaharui. Mereka diberitahu bahawa kontrak mereka tidak diperbaharui kerana isu pertikaian dalaman di tempat kerja sebelum itu. Namun, tiada sebarang proses yang sewajar, seperti pengeluaran surat tunjuk sebab dan sesi siasatan dalaman, dibuat oleh pihak majikan sebelum memberhentikan kerja mereka. Oleh itu, Mageswaree dan Moorthi diberhentikan kerja tanpa alasan yang kukuh.

Mageswaree dan Moorthi telah memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan Kedah/Perlis pada 5 Januari 2022 di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan untuk menuntut pemulihan kerja. Mereka mempertikaikan alasan “tamat tempoh kontrak perkhidmatan” yang digunakan oleh pihak majikan untuk memberhentikan kerja mereka. Antara sebabnya:

•           Pihak majikan yang mengupah Mageswaree dan Moorthi pernah memperbaharui kontrak perkhidmatan kedua-dua orang pekerja ini secara automatik pada tahun 2021. Ini telah memberikan satu harapan yang sah kepada kedua-dua orang pekerja ini bahawa kerja mereka akan berterusan dan mereka akan disambung kerja pada tahun 2022. Mereka diberhentikan kerja dengan alasan tamat tempoh kontrak perkhidmatan hanya kerana wujudnya permasalahan dalaman di tempat kerja. Pihak majikan tidak membuat siasatan yang sewajar dan betul mengenai masalah tersebut, sebaliknya terus memberhentikan kerja Mageswaree dan Moorthi dengan alasan kontrak perkhidmatan mereka tidak akan diperbaharui. Mageswaree dan Moorthi digantikan dengan orang pekerja yang lain oleh syarikat yang sama di tempat kerja yang sama.

•           Pihak majikan yang mengupah Mageswaree dan Moorthi telah menyalahgunakan kontrak perkhidmatan bertempoh tetap. Kerja pembersihan di sekolah ialah kerja yang tetap, iaitu kerja yang perlu sentiasa dilakukan selagi sekolah itu masih beroperasi, bukannya kerja sementara, kerja sekali habis ataupun kerja bermusim. Dalam kes pekerja pembersihan sekolah seperti Mageswaree dan Moorthi ini, kontrak perkhidmatan bertempoh tetap telah disalahgunakan untuk membolehkan pihak majikan memberhentikan kerja pekerja sesuka hati dengan alasan tamat tempoh kontrak. Syarikat yang memberhentikan kerja Mageswaree dan Moorthi masih memegang kontrak perkhidmatan pembersihan di sekolah yang sama dan perkhidmatan pembersihan masih diperlukan di sekolah tersebut. Pekerja-pekerja lain yang diupah oleh syarikat ini masih bekerja di situ.

Kes menuntut pemulihan kerja mereka di Jabatan Perhubungan Perusahaan telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan dan belum selesai lagi sehingga sekarang.

Pada hari yang sama dengan pemfailan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan, iaitu 5 Januari 2022, Mageswaree dan Moorthi juga mengemukakan permohonan secara atas talian kepada PERKESO untuk faedah SIP. Namun, permohonan mereka ini telah ditolak seperti yang dimaklumkan dalam surat daripada PERKESO yang bertarikh 19 Januari 2022.

Rayuan Mageswaree dan Moorthi terhadap penolakan permohonan SIP mereka telah dibicarakan di hadapan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial Kawasan Utara pada 29 Julai 2022, iaitu 6 bulan selepas permohonan mereka ditolak.

Keputusan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial ialah kes ini dibatalkan dengan kebebasan kedua-dua orang berinsurans untuk mengemukakan semula permohonan selepas mendapat keputusan daripada Mahkamah Perusahaan. Ini bermakna kedua-dua orang pekerja yang telah membayar caruman SIP sejak tahun 2018 ini tidak memperoleh apa-apa lagi bantuan kewangan daripada SIP sehingga kini, selepas 9 bulan mereka kehilangan pekerjaan.

“Keputusan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial ini amat mengecewakan dan terus menyusahkan pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan atas sebab bukan kerelaannya. Ini jelas adalah bertentangan dengan objektif utama penubuhan SIP, iaitu menyediakan bantuan kewangan segera sebagai gantian pendapatan kepada mana-mana orang berinsurans yang kehilangan pekerjaan atas sebab bukan kerelaannya,” kata Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, semasa menyerahkan memorandum kepada PERKESO. “Mageswaree dan Moorthi telah kehilangan pekerjaan kerana pihak majikan menyalahgunakan kontrak perkhidmatan bertempoh tetap dan memberhentikan kerja mereka tanpa mengikut prosedur yang sah. Mereka telah hidup tanpa pendapatan gantian sepanjang 9 bulan yang lalu ini. Proses di Mahkamah Perusahaan dijangka akan mengambil beberapa bulan lagi.”

Kelemahan am dalam SIP

Menurut memorandum yang diserahkan oleh JPKK dan PSM kepada PERKESO, kes Mageswaree dan Moorthi ini telah mendedahkan beberapa kelemahan yang wujud dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang sepatutnya bertujuan untuk melindungi pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan. Antaranya:

1. Peruntukan yang bermasalah dalam Akta SIP

Mengikut Sekyen 30(1)(b) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, “habisnya tempoh kontrak perkhidmatan” telah dikecualikan sebagai sebab “kehilangan pekerjaan”. Peruntukan undang-undang ini tidak mengambil kira realiti dunia kerja dan telah menimbulkan masalah kepada banyak pekerja kontrak yang berpendapatan rendah.

Ratusan ribu pekerja di negara kita sedang bekerja sebagai pekerja perkhidmatan sokongan (seperti pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan) di sekolah-sekolah kerajaan. Mereka diupah oleh syarikat kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan. Namun, majikan mereka telah menggunakan “kontrak bertempoh tetap” (fixed term contract) untuk mengupah mereka. Ini merupakan satu penyalahgunaan kontrak perkhidmatan bertempoh tetap, kerana kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja yang bergaji rendah ini adalah kerja yang tetap, bukannya kerja sementara, kerja bermusim ataupun kerja sekali habis. Penggunaan “kontrak bertempoh tetap” telah memudahkan pihak majikan untuk memberhentikan pekerja sesuka hati dengan alasan “habisnya tempoh kontrak perkhidmatan” dan sekarang ini turut menjadi penghalang kepada pekerja-pekerja untuk mendapatkan perlindungan di bawah SIP.

2. Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial gagal meneliti rayuan pekerja kontrak

Dalam kes Mageswaree dan Moorthi, Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial telah gagal meneliti rayuan daripada pekerja dengan lebih terperinci, sebaliknya terus membatalkan kes sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Perusahaan. Ini telah melambatkan lagi tempoh untuk pekerja mendapatkan bantuan kewangan daripada SIP.

Seksyen 59(1) Akta Sistem Insuran Pekerjaan 2017 memperuntukkan kuasa kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial untuk memutuskan segala persoalan atau pertikaian, termasuk [Seksyen 59(1)(m)(iv)] “apa-apa perkara lain yang dipertikaikan antara orang berinsurans dengan majikan”, di mana dalam kes Mageswaree dan Moorthi adalah pertikaian sebab pemberhentian kerja mereka. Namun, Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial gagal berbuat demikian, sebaliknya melepaskan tanggungjawab ini kepada Mahkamah Perusahaan yang akan mengambil masa yang lebih lama lagi.

Perlu pembaharuan terhadap SIP

Oleh yang demikian, JPKK dan PSM mengemukakan tuntutan untuk memperbaiki SIP supaya ia dapat benar-benar melindungi pekerja:

  • Longgarkan syarat kelayakan penerimaan faedah SIP supaya merangkumi semua jenis kehilangan kerja;
  • SIP harus diluluskan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaaan walaupun kes mereka masih berjalan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK);
  • Permudahkan urusan permohonan SIP bagi pekerja yang kehilangan kerja;
  • Hapuskan kriteria bilangan caruman bulanan minimum untuk layak menerima faedah SIP.

JPKK dan PSM juga berharap pada pihak PERKESO supaya mempertimbangkan semula permohonan Mageswaree dan Moorthi dengan segera supaya mereka boleh mendapat faedah SIP yang sewajarnya.

One thought on “SIP gagal lindungi pekerja kontrak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *