oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong kami dan pasukan peguam yang memastikan pembebasan semua 8 orang petani dan aktivis PSM yang ditahan polis pada 13-14 April 2022. Kami berterima kasih pada mahkamah yang melakukan sesuatu yang wajar untuk menolak permohonan reman daripada pihak polis. Kami berpandangan bahawa penangkapan terhadap 8 orang itu adalah “haram” dan melampau.

8 orang yang ditahan polis pada 13 April 2022 dan diarahkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh untuk dibebaskan pada 14 April 2022, ialah 4 orang petani dari kawasan Chepor Impian (Liew Kook Soon, Liew Yu Lim, Liew Yu Ming dan Liew Yu Tsong) dan 4 orang aktivis daripada Cawangan Sungai Siput dan Chemor (Agastim Maria Soosai, Kesavan Vijayan, S. Nagenteran dan Kavitha Munisamy).

Isu ini belum berakhir lagi. Penyalahgunaan kuasa polis yang terang-terangan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja atau disapu di bawah permaidani. Polis Perak, dari Ketua Polis Balai Kuala Kuang, Ketua Polis Daerah Ipoh, dan sehinggalah Ketua Polis Perak yang teratas itu harus disiasat oleh sebuah badan yang bebas. Pasukan Polis Perak harus menebus imejnya yang tercemar selepas peristiwa yang memalukan di Chepor Impian.  

Persoalan-persoalan berikut harus dijawab:

  1. Kenapa polis yang berada di situ bukannya memastikan keamanan, sebaliknya melindungi mesin pengorek pemaju? Siapa yang membayar mereka untuk melakukan kerja itu?
  2. Peguam pemaju sudah pun menulis satu surat yang menyatakan bahawa jika petani-petani tidak mengosongkan tanah, pihak pemaju akan membawa petani-petani ini ke mahkamah sivil. Namun, kenapa pihak polis tergesa-gesa menyibuk dalam membantu pemaju untuk mengosongkan tanahnya tanpa melalui proses mahkamah? Bahagian mana dalam Akta Polis 1967 yang mentaktifkan itu sebagai tugas polis?
  3. Kenapa pihak polis membantu pemaju swasta yang tidak mempunyai sebarang perintah mahkamah? Ketua Polis Perak, Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Polis Balai Kuala Kuang berkata bahawa petani-petani dan aktivis-aktivis menghalang tugas polis. Adakah melindungi pemaju swasta yang datang tanpa perintah mahkamah itu tugas polis?
  4. Pihak polis berhujah dalam permohonan reman mereka bahawa 8 orang itu ditahan kerana menceroboh. Pihak polis menggunakan Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan hukuman bagi pencerobohan jenayah. Pada kebiasaannya, jika seseorang itu menceroboh ke dalam tanah swasta, pemilik tanah itu boleh menggunakan tuduhan pencerobohan sivil. Namun di sini, kenapa pihak polis melampaui batas dalam mengklasifikasikan kes ini di bawah pencerobohan jenayah? Kenapa pihak polis membantu pemaju swasta dengan menggunakan wang pembayar cukai kita?
  5. Semasa di dalam mahkamah pada 14 April 2022, pegawai polis merungut pada mahkamah bahawa petani-petani enggan menerima pampasan yang ditawarkan, mereka enggan berpindah keluar walaupun sudah mendapat surat daripada pemaju. Sejak bilakah pegawai polis sudah menjadi perunding dan jurucakap bagi pemaju swasta? Itulah sebabnya kenapa Majistret dan Pendaftar di Mahkamah Ipoh membuang kes ini.
  6. Apabila PSM dan SUARAM membuat aduan di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 14 April 2022, kami dikejutkan lagi apabila mengetahui bahawa polis Perak telah mengklasifikasikan 6 aduan polis yang dibuat oleh mereka yang kemudiannya ditangkap selepas membuat aduan polis itu sebagai ROA (rujuk kepada agensi lain). Macam mana boleh jadi, apabila pemaju swasta membuat aduan polis, ia menjadi siasatan jenayah, sementara apabila petani-petani dan golongan marhaen membuat aduan polis, ia menjadi ROA?

Senarai persoalan ini boleh dipanjangkan lagi. Polis Perak harus dilepaskan tugas mereka supaya sebuah badan yang bebas dapat menyiasat dan supaya kebenaran boleh ditemui. Pokok masalah ini adalah, apakah kepentingan polis dalam urusan tanah itu?

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Isu pengusiran petani Chepor Impian: Siasat peranan dan hubungan polis Perak dengan pemaju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *