oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

1. Memperkasakan sistem kesihatan awam

  • Membina lebih banyak hospital kerajaan di bandar-bandar besar di Malaysia yang mengalami keadaan sesak di hospital kerajaan yang sedia ada.
  • Menambah lebih ramai kakitangan kesihatan – doktor, jururawat, jurufisioterapi dan sebagainya.
  • Mewujudkan pos jururawat komuniti untuk melawat kes sakit lumpuh dan kanak-kanak OKU di rumah untuk mencuci luka, membuat fisioterapi, menasihat keluarga tentang bagaimana menjaga pesakit, dan sebagainya.

2. Melibatkan 7,000 orang doktor pengamal perubatan am (GP) yang sedia ada di Malaysia dalam pengendalian kes-kes kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan asma. Ini adalah penyakit jangka masa panjang dan memerlukan rawatan susulan yang rapi untuk mengurangkan komplikasi. Sistem bayaran “capitation” (ikut bilangan orang) harus diamalkan supaya rawatan diterima oleh para pesakit di klinik GP adalah percuma (seperti sistem NHS di England), dan pendidikan kesihatan diutamakan.

3. Sebahagian daripada levi pekerja migran harus disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk membiayai kos rawatan bagi pekerja migran. Caj rawatan yang dikenakan terhadap pekerja migran di klinik dan hospital kerajaan harus berada pada paras yang sama dengan caj yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia.

4. 90% kos plat, skru, sten, kanta mata dan sebagainya harus ditanggung oleh kerajaan supaya rakyat tidak dibebani dengan bayaran yang tinggi untuk rawatan.

5. Mengawal brain drain (penghijrahan doktor ke sektor swasta) dengan cara:

  • Mengadakan moratorium terhadap pembukaan hospital swasta baharu. Hospital swasta yang sedia ada boleh dibenarkan untuk terus beroperasi. Tetapi jangan membenarkan pembinaan hospital swasta baharu buat masa ini.
  • Mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Khusus untuk kakitangan kesihatan supaya sistem penggajian dapat diperbaiki.
  • Memperkenalkan sistem sabatikal selama 3 bulan setiap 4 tahun perkhidmatan bagi doktor pakar kerajaan.

6. Menambahkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan. Untuk tahun 2021, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan ialah RM32 bilion. Jumlah ini harus ditambah lagi RM6 bilion setiap tahun untuk 5 tahun yang akan datang – 38 bilion à 44 bilion à 50 bilion à 56 bilion à 62 – supaya dapat membiayai program-program yang disyorkan di atas.

7. Jangan mengenakan cukai baharu terhadap golongan B40 dan M40 ataupun mewajibkan bayaran premium insurans kesihatan. Ini kerana wujudnya “penekanan gaji ke paras yang rendah” (wage suppression) di Malaysia. Orang ramai sedang berkorban dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan menerima gaji yang jauh di bawah nilai pengeluaran pekerja kita. Oleh itu, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti harus dipandang sebagai “upah sosial” (social wage) yang telahpun di“pra-bayar” (pre-paid) oleh pekerja dan petani kita. Belanjawan perkhidmatan kesihatan awam harus dibiayai oleh cukai terhadap golongan yang terkaya dan syarikat-syarikat besar.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Kajian Dasar PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *