IPOH: Petani-petani kecil dari kawasan Tanah Hitam, Chemor, Perak, telah menyerahkan satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 20 April 2022 untuk menyeru pada Menteri Besar Perak supaya menangguhkan pengusiran terhadap mereka dan menunaikan janjinya untuk memberi tanah gantian kepada mereka.

11 orang petani kecil yang berkenaan telah mengusahakan sebidang tanah seluas 24 ekar di sebelah Jalan Chemor-Kuang untuk tempoh selama 30 hingga 50 tahun. Mereka telah diberi notis pengusiran oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta sejak tahun 2019 untuk mengosongkan tanah mereka kerana Kerajaan Negeri Perak hendak menganugerahkan tanah tersebut kepada pemain Pasukan Bola Sepak Perak.

Petani-petani kecil kawasan Tanah Hitam ini telah hadir dalam satu mesyuarat yang diadakan secara bersama dengan Ketua Penolongan Pegawai Daerah Kinta dan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak pada 24 September 2020, untuk membincangkan isu tanah yang dihadapi mereka. Dalam mesyuarat tersebut, pihak Pejabat Daerah mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk menyewa tanah di kawasan padang ragut di belakang Kampung Baru Changkat Kinding atau tanah yang berdekatan dengan Kampung Kolam di Tanjung Rambutan kepada petani-petani kecil ini dengan kadar sewa RM40 seekar setahun. Petani-petani kecil Tanah Hitam memberi maklum balas bahawa kawasan yang dicadangkan itu sangat jauh dari kawasan mereka sekarang dan tanah di situ tidak sesuai untuk menanam sayur. Selain itu, wujudnya masalah bekalan air di kawasan yang dicadangkan itu.

Petani-petani kawasan Tanah Hitam telah memaklumkan kepada pihak Kerajaan Negeri Perak bahawa wujudnya sebidang tanah kerajaan di belakang Kampung Baru Tanah Hitam dengan keluasan sebesar 48 ekar. Terdapat dua orang pekebun dan seorang penternak kambing sedang menggunakan tanah tersebut. Oleh itu, petani-petani kawasan Tanah Hitam mengemukakan permohonan untuk menggunakan tanah di lokasi tersebut pada bulan Oktober 2020. Mereka memohon supaya diberikan tanah seluas 3 ekar bagi setiap orang petani. Petani-petani ini menyatakan bahawa mereka sedia membayar premium tanah dan cukai taksiran. Namun, sehingga sekarang, setelah berlalunya setahun setengah, masih tiada apa-apa jawapan daripada pihak Kerajaan Negeri Perak tentang tanah gantian yang dijanjikan. Sebaliknya, petani-petani kecil ini terus berdepan dengan ancaman pengusiran paksa daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.

Petani-petani kawasan Tanah Hitam telah menerima notis pengusiran terbaru pada bulan Mac 2022, dan sekarang ini menghadapi ancaman diusir bila-bila masa. Petani-petani ini menggesa pada Kerajaan Negeri Perak supaya jangan mengusir mereka sebelum menunaikan janji memberi tanah gantian kepada mereka.

Turut hadir semasa penyerahan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 20 April 2022 ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Chong Yee Shan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan melalui perbincangan,” kata Dr. Jeyakumar. “Jangan usir dulu! Mana dia janji tanah gantian itu? Jika mengusir petani-petani ini tanpa sebarang tanah gantian, bukan sahaja menyusahkan petani-petani yang hilang punca rezeki, tetapi juga menyusahkan rakyat kerana kekurangan sumber bekalan makanan.”

“Saya berharap kerajaan jangan hanya pentingkan keuntungan jangka masa pendek. Kita juga harus melihat pada jaminan makanan jangka masa panjang. Kerajaan harus memberi perhatian kepada pertanian dan petani-petani yang mempunyai banyak kemahiran serta pengalaman dalam mengusahakan pengeluaran makanan,” tambah Dr. Jeyakumar.

One thought on “Petani Tanah Hitam mahu MB Perak tunaikan janji ganti tanah dan jangan usir sekarang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *