oleh S. Arutchelvan

Mukadimah

Saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan kenalan Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI), yang meninggal dunia pada 31 Julai 2022. Bagi saya, Tan Sri Khalid Ibrahim ialah Menteri Besar terbaik daripada Pakatan Rakyat. Beliau telah membawa pelbagai idea baharu yang sebelum ini tidak dicuba. Antara idea-idea aslinya ialah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pelbagai program kebajikan untuk anak Selangor, warga emas dan ibu tunggal.

Beliau tidak disukai oleh sesetengah pihak kerana tidak mahu menggunakan dana negeri untuk kerja-kerja politik. Sebaik sahaja beliau menjadi Menteri Besar Selangor, beliau menasihatkan orang untuk membuat pilihan sama ada mereka nak jadi ahli perniagaan atau nak jadi ahli politik. Jangan campur adukkan kedua-duanya. Pandangan ini mungkin disebabkan beliau sudahpun menjadi jutawan sebelum menjadi ahli politik. Untuk ramai ahli politik lain pula, mereka menjadi jutawan setelah menjadi ahli politik.

Namun pengiktirafan positif dan pujian saya terhadap Tan Sri tidak datang begitu sahaja, ia melalui satu proses peralihan zaman yang lama dimana saya dengan sejujurnya ingin mencatatkan pengalaman saya bertembung dan berinteraksi dengan insan bernama Tan Sri Khalid Ibrahim dan bagaimana Khalid lawan saya pada awalnya akhirnya menjadi kawan saya

Face to Face

Debat pertama saya dengan Khalid Ibrahim berlaku di TV3 dalam rancangan Bahasa Inggeris yang bertajuk “Face to Face”. Khalid Ibrahim pada masa itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi syarikat Guthrie yang mewakili kepentingan kaum kapitalis pemilik ladang, manakala saya pula mewakili kepentingan kaum pekerja ladang. Pengacara untuk program ini adalah Almarhum Mahadzir Lokman. Dalam debat itu, Tan Sri Khalid begitu angkuh dengan pencapaian syarikat perladangan manakala saya mendedahkan kontradiksi mengenai kaum pekerja yang dibayar gaji yang rendah dan hidup dalam serba kekurangan. Namun demikian, saya melihat TV3 lebih banyak memberi ruang dan muka kepada Tan Sri Khalid di mana setiap kali saya cuba menyerang Tan Sri Khalid mengenai kegagalan syarikat perladangan, Mahadzir Lokman dengan penuh kelincahan akan menghentikan program untuk memberi laluan kepada iklan. Saya pernah berkata dalam rancangan itu, Tan Sri kena turun dari helikopter untuk melihat kesengsaraan rakyat.

Pengusiran pekerja Ladang Bukit Jelutong

Pada 26 Jun 2002, saya dengan mata sendiri melihat kerakusan pihak syarikat Guthrie merobohkan rumah pekerja-pekerja ladang di Ladang Bukit Jelutong. Dalam insiden tersebut, pekerja ladang diberikan notis kurang daripada 24 jam. Operasi haram ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Guthrie. Walaupun ia ialah tanah swasta, tetapi syarikat gergasi perladangan Guthrie dapat menggunakan khidmat kerajaan tempatan untuk melakukan perobohan rumah pekerja-pekerja ladang. Guthrie juga biasa mengadakan majlis makan dengan kakitangan-kakitangan kerajaan. Inilah kerjasama intim antara Kerajaan Tempatan dan pihak swasta untuk agenda mengusir rakyat miskin di Negeri Selangor.

Pada hari rumah pekerja-pekerja ini dirobohkan, saya melihat TS Khalid berada di lokasi kejadian bersama dengan MBSA, polis dan lain-lain. Begitu kebal pengaruh dan kuasa mereka. Rumah tiga generasi pekerja ladang diroboh begitu sahaja tanpa melalui proses perundangan yang sahih.

Kami juga hairan melihat orang berpangkat begitu tinggi akan turun untuk memastikan operasi perobohan dan pengusiran berlaku dengan berjayanya. Beliau juga datang ke sana bukan dengan kereta tetapi helikopter.

Namun, kami tidak berputus asa. Kami membina balik rumah yang diroboh itu dan memulakan satu perlawanan balik yang cukup kuat. Pada masa itu, Tan Sri Musa Hitam baru menjadi Pengerusi Guthrie selepas beliau baru sahaja bersara sebagai Pengerusi SUHAKAM, manakala Tan Sri Khalid Ibrahim ialah CEO Guthrie. Kami menyasarkan tekanan kami terhadap Tan Sri Musa Hitam yang dilihat orang yang lebih senang didampingi berbanding dengan TSKI. Kami membuat beberapa demonstrasi di hadapan pejabat peribadi Tan Sri Musa Hitam di Bangunan Citibank, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Kami melihat Musa Hitam ialah individu yang lebih senang untuk berunding berbanding dengan TSKI yang kami anggap sebagai orang yang keras kepala dan langsung tidak berhati perut.

Akhirnya, tuntutan kami mendapat perhatian. Satu mesyuarat telah dipanggil di pejabat Guthrie yang dipengerusikan oleh Musa Hitam. Yang turut hadir ialah TSKI.  Mesyuarat diadakan pada 7 April 2003. Dalam dialog tersebut, Musa menyindir bahawa Guthrie mempunyai tempat yang begitu luas dan para pekerja boleh berdemonstrasi secara bebas di sini memandangkan tempatnya luas berbanding dengan pejabatnya yang berada di tempat yang sibuk di Jalan Ampang. Namun ternyata, tunjuk perasaan pekerja di hadapan pejabatnya di Jalan Ampang sememangnya telah meninggalkan satu impak yang membuahkan kejayaan sehingga mesyuarat diadakan pada hari tersebut.

Mesyuarat tersebut diselaraskan dengan bagus sekali oleh Musa Hitam di mana beliau mendengar segala yang diceritakan oleh wakil penduduk malah menegur orangnya sendiri termasuk TSKI. Pada masa itu, Khalid bergelar Datuk dan sebagai CEO Guthrie, dia memang sangat marah apabila kami menuduh Guthrie sebagai maha pembuli. TSKI mula berkata bahawa pemegang saham Guthrie ialah petani-petani dan nelayan-nelayan miskin, maka apabila kita membuat tuntutan, sememangnya kita rompak daripada orang miskin. Komen Khalid ini telah membuat kami semua ketawa besar. Kita semua tahu siapa Guthrie dan kepentingan siapa yang diwakili mereka. Inilah perwatakan TSKI yang saya kenali pada awal pertembungan ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Musa Hitam ini berakhir dengan Guthrie bersetuju untuk membina rumah alternatif bagi pekerja ladang di kawasan berhampiran. Sepanjang mesyuarat tersebut, TSKI langsung tidak setuju dengan keuntungan syarikat Guthrie digunakan untuk membina perumahan bagi pekerja ladang.

Kampung Berembang

Kampung Berembang mungkin titik peralihan hubungan TSKI dengan kami dari lawan menjadi kawan. Peralihan posisi ini anehnya berlaku kerana satu lagi operasi perobohan rumah rakyat miskin di Kampung Berembang.

Antara tahun 2006 dan 2007, satu pertikaian tanah dan pertempuran besar berlaku di Kampung Berembang yang terletak di Ampang. Kampung Berembang menarik perhatian umum apabila pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan bantuan polis dan RELA melancarkan operasi merobohkan rumah di kampung itu pada 17 November 2006, dan kerja-kerja perobohan itu diteruskan juga pada 20 dan 30 November tahun yang sama. Ramai aktivis yang mempertahankan rumah-rumah dan surau di Kampung Berembang turut ditahan, termasuk saya sendiri.

Pemaju dalam projek ini mempunyai hubungan kuat dengan UMNO dan Menteri Besar Selangor pada masa itu, Khir Toyo, mengarahkan rumah-rumah di kampung ini dirobohkan walaupun Perdana Menteri pada masa itu, Abdullah Ahmad Badawi, merayu untuk perobohan itu ditangguhkan. Ini adalah penderhakaan besar UMNO terhadap rakyat Melayu miskin.

Setelah kami ditahan polis, kami dimaklumkan bahawa Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada masa itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, akan menanggung semua kos ikat jamin. Beliau juga menghulurkan bantuan kepada rakyat peneroka bandar di situ dengan bantuan khemah dan sebagainya. Maka inilah titik perubahan. TSKI yang biasa berada bersama pihak yang merobohkan rumah kini pula berdiri bersama kami – pihak yang menjadi mangsa perobohan rumah.

Peneroka Kampung Berembang dapat rumah percuma semasa TSKI jadi Menteri Besar Selangor

Salah satu daripada kejayaan besar perjuangan Kampung Berembang adalah apabila peneroka bandar di situ berjaya mendapat rumah percma. Mereka memiliki pangsapuri di kawasan yang nilai tanah yang begitu tinggi pada masa itu. Setiap pangsapuri kos rendah mereka itu boleh dijual dengan senangnya untuk harga lebih RM350,000 pada masa itu kerana nilai tanahnya yang tinggi. Namun pada awalnya, pihak pemaju begitu perlahan dalam membina perumahan alternatif ini. Penduduk pula masih menetap di khemah dan rumah usang yang dibina balik setelah diroboh. Maka wujudnya satu perasaan konspirasi bahawa tiada kewibawaan politik untuk membina rumah untuk peneroka Kampung Berembang.

Kini pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor berada dalam tangan Pakatan Rakyat, di mana Menteri Besarnya ialah TSKI. TSKI pula membantah perobohan rumah di Kampung Berembang pada masa itu. Kelewatan pembinaan rumah ini mendorong kami membuat satu aksi. Penduduk Kampung Berembang berasa amat tidak puas hati dan kecewa dengan kelewatan itu. Satu mesyuarat telah diadakan di Bangunan SUK Selangor untuk menangani isu ini, di mana turut hadir ialah pemaju projek, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ahli Exco Kerajaan Negeri Tuan Iskandar Abdul Samad, Ahli-ahli Jawatankuasa Kampung Berembang dan saya sendiri.

Kami menunggu agak lama di ruang tamu untuk mesyuarat penting ini. Ada banyak reaksi orang keluar masuk bilik mesyuarat. Suasana tegang sepanjang masa. Ada juga ura-ura bahawa Menteri Besar TSKI sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini.

Akhinya, isu Kampung Berembang dipanggil untuk dibincang, dan kami dijemput masuk ke dalam bilik yang agak kecil dan sempit. Dalam ruang kecil itu, saya ternampak Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid memakai baju putih dengan lengan panjangnya dilipat sehingga siku. Beliau kelihatan amat letih dengan peluh menyelubungi mukanya. Beliau juga membaca dokumen-dokumen yang ada di hadapannya.

Pada masa itu, saya mahu bercakap dan mula bersuara, tetapi dia memberi isyarat untuk saya berdiam dan berkata dia nak cakap dulu. Dengan begitu tegas dia bertanya soalan bertubi-tubi kepada pemaju – berapa orang pekerja yang kamu ada? Apa alatan yang kamu ada? Projek sekarang di peringkat mana dan bila projek ini akan siap? Semua pakar dan jurutera Majlis Perbandaran berdiam sahaja. Pemaju pula betungkus lumus memberi jawapan tetapi akhirnya Menteri Besar TSKI berkata, “Dengan apa yang kamu cakap, saya tahu projek ini tidak boleh siap dalam masa yang kamu katakan. Don’t lie to me. I know this job.” Pemaju terkejut dan akhirnya mengalah. TSKI mengingatkan pemaju bahawa beliau sendirinya juga pernah menjadi pemaju dahulu dan tahu selok-belok isu yang dibincang. Pemaju akur dan TSKI memberikan dia lebih banyak masa untuk menyiapkan projek dan memberikan amaran bahawa perumahan kos rendah kena siap dahulu dan semua kerja lain kena dihentikan sehingga isu perumahan ini selesai. Menteri Besar meminta dia fokus dan juga memberikan amaran tegas bahawa semua projek lain pemaju ini harus ditangguhkan jika dia tidak mahu serius dalam pembinaan pangsapuri kos rendah ini.

Selepas Menteri Besar bertanya semua soalan yang relevan, dia tanya pula kepada penjawat awam, “Adakah kamu ada apa-apa komen atau persoalan?” Mereka semua berdiam diri sahaja dan Menteri Besar berkata, “so semua buat bodoh sahaja ye?”

Pada ketika itu, Pengerusi Kampung Berembang, Saudara Noralizan, mencelah dan berkata, “Jika projek ini lambat lagi, kami nak berkhemah di tapak projek.” Pada masa itu, TSKI berkata, “Jangan risau, jika projek itu lambat lagi, saya akan minta Exco Iskandar duduk bersama anda di dalam khemah itu.”

Akhirnya, TSKI pandang dan tanya saya pulak, “So Arul do you have anything to say?

I was speechless. Saya juga bisu sahaja dan kagum kerana saya ingatkan Kerajaan Negeri akan berlembut dengan pemaju tetapi gayanya tidak. Beliau tanya semua soalan dan tegas kendalikan mesyuarat itu secara efisien dan berkesan.

Pelancaran Perumahan Berembang Indah

Akhirnya pada bulan Februari 2009, 68 buah keluarga Kampung Berembang mendapat rumah sendiri di Berembang Indah. Selepas bertahun-tahun hidup sebagai setinggan dan melalui ranjau suka duka kehidupan, akhirnya 68 buah keluarga Kampung Berembang di Ampang akan memiliki rumah sendiri. Saya pernah pergi ke banyak majlis perasmian projek. Biasanya upacara penuh mewah dan hanya ada ucapan-ucapan sahaja. Namun, perasmian kali ini berbeza sedikit, kerana semasa ucapan perasmiannya, TSKI berhenti dan mula bertanya beberapa soalan lagi kepada pemaju oleh sebab beliau dengar sedikit keluhan daripada peneroka bandar di situ. Maka ucapan perasmian bertukar pula menjadi dialog. Dia kemudian terus bertanya kepada peneroka apa aduan mereka dan terus meminta pemaju dan pegawai Majlis Perbandaran untuk menjawabnya. TSKI juga berkata, “Jangan ingat saya akan saja datang dan rasmikan projek. Isu masalah rakyat kena diselesaikan dalulu.”

Jadi, inilah pengalaman saya melihat TSKI sebagai seorang Menteri Besar yang berbeza DNAnya berbanding dengan Menteri-menteri Besar sebelumnya.

Noralizan, Pengerusi Kampung Berembang, berkata. “Inilah Menteri Besar sebenarnya kerana dia dengar pandangan kami dari mula sehingga akhir, dan hari ini kami duduk di rumah milik kami sendiri.”

JERIT – Rakyat Pengayuh Perubahan

Pasca Pilihan Raya Umum 2008, Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di 5 buah negeri dan tiada lagi majoriti 2/3 di Parlimen. Pada masa itu, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) hendak melancarkan kempen yang membawa isu rakyat ke dalam arena politik perdana negara. Pada ketika itu, ada cadangan supaya meminta sokongan daripada Lerajaan Negeri Selangor. Kempen Basikal JERIT “Rakyat Pengayuh Perubahan” ialah satu inisiatif JERIT yang akan berbasikal ke seluruh negara, melalui pekan-pekan dan bandar-bandar utama dengan membawa mesej kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Antaranya ialah isu kenaikan harga minyak, penggunaan akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas rakyat, isu global seperti alam sekitar dan krisis makanan yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia.

Untuk mendapat sokongan kepada inisiatif ini, kami pergi berjumpa dengan TSKI di bangunan SUK. Pada masa itu, di tengah-tengah satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), ada pelbagai delegasi menunggu untuk berjumpa dengan TSKI dan kami ialah antara kumpulan-kumpulan ini, di mana kami kesemuanya berpakaian baju kemeja-T dan bersahaja manakala semua kumpulan lain datang dengan pakaian bertali leher dan sut penuh. Pada ketika itu juga, Ronnie Liu membawa satu delegasi dari luar negara, tetapi apabila Khalid melihat team kami, dia terus meninggalkan kumpulan-kumpulan lain dan terus datang dan duduk bersama untuk berbincang dengan kami. Dia berkata, orang lain boleh tunggu kerana kebanyakan mereka hanya mahukan duit dan kontrak daripadanya tetapi kami pula dia tahu dari dulu lagi memang memperjuangkan isu rakyat tertindas, maka dia amat berminat mendengar cadangan kami dan bersetuju untuk merasmikan Kempen Basikal JERIT di Selangor.

Jadi, pada 29 November 2008, di perkarangan Stadium Melawati, Menteri Besar Selangor pada masa itu Khalid Ibrahim telah menyatakan sokongan penuh dan melancarkan kempen basikal JERIT “Rakyat Pengayuh Perubahan”.

Dalam ucapan pelancarannya, Khalid telah mengatakan bahawa beliau begitu berbangga dalam melancarkan program Kempen Basikal ini. Beliau juga telah menyatakan bahawa perlunya gerakan seperti JERIT untuk mengingatkan tanggungjawab Kerajaan Pakatan Rakyat. Tambah Khalid Ibrahim, tuntutan JERIT adalah selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk merakyatkan ekonomi negeri Selangor dan beliau memberi sokongan penuh kepada kempen JERIT. Setelah ucapan pelancaran, beliau telah memotong reben belon dan seterusnya melancarkan Kempen Basikal JERIT, diikuti dengan laungan slogan “Hidup Rakyat! Hidup Perjuangan!”.

Membantu keluarga mangsa ISA

Satu lagi persepsi adalah TSKI sering dikatakan kedekut dalam perbelanjaan, tetapi dalam isu membela keluarga mangsa tahanan ISA, beliau memang amat prihatin dan memberikan sokongan yang kritikal kepada keluarga mangsa. Semasa kami dalam Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), beliau juga telah membuka satu tabung khas untuk GMI.

Selangor menjadi antara Kerajaan Negeri pertama yang membantu keluarga tahanan ISA secara terbuka. Semua tahanan pada masa itu dikurung di Kem Tahanan Kamunting, Perak. Bantuan kewangan ini diberikan setelah kami mengadakan satu mesyuarat dengan TSKI dan beliau mengumumkan bantuan tersebut di DUN secara terbuka.

Bantuan yang diberikan tersebut termasuklah untuk menampung kos berulang-alik melawat tahanan, biasiswa pendidikan kepada anak-anak dan mencari peluang pekerjaan kepada anggota keluarga tahanan.

Khalid berkata bahawa langkah GMI sejajar dengan pendirian Kerajaan Negeri Selangor untuk memansuhkan ISA dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Penstrukturan semula Air Selangor

Bagi saya, salah satu daripada legasi terpenting TSKI ialah penstrukturan semula Air Selangor.  Langkah melawan konsesi ini dijalankan bukan melalui cara Guthrie Dawn Raid pada 7 September 1981 di tengah malam atau melalui rundingan sulit seperti di Hotel Sheraton. Tetapi Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid membuat satu kempen besar, menggembleng kuasa rakyat dan menghantar memorandum ke Istana Negara untuk mendesak supaya aset awam itu dikembalikan kepada rakyat Selangor.

Memorandum itu diserahkan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman, di perkarangan Istana pada kira-kira pukul 2.15 petang pada 5 Disember 2010. Dalam memorandum tersebut, Menteri Besar TSKI berkata memohon pada Yang di-Pertuan Agong pada masa itu Tuanku Mizan untuk menitahkan hak air, yang pada masa itu dikendalikan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Hari itu ialah satu hari yang amat bermakna. Pada hari tersebut juga, 15 ribu orang berdemonstrasi. Mereka diserang dengan gas pemedih mata. Lebih kurang 50 orang ditahan, termasuk Dr. Nasir, Sivarajan dan saya. Pasukan Simpnanan Persekutuan (FRU) pada awalnya menghalang orang ramai, tetapi tindakan TSKI akhirnya berjaya.

Kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan empat buah syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air yang bermula sejak 2008 itu, akhirnya membolehkan semua aset air dikembalikan kepada rakyat.

“Dulu saya hanya lihat FFB, sekarang saya lihat manusia”

Saya akhiri catatan peribadi saya ini dengan satu mesyuarat meja bulat di Bangunan SUK mengenai isu pekerja ladang Selangor. Forum meja bulat itu dianjurkan oleh Exco Perladangan pada masa itu, Xavier, dan TSKI dijemput untuk merasmikannya.

TSKI melihat kepada tetamu, dan apabila dia ternampak saya dan Dr. Nasir, dia tersenyum dan ketawa. Dia mulakan ucapan dengan berkata, dia memang disediakan satu teks untuk dibaca tetapi dia tidak mahu membacanya kerana nak bercakap tentang isu sektor ladang, isunya terlalu peribadi di hatinya. Beliau berkata dalam ucapannya, “Sebelum ini saya tidak faham apabila Dr Nasir dan Arul semuanya memperjuangkan isu pekerja ladang. Pada masa itu, bagi saya apa yang penting adalah berapa banyak FFB (fresh fruit branches) masuk ke dalam lori tetapi setelah saya menjadi Menteri Besar, saya mula melihat dan memikirkan perkara lain yang sebelum ini saya tidak peduli seperti apakah pekerja itu makan, kebajikan mereka, tempat tinggal tempat dan sebagainya.” “Saya sudah berubah. Dalam diri saya pun, saya mula melihat aspek kemanusiaan yang dilalui rakyat. Saya pun ada unsur-unsur sosialis dalam diri saya,” beliau bergurau

Rumusan

Itulah sedikit catatan peribadi bagaimana Khalid Ibrahim yang pada awalnya lawan kami akhirnya menjadi kawan kami. Beliau digulingkan oleh Langkah Kajang yang kejam. Beliau dikatakan bukan seorang ahli politik yang berjaya. Beliau dikatakan tidak pandai berceramah. Namun beliau berdiri tinggi kerana caranya yang berbeza dan ketegasan beliau mengendalikan isu dengan cara yang berbeza.

Beliau meninggalkan satu cara kerja dan legasi yang berbeza.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published.