8 orang petani di kawasan Chepor Impian, Daerah Kinta, Perak, sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa daripada pemaju. Tanah yang diusahakan oleh petani-petani kecil ini pada asalnya ialah tanah kerajaan, tetapi kini ia telah diberikan kepada pemaju swasta.

Pada 3 April 2022, salah seorang petani telah menerima panggilan telefon daripada wakil pemaju yang mengatakan bahawa bahawa pemaju tersebut sudah membeli tanah yang diusahakannya, maka hendak mengosongkan dan membersihkan tanah di kawasan pertanian tersebut. Namun, petani-petani berkenaan tidak menerima sebarang notis daripada sesiapa sebelum ini.

Pada 4 April 2022, pihak pemaju telah memasuki tanah pertanian yang diusahakan oleh petani-petani Chepor Impian dengan membawa beberapa buah mesin pengorek bersama 13 orang yang berbadan besar dan bersikap kasar untuk menolak dan membersihkan kawasan tanah pertanian di situ. Pada awalnya, orang suruhan pemaju telah membersihkan kawasan yang berhampiran dengan kebun petani kecil. Menurut petani-petani di situ, mereka cuba mengadu tentang perkara ini di balai polis berhampiran tetapi aduan tidak diambil.

Pada hari keesokannya, 5 April 2022, sebuah mesin pengorek telah menolak kawasan tepi kebun dan hampir memusnahkan kebun tersebut apabila petani di situ keluar untuk makan tengah hari. Namun, petani-petani di situ berjaya menghalang mesin pengorek daripada terus mara dan memasuki kebun mereka. Selepas itu, aktivis-aktivis PSM Perak telah mengiringi petani-petani di situ ke balai polis untuk membuat aduan polis. Petani-petani di situ risau bahawa pemaju akan cuba untuk menggunakan budak suruhan yang diupahnya untuk terus memusnahkan kebun mereka.

Petani-petani di kawasan Chepor Impian telah bercucuk tanam di situ selama lebih 40 tahun. Aktiviti pertanian merupakan sumber pendapatan utama mereka. Petani-petani ini menghasilkan tanaman seperti ubi keledek, jagung, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman kontan lain yang dipasarkan ke pasaran tempatan.

Sebelum ini, terdapat seorang daripada petani ini telah meninggal dunia di kebunnya semasa beliau bekerja di dalam kebun. Semua petani kecil ini menghabiskan kebanyakan masa mereka di kebun setiap hari untuk pengeluaran sayuran yang menjadi makanan masyarakat tempatan.

Sekiranya kawasan-kawasan petani kecil seperti ini terus dihancurkan melalui pengusiran paksa, bekalan makanan tempatan akan berkurangan dan ini boleh menyebabkan harga sayuran meningkat lagi. Kerajaan Negeri Perak harus mengutamakan kepentingan petani-petani kecil kerana mereka menyumbang kepada jaminan bekalan makanan untuk rakyat. Ratusan petani-petani kecil di Perak seperti mereka ini mengeluarkan 65 tan bekalan sayur setiap hari untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Petani-petani Chepor Impian telah menyatakan pendirian mereka untuk bersatu dan mempertahankan tanah yang diusahakan mereka daripada pengusiran paksa.

==========

(Laporan oleh Kesavan Vijayan)

2 thoughts on “Petani Chepor Impian diancam pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *