SUNGAI PETANI, KEDAH – 22 SEPTEMBER 2022: Pekerja-pekerja di syarikat GS Yuasa Battery Malaysia Sdn. Bhd. melancarkan piket pada hari ini di hadapan kilang yang terletak di Kawasan Perusahaan Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap pihak syarikat yang tidak ikhlas dalam mengadakan rundingan perjanjian bersama (CA) dengan pihak kesatuan sekerja. Aksi piket yang disertai oleh seramai 120 orang pekerja kilang GS Yuasa Battery ini dianjurkan oleh Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Lektrik (EIWU).

EIWU telah memeterai 12 perjanjian bersama (CA) dengan syarikat GS Yuasa Battery Malaysia Sdn. Bhd., yang merupakan sebuah kilang pengeluar bateri kereta, dalam tempoh lebih 3 dekad yang lalu. CA yang dimeterai oleh pihak kesatuan EIWU dengan pihak syarikat mengandungi terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak melalui rundingan bersama. CA yang ke-12 antara pihak kesatuan EIWU dan syarikat GS Yuasa Battery telah tamat pada 28 Februari 2022, maka pihak EIWU mengemukakan cadangan baharu secara bertulis untuk CA yang ke-13 pada bulan Mac 2022. Namun, pihak syarikat tidak menunjukkan keikhlasannya dalam rundingan CA dengan membawa masuk peguam, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam rundingan CA sebelum ini.

Pihak syarikat GS Yuasa Battery dalam suratnya yang bertarikh 4 Julai 2022 meminta kerjasama daripada pihak kesatuan untuk mengurangkan kos pengeluaran syarikat dengan alasan bahawa keadaan perniagaan yang semakin mencabar. Dalam surat yang sama, pihak syarikat GS Yuasa Battery menyatakan peguam yang dilantiknya akan mengetuai pasukan rundingan bagi pihak syarikat dalam rundingan bersama. EIWU telah menyuarakan bantahannya terhadap kehadiran pihak ketiga dalam rundingan bersama, kerana peguam bukannya ahli kepada kesatuan majikan maka bukannya badan yang berkompeten untuk mewakili majikan dalam rundingan.

Walapun mendapat bantahan daripada pihak kesatuan, pihak syarikat GS Yuasa Battery masih berdegil untuk membawa masuk peguam tersebut semasa pusingan pertama rundingan CA yang diadakan pada 9 Ogos 2022. Wakil kesatuan terpaksa meninggalkan bilik rundingan sebagai tanda protes terhadap tindakan pihak majikan yang tidak menghormati keharmonian industri dengan berdegil membawa masuk peguam ke dalam rundingan CA. Tindakan pihak majikan membawa masuk peguam dalam rundingan CA adalah bercanggah dengan Seksyen 13 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Pekerja-pekerja kilang GS Yuasa Battery mempertikaikan tindakan pihak syarikat yang sanggup membelanjakan wang untuk melantik peguam tetapi pada masa yang sama hendak mengurangkan kos pengeluaran yang mungkin menjejaskan kebajikan pekerja.

Menurut Md Zaimi bin Muhamad Yusof, Setiausaha Agung EIWU, sejak penubuhan EIWU pada tahun 1971, tidak pernah berlakunya campurtangan peguam semasa rundingan CA antara pihak kesatuan dengan pihak majikan. “Hakikatnya, di syarikat GS Yuasa Battery ini, Kesatuan telah menyelesaikan 12 perjanjian bersama (CA) sejak 36 tahun yang lalu tanpa kehadiran pihak ketiga termasuk peguam dan keharmonian industri dapat dikekalkan,” kata Md Zaimi dalam kenyataan akhbarnya mengenai tindakan piket pekerja-pekerja GS Yuasa Battery.

“Dengan sikap syarikat yang keras kepala dan tidak mahu bekerjasama, EIWU tidak mempunyai pilihan selain melancarkan piket ini seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang sebelum kami dapat memutuskan tindakan selanjutnya,” ujar Md Zaimi. EIWU menegaskan bahawa pihak kesatuan akan meneruskan tindakan piket sehingga tuntutannya untuk mengadakan rundingan CA tanpa peguam itu ditunaikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *