“Apa yang paling baik boleh kita lakukan, adalah menganggap perjuangan untuk menggerakkan pemberdayaan sosial sebagai proses eksperimental di mana kita menguji dan menguji semula secara berterusan had-had kemungkinan, dan mencuba sebaik mungkin kita untuk mencipta institusi baru yang akan memperluaskan had-had itu sendiri. Dengan demikian, kita bukan sahaja membayangkan utopia-utopia yang nyata, tetapi menyumbang kepada menjadikan utupia-utopia itu nyata.” – Erik Olin Wright, Envisioning Real Utopias
Erik Olin Wright, ahli sosiologi Marxis Analitikal dari Amerika Syarikat yang lama menyokong Pendapatan Asas Universal (UBI) dan salah seorang tokok intelek awam yang terkenal pada zaman kini, telah meninggal dunia pada 23 Januari 2019, dengan usia 71 tahun.
Sebagai seorang pemikir Marxis, Erik Olin Wright bukan sahaja berkongsi ilmunya dengan ramai orang berkenaan dengan kelas, eksploitasi dan kuasa, beliau juga membayangkan alternatif yang bersifat demokratik dan egalitarian untuk menggantikan sistem kapitalis. Sepanjang hidupnya, Erik Olin Wright amat bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam membangunkan semula tradisi intelek Marxis dan menjadikan pemikiran Marxis lebih relevan dengan keadilan sosial dan transformasi sosial pada hari ini, berasaskan pemahaman yang sah secara saintifik tentang bagaimana dunia kita sebenarnya berfungsi.
Kemaskini teori tentang kelas
Erik Olin Wright dilahirkan pada 9 Februari 1947 di Berkeley, California, AS. Sebagai seorang akademik muda yang dipengaruhi gelombang radikalisasi daripada Gerakan Hak Sivil dan Gerakan Anti-Perang, Erik Olin Wright memulakan perjalanan intelek kirinya sejak zaman pelajar lagi. Semasa beliau masih penuntut sarjana di University of California–Berkeley, Erik Olin Wright telah memulakan siri seminar “Utopia and Revolution”. Beliau melakukan kajian dengan analisis kritikal terhadap penjara di Amerika Syarikat pada tahun 1973. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang sosiologi di University of California-Berkeley, pada tahun 1976, dengan tesisnya yang bertajuk “Struktur Kelas dan Ketidaksamaan Pendapatan”(Class Structure and Income Inequality).
Erik Olin Wright mula menjadi professor di University of Wisconsin – Madison pada tahun 1976. Erik Olin Wright kemudiannya menulis dan menyunting banyak buku tentang kelas dan kapitalisme. Erik Olin Wright telah membangunkan salah satu pemahaman yang berterusan tentang kelas dan kapitalisme sejak Karl Marx. Seperti tokoh Marxis hebat yang lain, Erik Olin Wright berpegang teguh pada dorongan moral untuk berjuang melawan kapitalisme dan membayangkan alternatif yang lebih baik untuk kemanusiaan.
Erik Olin Wright pernah menumpukan banyak usahanya dalam kajian tentang kelas sosial, khususnya cuba mengemaskini dan menghuraikan konsep Marxis tentang kelas, supaya para penyelidik sosial dapat menggunakan konsep “kelas” untuk menerangkan dan meramalkan kepentingan kebendaan rakyat, pengalaman hidup, keadaan hidup, pendapatan, keupayaan berorganisasi dan keinginan untuk terlibat dalam tindakan kolektif, pendirian politik dan sebagainya. Berbeza dengan pemikiran Marxis klasikal, analisis kelas Erik Olin Wright memecahkan kelas pekerja ke dalam kelompok-kelompok kecil yang berbeza dari segi pegangan kuasa dan mempunyai kesedaran kelas yang berpelbagai.
Utopia-utopia yang nyata
Erik Olin Wright telah mendedikasikan usaha inteleknya dalam mewujudkan alternatif kepada kapitalisme melalui pembentukan “utopia-utopia yang nyata” (real utopias) di ruang-antara yang wujud dalam ekonomi kapitalis. Karya terkenalnya, “Membayangkan Utopia-utopia yang Nyata” (Envisioning Real Utopias), telah membentangkan hasil penyelidikan dan penglibatan bertahun-tahun lamanya Erik Olin Wright dalam usaha mencari atau mencipta “utopia-utopia yang nyata”. Menurut Erik Olin Wright, “utopia-utopia yang nyata” merupakan alternatif dalam dunia nyata yang bersifat demokratik dan egalitarian (samarata). Utopia-utopia yang nyata boleh dibina dalam dunia yang sedia ada, dan juga dapat menjadi bayangan awal kepada dunia sosialis pada masa akan datang, dan membantu dalam menggerakkan kita menuju ke arah tersebut. Contoh utopia yang nyata yang sudah wujud pada masa kini termasuklah, Wikipedia, koperasi milik pekerja seperti Mondragon, dan belanjawan bersifat keterlibatan (participatory budget) seperti yang diamalkan di bandar Porto Alegre.
Perpustakaan awam, walaupun wujud secara meluas dalam masyarakat kapitalis, tetapi insitusi ini telah merangkumi prinsip-prinsip akses dan pengagihan yang bersifat sangat anti-kapitalis. Berbeza dengan kedai buku yang mengamalkan prinsip pengagihan “kepada sesiapa mengikut kebolehan untuk membayar”, prinsip pengagihan buku perpustakaan awam ialah “kepada sesiapa mengikut keperluan”, iaitu suatu prinsip yang semestinya bersifat sosialis!
Sistem Pendapatan Asas Universal (Universal Basic Income, UBI) juga dianggap sebagai utopia yang nyata oleh Erik Olin Wright, di mana ia menjadi asas kepada penetapan semula sistem pengagihan kekayaan masyarakat untuk menuju ke arah sosialisme. Erik Olin Wright merupakan seorang pendukung kuat idea pelaksanaan UBI.
Walaupun idea-idea yang dibawa oleh Erik Olin Wright bukannya sesuatu yang revolusioner untuk menghancurkan kapitalisme secara menyeluruh, tetapi terdapat banyak unsur-unsur yang radikal dalam membayangkan dan merealisasikan sebuah masyarakat sosialis yang bersifat pembebasan.
Erik Olin Wright agak kritikal terhadap Kesatuan Soviet dan negara-negara lain yang dibentuk oleh revolusi sebelum ini. Bagi Erik Olin Wright, negara sosialis hanya dapat direalisasikan apabila kuasa sosial menjadi dominasi, bukannya kuasa ekonomi (kapitalisme) atau kuasa negara (statisme). Di bawah sosialisme, individu-individu berhak untuk bersuara tentang semua perkara yang mempengaruhi mereka, dan “negara sosialis” yang wujud pada abad ke-20, seperti negara kapitalis yang lain, tidak dapat mencapai bentuk keadilan politik yang membolehkan kuasa sosial (rakyat biasa) mendominasi.
Erik Olin Wright percaya bahawa sosialisme mesti merangkumi keadilan sosial. Berbeza dengan masyarakat kapitalis di mana setiap orang seolah-olah mempunyai “peluang yang sama” untuk berkembang, keadilan sosial memerlukan “akses yang samarata” kepada sumber-sumber yang membolehkan semua orang berkembang secara bersama dan bebas daripada stigma sosial (seperti rasisme dan seksisme). Erik Olin Wright juga percaya bahawa sosialisme adalah bersesuaian dengan pasaran, tetapi bukan jenis pasaran yang menjejaskan keadilan politik dan sosial. Untuk berfungsi selaras dengan sosialisme, pasaran mesti berskala lebih kecil dan kuasa pesertanya perlu dihadkan.
Anti-kapitalisme
Bagi Erik Olin Wright, anti-kapitalisme bukan sahaja sekadar pendirian moral untuk menentang ketidakadilan, tetapi ia adalah tentang membina alternatif.
Berhujah tentang bagaimana menjadi seorang anti-kapitalis dalam abad ke-21, Erik Olin Wright menulis,
“Berhenti berkhayal tentang menghancurkan kapitalisme. Kapitalisme tidak boleh dihancurkan begitu sahaja, sekurang-kurangnya jika anda benar-benar mahu membina sebuah masa depan yang bersifat pembebasan. Anda secara bersendirian mungkin boleh melarikan diri daripada kapitalisme dengan berpindah di luar grid dan meminimumkan penglibatan anda dalam ekonomi wang dan pasaran, tetapi ini adalah sukar untuk menjadi pilihan yang menarik minat untuk ramai orang, khususnya mereka yang mempunyai anak, dan pastinya mempunyai sedikit sahaja potensi untuk memupuk proses pembebasan sosial yang lebih luas.
Jika anda prihatin pada kehidupan orang lain, sudah tentunya anda perlu berurusan dengan struktur dan institusi kapitalis. Menjinakkan dan menghakis kapitalisme adalah satu-satunya pilihan yang boleh dilaksanakan. Anda perlu mengambil bahagian dalam gerakan politik untuk menjinakkan kapitalisme melalui pembentukan dasar-dasar awam dan projek sosio-ekonomi yang menghakis kapitalisme melalui perluasan bentuk-bentuk aktiviti ekonomi yang bersifat pembebasan.
Kita perlu memperbaharui demokrasi sosial yang progresif yang bukan sahaja menjadikan kemudaratan kapitalisme itu tidak lagi berkesan tetapi juga memudahkan inisiatif untuk membina utopia-utopia nyata dengan potensi untuk menghakis dominasi kapitalisme.”
Teruskan perjuangan untuk alternatif bersifat pembebasan
Walaupun Erik Olin Wright lebih mendukung usaha mikro-sosial untuk menghakis kapitalisme melalui “utopia-utopia yang nyata”, tetapi penimbunan usaha-usaha mewujudkan “utopia-utopia yang nyata” ini sememangnya boleh menjadi asas kukuh kepada penggantian sistem kapitalis dengan susunan masyarakat baru yang bersifat pembebasan dan egalitarian.
Dalam karyanya “Membayangkan Utopia-utopia yang Nyata”, Erik Olin Wright telah menyeru pada pembaca untuk menyumbang sebaik yang mungkin untuk menjadikan utopia itu kenyataan. Yang pastinya, Erik Olin Wright sudah melakukannya dengan penuh semangat sampai nafas terakhirnya.
One thought on “Erik Olin Wright (1947-2019): Pemikir yang ilhamkan utopia sebenar”