PERAI, PULAU PINANG: Kesatuan Sekerja Industri Elektronik (EIEU) Wilayah Utara Semenanjung Malaysia telah menganjurkan satu aksi piket pada 4 Ogos 2022 di hadapan kilang Panasonic Automotive Systems Malaysia Sdn Bhd (PASMY) yang terletak di Perai, Pulau Pinang. Aksi piket yang disertai oleh pekerja-pekerja kilang PASMY yang juga merupakan ahli EIEU Wilayah Utara Semenanjung Malaysia ini bertujuan untuk berprotes terhadap tindakan pihak majikan yang sengaja melambat-lambatkan proses rundingan perjanjian kolektif. Pekerja-pekerja PASMY menggesa pihak majikan supaya mengambil serius terhadap rundingan perjanjian kolektif yang kedua antara pihak kesatuan sekerja dan pihak majikan.

Menurut AK David, Setiausaha Agung EIEU Wilayah Utara, tempoh perjanjian kolektif pertama antara kesatuan sekerja dengan syarikat PASMY telah tamat pada 30 Jun 2022. Pihak kesatuan sekerja telah mengemukakan cadangan untuk perjanjian kolektif yang kedua dan menunggu cadangan balas daripada pihak pengurusan syarikat. Namun, selepas tempoh 30 hari pihak kesatuan sekerja mengemukakan cadangannya dan meminta cadangan balas daripada pihak majikan serta penganjuran rundingan bersama, pihak pengurusan syarikat masih gagal memberi sebarang cadangan balas, sebaliknya memberi alasan yang tidak munasabah. Pihak pengurusan syarikat PASMY mengatakan bahawa pihak majikan belum lagi bersedia untuk rundingan bersama kerana adanya banyak perkara yang perlu diselesaikan dahulu, dan berdolak-dalik bahawa pelarasan gaji minimum memberi kesan besar kepada pihak majikan.

Pihak kesatuan sekerja mempertikaikan alasan yang diberikan oleh majikan itu. Pihak kesatuan sekerja telah memohon supaya rundingan bersama diadakan secepat mungkin supaya perjanjian kolektif yang kedua tidak dilewatkan lagi. Pekerja-pekerja kilang PASMY yang merupakan ahli kesatuan sekerja telah membuat keputusan sebulan suara untuk mengambil tindakan sewajar dalam mendesak pihak majikan supaya mempercepatkan proses rundingan perjanjian kolektif.

Oleh yang demikian, pihak kesatuan sekerja EIEU Wilayah Utara mengadakan aksi piket di hadapan kilang PASMY untuk memberi tekanan kepada pihak majikan supaya tidak melengah-lengahkan lagi proses rundingan perjanjian kolektif. Selepas mendapat tahu bahawa pihak kesatuan sekerja akan mengadakan aksi piket, pihak pengurusan syarikat PASMY telah menghantar cadangannya berkenaan perjanjian kolektif dan berkata bahawa ia bersedia untuk rundingan pada pertengahan bulan September 2022.

Aksi piket pekerja kilang PASMY telah berlangsung dengan aman. Delegasi daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) Wilayah Utara dan aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang telah hadir bersolidariti dengan pekerja-pekerja yang berpiket.

One thought on “Pekerja kilang Panasonic Automotive Systems berpiket tuntut rundingan perjanjian kolektif segera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *