20190620 - 62070034_2722106717861402_4343603497069969408_n.png

Cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan projek penambakan laut di bahagian selatan Pulau Pinang yang bakal mewujudkan 3 buah pulau buatan manusia telah dibantah oleh masyarakat sivil dengan kebimbangan bahawa ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada kehidupan penduduk setempat dan alam sekitar.

Projek penambakan laut di selatan Pulau Pinang melibatkan tebusguna kawasan laut seluas 4,500 ekar, di sepanjang pesisir pantai Permatang Damar Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul. Projek ini dikatakan akan menambahkan simpanan tanah untuk negeri Pulau Pinang, di mana lot tanah di atas pulau buatan manusia baru itu akan dijual untuk menjana dana yang dapat digunakan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dikatakan akan memakan belanja sebanyak RM 46 bilion secara keseluruhannya.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dikemukakan selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima kajian strategi perunding pakar Halcrow pada tahun 2013. Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuka permintaan cadangan (RFP) kepada pihak swasta untuk mengemukakan cadangan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan. Sebuah syarikat yang digelar SRS Consortium yang ditubuhkan khas untuk mendapatkan projek ini di samping merancang untuk melakukan penambakan laut di selatan Pulau Pinang, telah dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang pada tahun 2015. SRS Consortium telah mengolah semula Pelan Induk Pengangkutan bersesuaian dengan kepentingannya dalam projek penambakan laut dan pembangunan hartanah. SRS Consortium merupakan satu usahasama yang terdiri daripada syarikat pembinaan infrastruktur Gamuda Bhd (memegang 60% saham) dengan dua buah syarikat pemaju hartanah yang masing-masing menguasai 20% saham dalam syarikat consortium itu, iaitu Ideal Property Development Sdn Bhd dan Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd. SRS Consortium yang dibentuk oleh syarikat-syarikat yang bermotifkan keuntungan ini bersedia melaksanakan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan penambakan laut di Selatan Pulau Pinang bukannya atas sebab melakukan kerja amal, tetapi untuk keuntungan mereka sendiri dengan kosnya akan ditanggung oleh rakyat.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dalam versi yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekang ini sudahpun mempunyai pelbagai isu yang kontroversi, termasuk pembinaan Lebuhraya PIL (Pan-Island Link) yang akan menembusi kawasan bukit di tengah pulau dan hanya memburukkan masalah kebergantungan terhadap kenderaan persendirian. Malah, projek penambakan laut di selatan Pulau Pinang yang dikatakan akan digunakan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan turut mengundang kemudaratan yang akan memberi impak mendalam kepada rakyat setempat dan alam sekitar.

20190620 - 62616606_2734217446650329_7935362111297814528_n.jpg

Kesan buruk penambakan laut

Penambakan laut akan mendatangkan kesan yang negatif kepada sistem ekologi dan kehidupan rakyat setempat di kawasan pesisir laut, antaranya:

  • Kehilangan ekosistem persisiran pantai seperti hutan paya bakau, terumbu karang, rumput laut dan dataran lumpur. Ekosistem seperti hutan paya bakau berperanan sebagai penampan semula jadi yang melindungi kawasan persisiran pantai daripada limpahan banjir dan hakisan ombak.
  • Menjejaskan komposisi kepelbagaian biologi.
  • Mengganggu rantai makanan yang menjejaskan keseimbangan ekosistem.
  • Meningkatkan pemendakan dan kekeruhan yang akan menyebabkan kesukaran untuk organisma bentik menyerap cahaya matahari bagi tujuan fotosintesis.
  • Pencemaran air di persisiran pantai akibat daripada pengorekan yang menghasilkan ampaian bahan organik, logam berat dan bahan pencemar lain.
  • Mengakibatkan perubahan kepada sistem air bawah tanah di kawasan yang berkenaan sehingga memberi kesan kepada kawasan pertanian berhampiran (nilai pH atau kemasinan tanah berubah sehingga tidak sesuai untuk pertumbuhan tanaman).
  • Melenyapkan sumber marin apabila ekologi di perairan pesisir laut yang ditambak itu dirosakkan.
  • Akses nelayan dan masyarakat persisiran pantai kepada sumber pantai dan marin akan dirampas.
  • Menjejaskan rezeki nelayan akibat kehilangan kawasan menangkap ikan dan habitat marin.
  • Menjejaskan kualiti hidup penduduk di persisiran pantai.

Kerajaan asyik berkata bahawa projek penambakan laut diperlukan untuk pembangunan. Memang rakyat memerlukan pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan kita, namun adakah pembangunan yang berpandukan kepentingan pemaju hartanah sekarang ini memberikan manfaat sebenar kepada rakyat?

20190620 - 60338434_2669824973089577_3544217913286197248_n.png

Masyarakat sivil tolak projek penambakan

Masyarakat sivil di Pulau Pinang telah melancarkan satu kempen petisyen online untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan untuk menambak laut dan mewujudkan 3 buah pulau di Selatan Pulau Pinang.

Masyarakat sivil telah membangkitkan masalah kekurangan rundingan awam dan maklumat lengkap mengenai projek penambakan ini.

Masyarakat sivil telah menyenaraikan sebab-sebab kita perlu menolak projek mega penambakan di Selatan Pulau Pinang, antaranya:

  1. Projek penambakan ini akan memusnahkan kawasan persisiran pantai yang terkaya dengan sumber perikanan di Pulau Pinang. Sumber perikanan pantai merupakan jaminan keselamatan makanan kita, di samping membekalkan keperluan tempatan serta industri makanan dan pelancongan Pulau Pinang. Sekiranya kawasan pesisir laut ini dimusnahkan, harga makanan laut akan melambung naik, dan melangkaui kemampuan penduduk Pulau Pinang.
  2. Kehidupan nelayan pantai sejumlah 4,817 orang sedang dipertaruhkan. Nelayan-nelayan ini telah menyuarakan bantahan mereka. Pengalaman daripada nelayan-nelayan yang terjejas oleh projek penambakan di kawasan pantai utara Pulau Pinang untuk projek STP2 menunjukkan bahawa mereka tidak dilindungi dengan baik oleh Kerajaan Pulau Pinang walaupun diberikan jaminan.
  3. Kesan perlombongan pasir yang digunakan untuk projek penambakan akan turut dirasai di Perak. Dasar laut (zon bentik) akan dikorek dan dimusnahkan.
  4. Kawasan pantai yang sedia ada di Selatan Pulau Pinang akan habis dimusnahkan. Alam sekitar pantai Permatang Damar Laut, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar akan dirosakkan akibat penambakan dan pencemaran.
  5. Habitat pantai dan hidupan bawah air akan musnah. Tempat pembiakan Penyu Lipas (Olive Ridley Turtle) yang merupakan spesies terancam dan kawasan aktiviti ikan lumba-lumba akan tergugat.
  6. Projek penambakan tidak mempedulikan alam sekitar yang sedang menghadapi krisis iklim. Projek penambakan laut ini akan menjana tambahan 3.2 juta tan pelepasan karbon tahunan.
  7. Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang terlampau mahal dengan harga setinggi RM46 bilion tidak patut dijadikan alasan untuk menjustifikasikan penambakan laut. Pelan Induk Pengangkutan perlu dikaji semula kerana versi terkininya tidak membawa penyelesaian yang bersepadu untuk masalah pengangkutan di Pulau Pinang dan tidak berdaya maju.
  8. Alasan bahawa kekurangan tanah di negeri Pulau Pinang hanya sekadar dalih untuk menambak laut. Isu pokoknya ialah kepincangan dalam perancangan. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memiliki 4,500 ekar tanah di Seberang Perai dan boleh digunakan secara optimum dan tidak memerlukan lagi tambahan 4,500 ekar tanah melalui penambakan laut.
  9. Kerajaan Pulau Pinang tidak telus dalam menyampaikan maklumat mengenai projek ini.
  10. Kekurangan ketelusan dalam proses perancangan dan pengurusan menimbulkan persoalan bahawa wujudnya agenda tersirat manipulasi harga tanah, spekulasi dan pembiayaan politik yang tidak diisytiharkan.
  11. Pembangunan spekulatif ini berdasarkan kegelojohan pemaju, bukannya keperluan rakyat. Walaupun gejala bangunan kondominium kosong menjadi-jadi, masalah hartanah lebihan agak serius, dan projek penambakan pantai utara sedang berjalan (dengan keluasan hampir 900 ekar), Kerajaan Negeri masih mahu menambak 3 pulau (seluas 4,500 ekar). Ini sudah tentu akan memburukkan lagi masalah lebihan hartanah (tetapi tidak mampu dibeli atau diduduki oleh rakyat biasa) di negeri Pulau Pinang.
  12. Penambakan pulau akan membebankan Kerajaan Negeri dengan kos penyelenggaraan yang akhirnya akan ditanggung oleh rakyat juga.
  13. Malaysia tidak memerlukan satu lagi “Forest City”. Ramalan penduduk di 3 pulau yang ditambak ialah 446,300 orang, tetapi siapakah penghuninya? Dengan hanya 6-20% tanah perumahan dalam kategori “mampu milik”, adakah sebahagian besar hartanah disasarkan kepada pembeli warga asing? Adakah pembangunan ini akan meningkatkan jurang ketidaksamaan sosial?
  14. Kerajaan Negeri perlu menjaga penduduk setempat, bukan pembeli hartanah masa depan yang dibayangkan.
  15. Projek penambakan ini membawa risiko kewangan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hanya mempunyai hasil tahunan sekitar RM 1 bilion. Kerajaan Negeri sedang cuba mendapatkan pinjaman RM 1 bilion untuk memulakan kerja tebus guna tanah melalui penambakan yang bernilai RM 16 bilion. Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal terjerat dalam perangkap hutang berbilion-bilion ringgit.
  16. Adanya alternatif yang lebih baik, murah, cepat dan memberi manfaat sebenar kepada majoriti penduduk Pulau Pinang dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam dan menyelesaikan masalah mobiliti di negeri Pulau Pinang. Rakyat Pulau Pinang tidak memerlukan penambakan laut yang memudaratkan kehidupan rakyat setempat dan alam sekitar untuk membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan yang tidak mampan.

Projek penambakan di Selatan Pulau Pinang akan mempertaruhkan terlalu banyak kepentingan awam dan masa depan rakyat, tetapi tidak menjamin manfaat yang lestari. Generasi akan datang bakal menanggung segala beban hutang dan kesan buruk daripada projek ini.

Tibanya masa untuk kita merenung dan menilai semula model pembangunan kita yang hanya mementingkan keuntungan pemaju hartanah. Kita perlukan pembangunan yang menjamin keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar. Kita mempunyai tanggungjawab untuk mewariskan bumi kita yang berada dalam keadaan yang lebih baik kepada generasi akan datang.

Selamatkan alam sekitar kita! Selamatkan pantai kita! Selamatkan laut kita! Selamatkan kehidupan nelayan kita!

Tandatangani petisyen “Selamatkan Pulau Pinang! Tolak Tambak 3 Pulau!” di sini.

5 thoughts on “Pulau Pinang: Tambak Laut untuk siapa?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *