oleh S. Arutchelvan

Perjuangan pekerja ladang sekitar tahun 1990-an

Pada penghujung tahun 1996, semua pekerja Ladang Bukit Tunggu diberikan notis pengusiran. Tarikh akhir untuk keluar dari ladang adalah secara berperingkat, iaitu dari hujung bulan September 1996 hingga Oktober 1996. Pada masa itu, saya dan kumpulan yang saya sertai, Pusat Pembangunan Masyarakat atau Community Development Centre (CDC), sudah aktif di ladang-ladang sekitar kawasan Kajang, Bangi, Dengkil dan Banting. Ada juga maklumat yang menyatakan bahawa mereka akhirnya keluar dari ladang sekitar tahun 1999.

Kumpulan CDC, Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memang aktif membantu para pekerja ladang di ladang-ladang sekitar kawasan Hulu Langat dan Sepang. Kami juga mempunyai sebuah majalah yang bernama Pattali (yang bermaksud pekerja).

Pada masa yang sama juga, kami telah memulakan perjuangan Ladang Braemar pada sekitar tahun 1993 dan juga Ladang Brooklands lebih kurang pada tahun 1995. Kedua-dua ladang ini berjaya mendapat rumah teres percuma. Ladang Braemar berjaya selepas berjuang selama 10 tahun, sementara Ladang Brooklands mengambil masa sekitar 12 tahun dalam perjuangan. Pada masa yang sama, sesuatu yang amat mengecewakan adalah apabila pekerja Ladang Bukit Tunggu tidak mendapat perumahan alternatif percuma. Ceritanya tidak jelas. Ada yang mengatakan bahawa isu perumahan mereka selesai. Ada yang mengatakan pula bahawa mereka ditawarkan rumah flat tetapi mereka kena beli dan ramai yang tidak membelinya.

Saya sering ditanya soalan ini oleh bekas pekerja Ladang Bukit Tunggu yang merasakan bahawa mereka hilang peluang untuk mendapatkan rumah percuma. Saya pula tidak lupa untuk mengingatkan mereka bahawa semasa kami bersedia membantu mereka, mereka berkata mereka akan selesaikan isu mereka dan tidak mahukan bantuan kami. Saya masih ingat dengan jelas apabila jawatankuasa pekerja di sana memberitahu saya bahawa isu perumahan mereka akan diselesaikan dan tidak memerlukan bantuan kami. Kami juga pada masa itu dianggap agak radikal berbanding dengan pihak kesatuan sekerja.

Walaupun Ladang Bukit Tunggu mendapat bayaran ex-gratia yang boleh dikatakan memuaskan pada ketika itu, tetapi mereka gagal mendapat perumahan alternatif. Disebabkan tidak mendapat kerjasama jawatankuasa setempat, maka kami memberikan fokus kepada isu-isu lain. Saya juga pernah melihat satu perjanjian yang ditandatangani oleh mereka pada masa itu yang saya anggap tidak adil dan berat sebelah. Namun demikian, hanya kaum pekerja yang boleh membebaskan diri mereka melalui perjuangan yang dilakukan oleh mereka.

Pada hari ini, tanah mereka telah dibangunkan dengan perumahan mewah, padang golf dan lain-lain. Saya juga sering dijemput oleh anak-anak bekas pekerja ladang, terutamanya Thevendran dan Somu yang begitu aktif dalam menganjurkan program keramaian di bawah Persatuan Mannir Manthen Bangi. Setiap kali keramaian ini, ada orang yang akan tanya pasal ada satu wang sejumlah RM40 ribu yang diberikan, dan akan wujudnya saling tuduh-menuduh.

Isu wang pampasan RM 40 ribu bagi Kuil Ladang Bukit Tunggu

Pada awal tahun 2015, satu kumpulan datang ke Pusat Khidmat PSM di Kajang untuk berbincang tentang isu ini. Ada dalam kalangan mereka juga ialah ahli PSM. Kami membantu mereka menulis satu surat pada 3 Mac 2015 yang dialamatkan kepada syarikat Akurjaya. Dalam surat itu, dinyatakan bahawa selepas pekerja keluar dari ladang itu pada tahun 1999, mereka tidak mendapat pampasan RM40 ribu. Surat tersebut diterima oleh Encik Manoharan secara peribadi pada 8 Mac 2015 bagi pihak Akurjaya. Namun selepas itu, isu itu sejuk kembali apabila tidak mendapat respon.

Isu ini kembali hangat apabila kami memperolehi kemenangan di Ladang Bangi, iaitu ladang bersebelahan dengan Ladang Bukit Tunggu pada tahun 2017. Maka ramai orang yang datang ke sambutan kemenangan bertanyakan isu Ladang Bukit Tunggu pula.

Para bekas pekerja Ladang Bukit Tunggu berkata kepada saya bahawa ada satu misteri di mana mereka berkata adanya sebanyak RM40 ribu yang diberikan kepada kuil dan duit itu lesap dan hilang. Banyak spekulasi dibuat seperti ia disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu dan sebagainya. Ada yang berkata mungkin AJK lama dan ada yang berkata mungkin NUPW yang mainkan duit itu. Saya pun menghubungi saudara Thamasekaran dan beliau berkata bahawa memang ada perjanjian tetapi berkata tiada duit yang telah diberikan. Kumpulan pekerja pula meminta bantuan saya untuk mendapatkan duit tersebut. Mereka juga berkata, “dulunya kami tidak meminta bantuan tuan semasa perjuangan, tetapi kali ini tolonglah kami.”

Mesyuarat pertama dan pembentukan jawatankuasa

Oleh itu, saya mulalah mendengar cerita mereka yang penuh minat. Saya juga mencadangkan supaya satu jawatankuasa yang mendapat restu penduduk Ladang Bukit Tunggu dibentuk untuk mendapatkan balik duit RM40 ribu itu.

Ekoran daripada semangat baru itu, saya menghubungi Manoharan, satu-satunya nombor yang kami ada dari pejabat Akurjaya. Saya kemudian dimaklumkan bahawa Manoharan sudah bersara dan meminta semua urusan dibuat melalui Encik Lee Boon Chee.

Dalam mesyuarat pertama yang dianggotai oleh ahli-ahli jawatankuasa, beberapa orang bekas pekerja ladang dan Persatuan Mannir Manthen, saya sekali lagi diberikan satu dokumen yang telah ditandatangani pada 29 Ogos 1996. Pada masa itu, kami membincangkan perkara yang berlaku 23 tahun yang lalu. Perjanjian 1996 tersebut ditandatangani oleh dua orang wakil syarikat Brooklands Selangor Rubber, iaitu Dr. Soong Ngin Kwi dan Encik Wong Chan Loong. Bagi pihak pekerja pula, seramai 10 orang telah menandatangani perjanjian yang diketuai oleh Setiausaha NUPW Negeri Selangor, iaitu V.Thamasegaran dan sembilan orang lagi wakil pekerja ladang dan wakil NUPW tempatan. Apabila saya menyemak siapa yang masih ada pada masa sekarang dan saya dimaklumkan bahawa dua daripada sembilan orang sudah meninggal dunia, iaitu Puan Philomena dan Encik Arumugam Kuppan. manakala ada antara mereka yang lain itu sudah berusia dan uzur.

Saya amat bernasib baik bahawa tiga orang utama dalam perjanjian, iaitu Muthusamy (Pengerusi Jawatankuasa Kuil),  Rengasamy (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kuil ) dan Muthiah (Setiausaha Jawatankuasa Kuil) masih hidup. Mesyuarat tersebut juga turut dihadiri oleh orang kuat Persatuan Mannir Manthen, iaitu Thevendran dan Somu.

Satu mesyuarat diadakan sekitar bulan Ogos 2019. Mesyuarat tersebut diadakan di Tadika Bangi Lama di mana seorang lagi kawan bernama Mahendran meminjamkan kami tempat itu untuk mesyuarat. Kami membincangkan satu klausa dalam perjanjian, iaitu perkara lapan (xiii) yang mengatakan bahawa Syarikat akan membayar RM40 ribu sebagai pampasan kepada Jawatankuasa Kuil yang bakal dipilih. Namun demikian, masalah di depan kami adalah tidak ada kuil yang dibina dan maka tidak ada Jawatankuasa Kuil Ladang Bukit Tunggu. Ini merumitkan masalah yang kami hadapi.

Dalam mesyuarat penting ini, semua orang yang hadir amat mengharapkan saya membantu mereka dan mengatakan keyakinan mereka pada PSM. Saya bersetuju dengan syarat kami berjuang bersama, dan dalam mesyuarat yang sama, satu Jawatankuasa telah dipilih.

Dengan itu, satu Jawatankuasa telah dibentuk dan dianggotai oleh 8 orang yang kami panggil sebagai Jawatankuasa Pampasan Kuil Ladang Bukit Tunggu Bangi. Jawatankausa ini dianggotai oleh Somasundram a/l Chelliah, Letchmanan a/l Alagan, Visvanathan a/l Panten, Sunthar a/l Akishnan, Murugan a/I Suparamaniam, Ragu a/l Subramaniam, Viswanathan a/l Kulan dan Subaramaniam a/l Chellaiah. Dalam mesyuarat pembentukan jawatankuasa itu, saudara Letchu telah diminta untuk menjadi Pengerusi kerana beliau juga telah mengambil banyak inisiatif untuk melibatkan semua pihak dan mendapatkan persetujuan bekas pekerja lain.

Rundingan dengan syarikat Akurjaya

Akhirnya kami menulis satu surat yang dialamatkan kepada Peter Lee, Pengarah syarikat Akurjaya Sdn. Bhd. Surat itu bertarikh 18 September 2019 dan diserahkan melalui tangan kepada syarikat tersebut pada 23 September 2019. Dalam surat itu, dimaklumkan bahawa Muthusamy selaku Pengerusi Kuil, Rengasamy selaku Timbalan Pengerusi Kuil, dan Muthiah selaku Setiausaha Kuil, semuanya mengatakan mereka masih tidak mendapat pampasan tersebut. Jadi, kami meminta satu temujanji dan satu penjelasan.

Ekoran daripada itu, satu mesyuarat telah diadakan di pejabat Akurjaya pada 10 Oktober 2019, di mana dalam mesyuarat tersebut dihadiri oleh Encik Peter Lee, pembantunya Lee Boon Liang dan peguam mereka.

Kami berasa lega apabila Peter Lee memaklumkan bahawa wang RM40 ribu itu masih dalam simpanan mereka. Beliau juga berkata bahawa syarikat Akurjaya tiada masalah untuk memberikan balik duit itu, tetapi disebabkan ada perjanjian dahulu, mereka juga khuatir dan mahu duit itu diberikan kepada mereka yang betul-betul  menerimanya. Dalam mesyuarat pertama, kami mencadangkan bahawa duit dibayar kepada sebuah organisasi bertauliah memandangkan tidak ada kuil mahupun Jawatankausa Kuil yang wujud. Maka mereka bersetuju bahawa akan rujuk kepada peguam untuk memeriksa cadangan kami.

Pampasan RM40 ribu itu nak beri kepada siapa?

Pada 10 November 2019, saya mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa dan juga dengan semua bekas penyandang jawatan utama, dan bertanyakan bagaimana duit itu hendak diedarkan. Walaupun ada 7 orang yang masih hidup, tetapi hanya 4 orang yang hadir. Pihak Akurjaya pula mahu kebenaran daripada mereka yang menandatangani perjanjian dahulu. Dalam mesyuarat itu ada dua cadangan, salah satunya adalah berkongsi duit itu dengan semua pekerja ladang, dan yang kedua adalah wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun PSM dan kemudian diberikan kepada Persatuan Mannir Manthen yang merupakan bekas pekerja ladang Bukit Tunggu dan mungkin mereka boleh gunakannya sebagai duit pampasan untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Pada masa yang sama, ada juga satu inisiatif terdahulu yang diambil, iaitu meminta wang itu diberikan kepada tiga orang penyandang jawatan utama kuil, iaitu Muthusamy, Muthiah dan Rengasamy. Namun surat ini hanya ditandatangani oleh lebih kurang 26 orang daripada senarai 39 orang. Jumlah sebenar kesemuanya ialah seramai 47 orang.

Memandangkan ramai yang tidak selesa dengan cadangan itu, maka ada desakan kuat untuk duit itu disimpan dalam akaun PSM kerana ramai orang yang yakin dengan kejujuran PSM mengendalikan isu rakyat dan isu pekerja. Namun saya tidak selesa dan tidak mahu sebarang duit dimasukkan dalam akaun PSM. Mereka pula berkata bahawa akan mendapatkan satu surat untuk melaksanakan perkara ini. Oleh kerana tidak puas hati, saya memanggil satu lagi mesyuarat pada 10 Mac 2020 di pejabat PSM di mana saya meminta Pampasan Kuil Ladang Bukit Tunggu Bangi, Jawatankuasa Kuil dan wakil Persatuan Mannir Manthen untuk hadir.

Dalam mesyuarat pada 10 Maac 2020 yang dihadiri oleh beberapa orang wakil daripada tiga entiti ini, adalah diputuskan bahawa semua wang dibahagi sama rata kepada 47 orang bekas pekerja ladang. Maka selepas itu wujudlah proses memastikan siapa yang masih hidup, waris mereka dan sebagainya.

Akuan berkanun menjadi penyelesaian

Selepas itu, saya menghantar satu surat kepada Peter Lim melalui e-mel pada 20 April 2020. Saya mencadangkan agar kami membuat satu akuan bersumpah oleh 7 orang yang masih hidup, di mana mereka akan memberi persetujuan bahawa wang diberikan kepada 47 orang bekas pekerja Ladang Bukit Tunggu, dan bagi mereka yang sudah meninggal dunia, kami akan memberikan bukti sijil kematian mereka. Kami juga meminta sama ada Akurjaya akan membayar faedah, dan jika tidak, maka setiap individu sepatutnya memperolehi RM851.06. Kami juga memberi salinan surat ini kepada saudara Thamasekaran daripada NUPW Selangor.

Namun begitu, negara kita dilanda pandemik pada tahun 2020 dan menjadi amat susah untuk berjumpa dengan Peter. Saya juga mengirimkan e-mel peringatan. Peguam mereka sepatutnya memberikan maklumbalas. Akhirnya Peter Lim menghubungi kami pada 29 Jun 2020, dan bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat pada 1 Julai 2020.

Dalam mesyuarat tersebut, Akurjaya setelah mendapat nasihat peguam mereka mencadangkan satu proses yang memerlukan banyak kerja juga. Mereka mahukan satu perjanjian baru ditandatangani untuk membuat pindaan kepada klausa supaya wang kini dibayar kepada semua bekas pekerja Ladang Bukit Tunggu. Untuk berbuat demikan, kami memerlukan surat akuan berkanun (SD – statutory declaration) yang diambil daripada semua mereka yang masih hidup yang memberikan mandat kepada Encik Thamasekaran daripada NUPW membuat pindaan perjanjian ini.

Kerja kutip surat akuan dan mencari 47 orang bekas pekerja Ladang Bukit Tunggu pada masa COVID-19

Selepas itu, satu kerja yang agak sukar dilakukan, di mana Jawatankuasa terpaksa mencari 47 orang, mendapatkan kad pengenalan mereka, kemudiannya mengatur mereka untuk berjumpa Pesuruhanjaya Sumpah dan menandatangani akuan bersumpah.

Kami harus berterima kasih kepada kerja gigih yang dibuat oleh Letchu, Muruga dan Sunthar yang telah membahagikan tugas dan mencari mereka untuk menandantangani akuan bersumpah. Penghargaan juga diberikan kepada pegawai sepenuh masa PSM Semenyih, Parames, yang membuat kerja-kerja dokumentasi.

Semasa pandemik, kadangkala jalan ditutup, kadangkala ada orang dijangkiti COVID-19. Ada sekali Letchu yang membawa seramai 6 orang bekas pekerja dijangkiti COVID-19. Kami berasa cemas. Mereka semuanya sudah berusia dan pejabat PSM Semenyih juga perlu ditutup seminggu.

Akhirnya kerja ini berjaya diselesaikan. Kemudian kami sekali lagi menghubungi Peter Lim. Tahun sudah menjadi 2022. Pada 19 Januari 2022, kami akhirnya memberikan status mutakhir surat akuan bersumpah yang ditandatangani, di mana daripada 47 orang, 10 orang sudah meninggal dunia. Kami telah mendapatkan tandatangan baki 37 orang walaupun seorang meninggal dunia selepas menandatangani SD tersebut.

Akhirnya pihak syarikat Akurjaya bersedia untuk menandatangani perjanjian pindaan. Setelah semua dokumen disemak, perjanjian dijadualkan untuk ditandatangani pada 24 Mac 2022 di Lion Office Tower. Namun, ia terpaksa ditunda kerana ada kes kontak rapat dengan Peter Lim dan kemudiannya tarikh baru 1 April 2022 ditetapkan untuk upacara menandatangani perjanjian antara Peter Lee dan Thamasekaran, dan disaksikan oleh beberapa orang AJK dan saya sendiri.

Akhirnya RM40 ribu diserahkan kepada semua

Akhirnya satu upacara telah diatur di Tadika yang merupakan tempat kami menubunkan Jawatankuasa. Wang dalam bentuk cek diserahkan kepada 43 daripada 47 orang individu pada 29 Mei 2022. Selebihnya mempunyai sedikit isu waris yang perlu dibereskan.

Ini bukan satu kemenangan yang besar, namun saudara Letchu sebagai Pengerusi Jawatankuasa meminta saya menulis tentang usaha ini kerana banyak kerja dan kegigihan  yang terlibat dalamnya. Ini hanyalah catatan bagaimana misteri RM40 ribu akhirnya diselesaikan dan diberikan kepada bekas pekerja Ladang Bukit Tunggu.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *