Walaupun menghadapi serangan bertubi-tubi daripada rejim pemerintahan Recep Tayyip Erdoğan di Turki yang semakin autoritarian, Parti Demokratik Rakyat (HDP) tetap berpendirian teguh dalam memperjuangkan agenda politik alternatif yang progresif dan dasar “penyelesaian kepada masalah-masalah asas Turki”. Keazaman HDP ini jelas ditunjukkan dalam kongresnya yang berjaya diadakan baru-baru ini.
Kongres ke-5 HDP telah diadakan di Ankara, Turki, pada 3 Julai 2022. Kongres yang dianjurkan dengan tema “Kita ialah solusi, kita adanya janji!” ini telah dihadiri oleh lebih 30,000 orang peserta dan lebih 100 orang jemputan antarabangsa. Stadium di mana Kongres HDP ini diadakan telah dihiasi dengan sepanduk-sepanduk yang tertulis slogan seperti “pakatan demokrasi akan menang”, “akhbar yang bebas tidak boleh didiamkan”, “keamanan dan penyelesaian, bukannya peperangan dan pengasingan”, “bukannya sebuah rejim monistik, tetapi sebuah republik demokratik”, “penyelesaian demokratik untuk persoalan Kurdi”, “bukannya kelaparan dan kemiskinan, tetapi pengagihan yang sama rata” dan “kita tidak akan lepaskan Konvensyen Istanbul”. (Nota: Konvensyen Istanbul ialah sebuah perjanjian hak asasi manusia Majlis Eropah mengenai usaha mencegah dan memerangi keganasan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga, di mana Turki merupakan salah sebuah negara yang paling awal menandatanganinya pada tahun 2011 tetapi menarik diri pada tahun 2021.)
HDP pada masa kini merupakan parti yang ketiga besar dalam Parlimen Turki dengan sokongan pengundi lebih kurang 6 juta orang. Namun, HDP telah menghadapi penindasan secara sistematik daripada rejim pemerintahan Erdoğan sejak tahun 2016. Lebih 15,000 orang ahli HDP pernah ditahan atas pelbagai pertuduhan yang direka-rekakan, dan lebih 4,000 orang daripada mereka ini masih berada di dalam penjara, termasuklah ahli-ahli parlimen dan datuk-datuk bandar yang dipilih secara demokratik. Kerajaan Turki juga sedang berusaha untuk mengharamkan HDP sebelum pilihan raya umum akan datang. Selain dalam proses menuntut pembubaran HDP, pihak berkuasa Turki juga hendak mengharamkan 451 orang ahli politik HDP daripada mengambil bahagian dalam politik dan menyita aset-aset milik HDP. Kes mahkamah untuk menuntut pengharaman HDP mungkin akan mencapai kata putus pada musim luruh tahun ini. Jadi, ini mungkin kongres yang terakhir untuk HDP sekiranya HDP diharamkan oleh kerajaan Turki tidak lama lagi.
Kongres HDP ini berlangsung pada saat yang kritikal, kerana rejim Erdoğan sedang mengancam untuk meningkatkan usaha perangnya ke atas masyarakat Kurdi di dalam negara Turki, dan di Kurdistan Selatan (yang terletak di Utara Iraq) setrta Rojava (di Bahagian Utara dan Timur Syria). Tindakan agresif daripada rejim Erdoğan yang reaksioner dan ultra-nasionalis itu membawa ancaman besar kepada keamanan serantau dan mewujudkan risiko pengembalian ancaman keganasan daripada puak fundamentalis seperti ISIS.
“HDP tidak tunduk kepada sesiapa pun”
Pervin Buldan, salah seorang Pengerusi Bersama HDP, berkata semasa ucapannya dalam Kongres HDP, bahawa HDP tidak akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain jika matlamat utama parti-parti itu hanya untuk menang dalam pilihan raya yang akan datang. “Pilihan raya yang akan datang bukannya tentang memilih presiden dan perdana menteri. Ia adalah mengenai membina sebuah susunan demokratik dan egalitarian yang baharu di Turki. HDP ialah kuasa penggerak utama di sebalik pilihan raya dan proses maju ke hadapan ini,” begitu katanya Pervin Buldan.
“HDP tidak akan menjadi jambatan kepada mana-mana pengiraan politik yang dibuat semata-mata untuk menyeberangi sungai. Kami berkata, ‘Adanya satu lagi jalan’,” tegas kata Pervin Buldan. “Jalan itu ialah jalan ketiga yang dipertahankan oleh HDP dengan tegas. Dan ini ialah pakatan demokratik yang kami akan bergerak ke hadapan bersama dengan semua kuasa-kuasa demokratik di Turki.”
HDP berazam untuk membawa perwakilan politik dan sosial yang progresif ke dalam Parlimen Turki dengan penglibatan masyarakat yang paling meluas. “Pertama sekali, kami akan mewujudkan sebuah perlembagaan yang pluralis dan demokratik untuk menjamin hak semua rakyat, identiti, kewarganegaraan yang sama rata, kesaksamaan dan kebebasan wanita, bersama-sama dengan pakatan demokrasi,” ulas Pervin Buldan.
“Kami tidak pernah melutut di hadapan sesiapa. Kami tidak pernah tunduk kepada sesiapa dan kami berjanji di hadapan anda bahawa kami tidak akan tunduk kepada sesiapa pun mulai sekarang… Rantau Timur Tengah dan Syria tidak akan dibentuk oleh permusuhan anda terhadap masyarakat Kurdi, tetapi oleh kehendak warga Kurdi yang mendukung kewujudan bersama, dan melalui pakatan demokratik yang dibentuknya dengan rakyat yang hidup bersama-sama.”
Mithat Sancar, seorang lagi Pengerusi Bersama HDP, berkata, “Adalah menakutkan dan membimbangkan mereka, kerana hakikat bahawa kami ialah alternatif yang paling kuat kepada rejim autoritarian mereka. Inilah kenapa mereka serang kami dengan semua kekuatan mereka. Mereka ingat mereka akan memusnahkan kami. Namun mereka tidak akan berjaya.”
“Kami memberi amaran kepada kerajaan AKP: jangan mempermainkan pengasingan Abdullah Öcalan (pemimpin Parti Pekerja Kurdistan yang ditangkap oleh badan perisikan Turki dengan bantuan CIA pada tahun 1999 dan ditahan di dalam penjara Turki sejak itu). Jangan mempergunakan isu sensitif sebegini untuk matlamat kekuasaan kamu. Jangan bercakap bagi pihak tahan di penjara İmralı. Jangan mengelirukan orang awam atau mencipta agenda palsu. Biar orang awam tahu apa yang difikirkan oleh Öcalan.”
“Pendirian kami mengenai pilihan raya presiden adalah jelas. Kami terbuka kepada rundingan dan idea untuk calon bersama, sekiranya rundingan diadakan secara telus di hadapan khalayak umum,” kata Mithat Sancar.
Kedua-dua Pervin Buldan dan Mithat Sancar telah dipilih semula sebagai Pengerusi Bersama HDP dalam Kongres kali ini.
Mesej perjuangan dari penjara
Selain menerima mesej solidariti daripada wakil-wakil organisasi di peringkat antarabangsa, Kongres HDP juga menerima mesej daripada pemimpin-pemimpin HDP yang masih berada di dalam penjara.
Dalam surat yang ditulis secara bersama oleh Selahattin Demirtaş (mantan Pengerusi Bersama HDP) dan Adnan Selçuk Mızraklı (bekas Datuk Bandar Diyarbakır), di mana kedua-dua mereka ini ditahan di dalam sel penjara yang sama, mereka berkata, “Kami memberi hormat kepada pengerusi-pengerusi kongres, semua peserta dan semua orang yang kami kasihi dengan penuh keikhlasan. Parti Demokratik Rakyat yang berjaya berdiri tegak walaupun menghadapi segala tekanan yang tidak mematuhi undang-undang dan tidak beretika, akan terus bergerak ke hadapan, dan lebih kuat lagi sebenarnya, bersama-sama dengan kongres ini. Sesiapa yang mengabaikan kehendak, akal, naluri dan semangat penentangan rakyat kita telah tersilap, dan ia akan tiada bezanya pada masa akan datang. Dari sel penjara kami, kami akan terus menggema perjuangan yang dibawa oleh rakyat kita. Kami tidak akan mengaku kalah, tunduk ataupun dikalahkan. Kami akan terus menentang sehingga pemerintahan yang menindas itu diatasi, dan keamanan serta kebebasan dipulihkan. Kami berazam untuk menang dalam perjuangan ini, berdiri secara berganding tangan dengan parti kami dan rakyat kita.”
Leyla Güven, seorang tahanan politik yang ditangkap semasa menjadi ahli parlimen HDP dan juga merupakan Pengerusi Bersama Kongres Masyarakat Demokratik (DTK), menghantar mesej dari sel penjaranya, “Marilah kita meneruskan perjalanan kita sehingga kita mencapai tahap di mana tiada lagi kemiskinan, penindasan, kezaliman atau huru-hara… Harapan adalah lebih bernilai berbanding kemenangan. Marilah kita kekalkan harapan.”
Satu lagi surat daripada tahanan politik seperti Sebahat Tuncel (bekas ahli parlimen HDP dan bekas Pengerusi Bersama Parti Wilayah Demokratik), Ayla Akat Ata (bekas ahli parlimen Parti Keamanan dan Demokrasi), Zeynep Karaman, Aynur Aşan, Zeynep Ölbeci, Pervin Oduncu, Meryem Adıbelli, Dilek Yağlı dan Ayşe Yağcı, berbunyi begini, “Walaupun kami berada di dalam penjara, kami meneruskan perjuangan kami untuk kesaksamaan, kebebasan, demokrasi, keamanan dan pembebasan wanita. Kami percaya bahawa kita akan mengubah susunan penindasan ini melalui perjuangan. Kami akan melakukannya di dalam penjara dan anda akan melakukannya di luar.”