(foto: Michel Gile / Sipa)

Emmanuel Macron, Presiden Perancis yang kuat mengamalkan dasar neoliberal, telah menerima tamparan yang hebat selepas gabungan parti politik yang menyokong kepresidenannya kehilangan majoriti dalam Parlimen. Kesatuan Ekologi dan Sosial Rakyat Baharu (NUPES), sebuah gabungan parti-parti berhaluan kiri yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon, muncul sebagai pembangkang utama di Perancis, tetapi parti pelampau kanan turut mencatatkan kemenangan kerusi yang bersejarah.

Ensemble, gabungan parti-parti liberal yang menyokong Macron, memerlukan 289 kerusi untuk memenangi majoriti dalam Parlimen Perancis. Walaupun Ensemble masih merupakan parti yang menguasai kerusi terbanyak dalam Parlimen, tetapi hanya memperoleh 245 kerusi selepas pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Parlimen Perancis yang diadakan pada 19 Jun 2022. Gabungan parti yang menyokong Macron memenangi 350 daripada 577 kerusi dalam Pilihanraya Parlimen 2017. Ini bermakna gabungan parti yang menyokong Macron kehilangan sebanyak 105 kerusi berbanding pilihanraya lalu.

Dengan tiadanya kelebihan majoriti dalam Parlimen, Presiden Macron yang neoliberal sekarang ini perlu berunding untuk mewujudkan perikatan secara ad hoc, sama ada dengan golongan kanan tradisional (yang menguasai 64 kerusi) ataupun golongan pelampau kanan (yang menguasai 89 kerusi) untuk memastikan undang-undang yang dibawanya dapat diluluskan dalam Parlimen.

Jean-Luc Mélenchon berucap selepas mengetahui keputusan awal Pilihanraya Parlimen Perancis. (foto: Bertrand Guay / AFP)

Kesatuan Ekologi dan Sosial Rakyat Baharu (NUPES), satu usahasama penting antara parti-parti kiri di Perancis yang dibentuk pada 1 Mei 2022, mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dengan memenangi 131 kerusi. Antara 131 kerusi yang dimenangi NUPES, La France Insoumise yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon menguasai 72 kerusi (meningkat sebanyak 55 kerusi berbanding 17 yang dimenangi pada tahun 2017), Parti Sosialis (PS) memenangi 26 kerusi (kurang 4 kerusi berbanding tahun 2017), dan Parti Komunis Perancis (PCF) memenangi 12 kerusi (meningkat 2 kerusi berbanding tahun 2017). Calon-calon kiri lain yang tidak menyertai NUPES juga memenangi 22 kerusi.

Walaupun kerusi yang dimenangi NUPES adalah kurang berbanding apa yang diharapkan, tetapi pencapaian ini masih merupakan satu kemajuan yang memberangsangkan untuk gerakan kiri di Perancis. Antara kemenangan calon NUPES yang mendapat perhatian ialah Rachel Keke, seorang pekerja pembersihan hotel yang pernah memimpin mogok pekerja hotel Ibis di Paris selama 22 bulan pada tahun 2019-2021 yang berjaya mendapatkan kenaikan gaji serta penambahbaikan keadaan kerja. Rachel Keke menang di kawasan pilihanraya ke-7 Val-de-Marne, menewaskan Roxana Maracineanu yang merupakan bekas Menteri Sukan. “Kami (pekerja) yang hidup di kawasan serba kekurangan dan melakukan kerja-kerja penting,” kata Keke. “Kami yang dihina dan dieksploitasi. Jadi, biarlah kami mempertahankan diri kami dalam parlimen.”

Manifesto NUPES telah mengemukakan cadangan pembaharuan yang komprehensif untuk mengatasi dasar neoliberal, termasuk menurunkan semula umur persaraan dari 62 tahun ke 60 tahun, mengawal harga barangan asas, memperkenalkan semula cukai kekayaan yang dimansuhkan oleh Macron, menghentikan penggunaan tenaga nuklear, melabur lebih banyak dalam tenaga boleh diperbaharui, merombak semula pasukan polis, membina semula kemudahan kesihatan awam yang dilemahkan oleh dasar neoliberal, dan banyak lagi. Sokongan besar yang diterima oleh NUPES merupakan petanda bahawa alternatif kiri memang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Di pulau Réunion yang terletak di Lautan Hindi, 6 daripada 7 kerusi Parlimen Perancis yang dipertandingkan di situ dimenangi oleh calon yang bersekutu dengan pakatan kiri radikal NUPES. Di Seine-Saint-Denis yang menghimpunkan kawasan-kawasan kelas pekerja multi-etnik di pinggiran bandaraya Paris, kesemua 12 orang ahli parlimen yang dipilih datang daripada NUPES. Ini jelas menunjukkan bahawa ramai warga Perancis, khususnya golongan bawahan daripada pelbagai kumpulan etnik, memang inginkan perubahan sebenar. NUPES telah meraih lebih 6.5 juta undi dalam pengundian pusingan kedua, bersamaan dengan 31.50% undi yang sah.

Kegagalan pemerintahan kerajaan yang neoliberal dan polarisasi dalam masyarakat Perancis juga membawa kepada “kebangkitan” kuasa politik pelampau kanan yang memainkan sentimen perkauman, xenofobia dan islamofobia untuk meraih undi dalam kalangan pengundi Perancis. Rassemblement National (RN), parti pelampau kanan yang dipimpin oleh Marine Le Pen, telah meningkatkan penguasaan kerusinya berlipat ganda daripada 8 kerusi yang dimenangi pada tahun 2017 kepada 89 kerusi dalam pilihanraya terbaru. Ini merupakan sesuatu bahaya yang harus dibimbangkan, dan akan terus menjadi ancaman kepada politik kiri di Perancis malah Eropah.

“Kebangkitan” RN sebagai kuasa politik utama di Perancis, bukan sahaja berkaitan rapat dengan kegagalan dasar ekonomi neoliberal, malah kerajaan Macron sendiri yang memberikan galakan kepada perkembangannya dengan memperkenalkan undang-undang yang islamofobik dengan tujuan mengalihkan perhatian rakyat yang tidak berpuas hati dengan dasar ekonomi neoliberalnya. Tambahan pula, banyak calon daripada parti Macron yang disingkirkan dalam pengundian pusingan pertama enggan menyeru untuk mengundi calon kiri di kawasan di mana calon kiri dan calon pelampau kanan bertembung dalam pusingan kedua.

Dengan menguasai 89 kerusi dalam Parlimen Perancis dan dana baharu yang datang daripada jawatan ini, sudah pasti RN akan mempunyai lebih sumber dan keupayaan untuk membina struktur parti yang lebih kukuh di peringkat tempatan di ratusan bandar. Ini akan melipatgandakan lagi ancaman pelampau kanan yang rasis, homofobik, islamofobik, xenofobik, malah fasis. Ini menjadikan semakin mendesak untuk memperkuatkan barisan bersatu dalam usaha melawan ancaman pelampau kanan. Usaha melawan ancaman pelampau kanan ini tidak boleh dilambatkan lagi atau dibiarkan walaupun gabungan kiri NUPES mendapat keputusan yang menggalakkan dalam pilihanraya. Penularan pengaruh politik pelampau kanan boleh menghancurkan alternatif sebenar yang cuba dibina oleh golongan kiri.

Macron telah dilemahkan kerana kegagalan menguasai majoriti dalam Parlimen, tetapi dia masih akan berdegil untuk meneruskan dasar neoliberalnya. Macron gagal melakukan “pembaharuan” sistem pencen pada tahun 2019 kerana gelombang mogok pekerja yang hebat pada masa itu, tetapi dia bertekad untuk memulakan semula usaha serangannya terhadap pencen dengan sasaran meningkatkan umur persaraan dari 62 tahun kepada 65 tahun. Macron menegaskan bahawa pelajar-pelajar harus membayar lebih banyak untuk pergi ke universiti. Tambahan pula, Macron mahu terus mengurangkan kerja di sektor awam dan mengurangkan cukai terhadap golongan kaya.

Berdepan dengan Presiden neoliberal yang berdegil melaksanakan dasar anti-pekerja dan ancaman pelampau kanan yang semakin kuat, ahli-ahli parlimen berhaluan kiri yang dipilih melalui kempen pilihanraya yang penuh dinamik serta menawarkan alternatif politik kepada sistem yang sedia ada, memikul tanggungjawab yang besar dalam terus menyokong perjuangan masyarakat di luar parlimen di samping melakukan kerja mereka dengan baik sebagai wakil rakyat dalam Parlimen untuk memperjuangkan alternatif yang sebenar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.