KUALA LUMPUR – 14 APRIL 2022: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan organisasi hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengemukakan aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada hari ini, terhadap tindakan berat sebelah pihak polis di bawah arahan Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Polis Balai Kuala Kuang dalam isu pengusiran paksa terhadap petani-petani di kawasan Chepor Impian, Chemor, Perak, pada 13 April 2022.

Mereka yang hadir semasa membuat aduan di JIPS pada hari ini ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM), V. Selvam (wakil Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia) dan Sevan Doraisamy (Pengarah Eksekutif).

Aduan tersebut menyatakan bahawa Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan, dan pegawai-pegawai di bawahnya telah membantu syarikat pemaju swasta, Eadepro Development Sdn Bhd, dalam melakukan pembersihan tanah tanpa sebarang perintah mahkamah, dan menangkap 8 orang yang mempersoalkan tindakan pengusiran paksa yang tidak sah itu.

“Apakah motivasi dan dorongan untuk Polis dalam membantu sebuah syarikat swasta padahal tugas polis adalah untuk memastikan keamanan dan kedaulatan undang-undang dihormati?” tanya Sivarajan semasa mengemukakan aduan tersebut. “Syarikat ini telah bertindak dalam cara tidak mengikut undang-undang. Mengapa Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Balai Kuala Kuang dan anggota mereka membantu syarikat ini?”

Arutchelvan berkata, “Apakah kepentingan polis di atas sebuah tanah swata? Polis hanya boleh datang untuk membantu dalam pelaksanaan perintah mahkamah. Namun, dalam situasi semalam, langsung tiadanya perintah mahkamah. Ini jelas satu salah guna kuasa polis!”

“Insiden ini juga membongkarkan pencabulan hak asasi manusia yang ketara dan teruk,” kata Sevan Doraisamy daripada SUARAM. “Pengusiran paksa ialah sesuatu yang haram. Apa-apa isu yang berkaitan dengan pertikaian tanah antara pemaju sama ada yang lama atau baharu dengan petani atau penduduk yang sudah lama menetap di sesuatu kawasan, mereka yang sedang menduduki tanah itu tidak boleh dipaksa keluar sebelum satu penyelesaian bersama dicapai.”

Latar belakang isu

Petani-petani di kawasan Chepor Impian telah bercucuk tanam di situ selama lebih 40 tahun. Aktiviti pertanian merupakan sumber pendapatan utama mereka. Petani-petani ini menghasilkan tanaman seperti ubi keledek, jagung, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman kontan lain yang dipasarkan ke pasaran tempatan.

Pada 15 Disember 2021, petani-petani Chepor Impian menerima satu surat daripada peguam W.Y. Chan & Roy yang menyatakan bahawa syarikat pemaju Eadepro Development Sdn. Bhd ialah pemilik tanah tersebut. Pada 24 Januari 2022, pihak petani membalas surat daripada W.Y. Chan & Roy itu dan meminta supaya satu mesyuarat diadakan, namun tidak mendapat sebarang balasan daripada pihak syarikat pemaju tersebut.

Pada 3 April 2022, salah seorang petani menerima panggilan telefon daripada wakil pemaju yang mengatakan bahawa pemaju tersebut sudah membeli tanah yang diusahakannya, maka hendak mengosongkan dan membersihkan tanah di kawasan pertanian tersebut. Namun, petani-petani berkenaan tidak menerima sebarang notis daripada sesiapa pun sebelum ini.

Pada 4 April 2022, pihak pemaju memasuki tanah pertanian yang diusahakan oleh petani-petani Chepor Impian dengan membawa beberapa buah mesin pengorek bersama 13 orang yang berbadan besar dan bersikap kasar untuk menolak dan membersihkan kawasan tanah pertanian di situ. Pada awalnya, orang suruhan pemaju telah membersihkan kawasan yang berhampiran dengan kebun petani kecil.

Pada 5 April 2022, sebuah mesin pengorek telah menolak kawasan tepi kebun dan hampir memusnahkan kebun tersebut apabila petani di situ keluar untuk makan tengah hari. Namun, petani-petani di situ berjaya menghalang mesin pengorek daripada terus mara dan memasuki kebun mereka. Selepas itu, aktivis-aktivis PSM Perak telah mengiringi petani-petani di situ ke balai polis untuk membuat aduan polis. Petani-petani di situ risau bahawa pemaju akan cuba untuk menggunakan budak suruhan yang diupahnya untuk terus memusnahkan kebun mereka.

Insiden pada 13 April 2022

Pada 13 April 2022, pada pukul 8.30 pagi, pihak pemaju masuk ke kawasan pertanian sekali lagi. Petani telah menghentikannya, dan pada jam 9 pagi, beberapa orang anggota polis datang ke situ. Selepas berbincang, pemaju menawarkan bayaran sagu hati RM8,000 seekar untuk petani-petani keluar dari situ. Petani meminta tempoh 2 hari untuk berbincang tentang tawaran ini. Akhirnya pemaju bersetuju untuk memberi tempoh satu hari.

Tetapi selepas itu, seorang lagi pegawai polis telah datang dengan 30 orang anggota polis dan berkata bahawa masalah ini telah berlarutan terlalu lama. Petani harus keluar pada hari itu juga dan memberi mereka setengah jam untuk mengosongkan tanah. Yang menjadi persoalan di sini ialah: Siapakah dan apakah kuasa pihak polis untuk memberikan arahan seperti ini?

Akitivis PSM telah membantah dan berkata bahawa mengikut undang-undang, pemaju mesti pergi ke mahkamah untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum polis dapat membantunya. Tetapi pihak polis terus menangkap dua orang aktivis PSM dan mengusir semua petani keluar dari kawasan kebun. Selepas itu, 4 buah mesin jentolak telah mula memusnahkan semua tanaman. Tindakan memusnahkan semua tanaman di atas tanah seluas 50 ekar tersebut telah mengakibatkan kerugian berjumlah puluhan ribu ringgit untuk petani-petani di situ.

Tangkapan mala fide

Selepas pemaju dan polis meninggalkan kawasan kebun itu, semua aktivis dan petani yang menjadi saksi kepada pencerobohan tanah tanpa perintah mahkamah itu telah membuat keputusan untuk membuat aduan polis berkenaan dengan tindakan pengusiran tanpa perintah mahkamah tersebut. Sebanyak 6 orang, termasuk 4 orang petani dan 2 orang aktivis PSM, telah membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Beberapa jam selepas itu, pada pukul 5.30 petang, pihak polis memaklumkan bahawa mereka ingin ambil kenyataan saksi daripada 6 orang tersebut. Namun, apa yang berlaku adalah polis membuat tangkapan ke atas 6 orang yang membuat aduan polis itu.

8 orang yang ditahan itu dikatakan ditahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “hukuman bagi pencerobohan jenayah”) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”). Namun, Seksyen 447 itu hanya boleh digunakan jika pencerobohan mempunyai niat jenayah. Jika pihak pemaju hendak mempertikaikan pendudukan petani di situ, mereka harus menggunakan peruntukan undang-undang sivil dan bukannya jenayah. Oleh itu, adalah menjadi persoalan besar kenapa polis hendak menggunakan tuduhan pencerobohan jenayah untuk menangkap 8 orang tersebut sedangkan ia merupakan pertikaian sivil.

Institusi kerajaan tidak harus bantu pengusiran paksa

PSM dan SUARAM menyatakan kebimbangan dan kekecewaan mereka terhadap insiden pencerobohan tanah oleh syarikat pemaju swasta yang dibantu oleh pihak polis dari IPD Ipoh tanpa sebarang perintah mahkamah.

“Institusi kerajaan tidak harus membantu pengusiran paksa yang haram sebegini,” tegas kata Sivarajan selaku Setiausaha Agung PSM. “Pencerobohan oleh pihak syarikat Eadepro Development Sdn Bhd ke dalam kawasan kebun petani Chepor Impian secara haram dan dibantu oleh polis ini, menunjukkan bahawa pihak polis berat sebelah, kerana enggan menyiasat aduan polis daripada pihak petani, sebaliknya bersekongkol dengan pihak pemaju swasta dalam pengusiran paksa yang haram ini. Mengapa tiada seorang pun daripada pihak pemaju yang ditahan polis untuk siasatan apabila petani membuat aduan polis, sebaliknya petani yang ditahan polis apabila aduan dibuat oleh pemaju. Adakah ini amalan dua darjat?”

Penangkapan terhadap petani-petani Chepor Impian atas alasan bahawa mereka merupakan penceroboh juga sesuatu yang melucukan. Petani-petani ini dan keluarga mereka telah mengusahakan tanah ini selama 40 tahun, jauh lebih lama daripada pemaju yang hanya dapat pemilikan tanah ini beberapa tahun yang lalu. Tindakan polis menangkap petani seolah-olah berniat untuk menakutkan petani-petani yang lain supaya mereka tidak berani lagi untuk membantah pengusiran paksa oleh pihak pemaju.

PSM dan SUARAM menyeru pada pihak PDRM di Bukit Aman untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Daerah Ipoh dan semua pegawai di bawahnya yang terlibat dalam penangkapan yang tidak sah dan pengusiran paksa tanpa perintah mahkamah pada 13 April 2022.

3 thoughts on “Siasat salah guna kuasa polis Ipoh dalam pengusiran paksa terhadap petani Chepor Impian – gesa PSM dan SUARAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *