PUTRAJAYA – 5 APRIL 2022: Wakil daripada Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah mengadakan satu sesi perjumpaan pada hari ini bersama dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk membincangkan masalah penguatkuasaan undang-undang pekerjaan.

Rombongan PSM yang hadir dalam sesi perjumpaan pada hari ini terdiri daripada aktivis-aktivis buruh seperti M. Sivaranjani selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Pekerja PSM, Rani Rasiah selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras Meja Migran PSM, V. Selvam yang merupakan aktivis buruh yang berpengalaman dan Danial Hakeem selaku Penyelaras JPKK. Pihak JTKSM diwakili oleh Puan Suraiya selaku Timbalan Pengarah Bahagian Standard Perburuhan.

Wakil PSM telah membangkitkan pelbagai masalah yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang buruh di peringkat akar umbi. PSM akan menghantar senarai syarikat yang bermasalah (seperti tidak memberi surat tawaran perkhidmatan) kepada pihak JTKSM untuk disiasat. Pihak JTKSM pula berkata bahawa akan cuba memperluaskan representasi untuk pekerja dalam Mahkamah Buruh, supaya tidak terhad kepada wakil kesatuan sekerja sahaja. Pihak JTKSM juga menekankan bahawa akses kepada pejabat JTK untuk pekerja migran adalah sentiasa terbuka.

Kajian PSM tentang urusan dengan JTK

Antara aduan-aduan yang diterima oleh pusat-pusat khidmat PSM ialah isu yang berkaitan dengan pertikaian di tempat kerja. Oleh itu, aktivis-aktivis PSM telah mengendalikan banyak kes buruh. Berhubung dengan ini, terdapat banyak maklum balas aktivis PSM dan pekerja tentang pengalaman mereka ketika berurusan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di tempat yang berlainan. Adanya maklum balas yang positif di mana pegawai-pegawai JTK membantu dalam penyelesaian masalah, adanya juga pelbagai rungutan tentang masalah dan cabaran yang dihadapi.

PSM telah membuat satu kajian ringkas dalam kalangan aktivis-aktivis dan pekerja-pekerja tentang pengalaman mereka berurusan dengan JTK dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di lokasi berikut: Pulau Pinang (Georgetown dan Butterworth), Perak (Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Kampar dan Tapah), Selangor (Rawang, Pelabuhan Klang, Subang Jaya dan Bandar Baru Bangi), Kuala Lumpur, Pahang (Kuantan), Negri Sembilan (Seremban dan Kuala Pilah), dan Johor (Johor Bahru). Kajian ini merangkumi kes yang melibatkan golongan pekerja kurang mahir, berpendapatan rendah dan sederhana sahaja. Kajian ini telah mengenal pasti masalah-masalah yang wujud dengan sesetengah pegawai JTK, walaupun terdapat pegawai-pegawai JTK yang mesra dan bersikap professional. Oleh sebab tiada sebarang aduan yang diterima tentang pegawai JPP, maka hasil kajian tersebut lebih tertumpu kepada masalah yang dihadapi di JTK.

Realiti pekerja hari ini

Hanya 6% pekerja menyertai kesatuan

Adalah hampir mustahil untuk menubuhkan dan mengendalikan kesatuan sekerja di negara kita. Oleh yang demikian, kesedaran dalam kalangan majoriti pekerja tentang hak mereka di bawah undang-undang kerja adalah sangat kurang. Oleh sebab jumlah kesatuan sangat kurang, jumlah pegawai perhubungan perusahaan (IRO) juga sangat kurang. Jadi, pekerja yang menghadapi masalah di tempat kerja, tidak dapat bantuan nasihat tentang hak di bawah undang-undang kerja, di samping juga tiada bantuan untuk mengisi borang, membuat pengiraan tuntutan dan mendapat perwakilan pekerja semasa proses runding damai serta perbicaraan kes.

Pemeriksaan buruh dan penguatkuasaan undang-undang kerja amat lemah

Fakta ini diterima oleh pihak Kementerian Sumber Manusia dan dijustifikasikan dengan alasan bahawa jumlah pemeriksa buruh (labour inspector) sangat kurang. Adalah jelas bahawa kerajaan tidak memberi kepentingan kepada penguatkuasaan undang-undang yang akan melindungi pekerja. Keadaan ini mewujudkan satu suasana kerja di mana undang-undang kerja dilanggar secara meluas oleh majikan. Banyak kewajipan majikan dan banyak hak pekerja di bawah undang-undang dinafikan. Antara masalah yang dihadapi pekerja adalah seperti: lewat dibayar gaji, salah kiraan bayaran kerja lebih masa (OT), tidak diberi surat perlantikan, tidak diberi penyata gaji, serta tidak ada cuti tahunan, cuti sakit, cuti hari kelepasan am dan cuti rehat.

Lambakan bekalan tenaga kerja

Lambakan bekalan tenaga pekerja migran mewujudkan satu keadaan di mana daya persaingan pekerja tempatan hampir tidak ada. “Suka kerja, tak suka keluar” adalah satu respon majikan yang biasa kepada pekerja yang cuba membangkitkan keluhan mereka. Amalan hire dan fire adalah satu kebiasaan di banyak tempat kerja. Dalam keadaan ini, pekerja pada amnya takut hilang kerja dan terima sahaja terma-terma kerja walaupun ia melanggar undang-undang. Ramai pekerja hanya pergi ke JTK apabila berlaku krisis seperti dibuang kerja.

Realiti ini mewujudkan satu situasi di mana:

  • sebilangan besar majikan tidak patuh pada peruntukan Akta Kerja, seperti tidak membekalkan kontrak perkhidmatan, penyata gaji dan sebagainya;
  • pada amnya golongan pekerja tidak atau kurang sedar akan hak mereka sebagai pekerja, dan
  • pada amnya pekerja risau dan takut dibuang kerja jika membuat aduan atau mempersoalkan majikan tentang hak yang dinafikan.

Hasil analisis kajian PSM

Peranan JTK yang tidak sensitif pada realiti pekerja

Skop JTK terhad kepada penyelesaian masalah individu masing-masing

JTK hanya mengehadkan peranannya kepada penyelesaian masalah pekerja yang memfailkan tuntutan seperti pemberhentian tidak sah atau salah kira OT; dan tidak mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang kerja. Masalah individu dapat diselesaikan tetapi syarikat yang sama masih meneruskan amalan biasanya yang melanggar undang-undang kerja.

PSM mencadangkan supaya JTK menggunakan aduan daripada pekerja itu untuk menyiasat syarikat berkenaan, dan memberi amaran atau mendenda majikan yang didapati telah melanggar undang-undang kerja.

JTK tidak terima penglibatan aktivis

Aktivis yang bukan daripada kesatuan sekerja tidak dibenarkan masuk untuk membantu pekerja dalam keadaan di mana pekerja tidak dapat bantuan daripada pihak yang dibenarkan seperti wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). 

Semasa perbincangan ada pegawai yang tidak terima maklumbalas daripada ahli keluarga/aktivis yang cuba membantu dalam keadaan di mana pekerja ada masalah bahasa, atau masalah lain seperti kecacatan pendengaran.”

“Aktivis dimestikan mendapatkan surat kebenaran MTUC. Tetapi dasar MTUC pada masa ini adalah untuk tidak memberi surat kepada individu yang bukan ahli.

PSM mencadangkan supaya JTK menggunakan budi bicaranya dan membenarkan wakil pilihan pengadu untuk membantu dan mewakili pekerja dalam urusan dengan JTK.

Beban mendapatkan dokumen diletak pada pekerja

Semasa failkan aduan, pegawai minta serahkan penyata gaji dan surat perlantikan. Tetapi majikan tidak pernah memberi dokumen-dokumen ini kepada kami. Pegawai beritahu bahawa tidak dapat buat kes tanpa dokumen-dokumen ini.”

Kami buat aduan polis tentang perkara kami tidak diberi surat perlantikan tetapi pegawai tak terima aduan polis.”  

PSM mencadangkan bahawa iika pekerja tidak dapat menyerahkan dokumen kerana tidak pernah diberi oleh majikan, JTK harus mengambil tindakan terhadap majikan, dan mengarahkannya untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan.

Pekerja ditekan untuk membuktikan pembuangan kerja

“Saya telah dibuang kerja tiba-tiba tanpa notis. Tidak ada amaran sebelum itu. Apabila saya mahu failkan tuntutan faedah penamatan kerja, pegawai suruh saya sediakan bukti bahawa saya telah dibuang, seperti sebarang surat, whatsapp, gambar atau rakaman sebagai bukti. Memang tidak ada bukti-bukti yang diminta. Lepas itu saya disuruh untuk menghantar surat ‘status kerja’ kepada majikan.

“Aduan saya tidak diterima kerana saya tidak ada bukti notis pembuangan kerja. Bos hanya beritahu saya melalui telefon untuk tidak datang kerja lagi.”

“Saya terpaksa balik ke tempat kerja untuk berjumpa dengan majikan, dan buat lakonan dengan tanya majikan tentang kerja, dan rakamkan responnya sebagai bukti dibuang kerja.”

“Majikan cakap tidak ada kerja, dan suruh saya cari kerja lain. Tidak beri notis. Saya telah failkan tuntutan, tetapi apabila dipanggil untuk rundingan, majikan mengadu kepada pegawai JTK bahawa saya telah tiba-tiba berhenti kerja dan merugikannya.”

Cadangan daripada PSM adalah, pekerja yang dibuang kerja secara tidak sah tidak harus dikehendaki untuk mencari/mereka bukti akibat kegagalan majikan mematuhi undang-undang kerja. Pegawai JTK harus menelefon majikan dan tanya sama ada pekerja tersebut dibuang kerja, dan jiakalau ya, maka suruh majikan keluarkan notis. Kalau tidak, suruh dia ambil balik pekerja berkenaan.

Cara pengendalian JTK yang menyusahkan pekerja dan membebankan pekerja dengan kos yang tinggi

 “Pengadu dikehendaki datang ke JTK dua kali untuk fail kes sahaja, di mana sekali untuk mengambil borang dan balik untuk isikanya, dan sekali lagi pada hari lain untuk serahkan borang lengkap. Ini menyusahkan pekerja yang masih kerja kerana mereka kena dapatkan kebenaran keluar dua kali daripada majikan.”

“Tidak cukup pegawai berbilang kaum untuk menyenangkan komunikasi dalam bahasa lain.”

“Disebabkan saya tidak dibantu oleh JTK untuk membuat kiraan, saya terpaksa jumpa satu peguam untuk membuat kiraan OT yang kurang dibayar oleh majikan, dan saya bayar sejumlah RM700 kepada peguam itu.”

‘Pekerja dikehendaki membeli dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).”

“Mahal untuk merayu keputusan Mahkamah Buruh. Pekerja yang ingin merayu keputusan Mahkamah Buruh, kena bayar RM400 sebagai deposit, dan RM370 untuk membeli dokumen alasan penghakiman (grounds of judgment). Tetapi kerajaan kata untuk perkhidmatan JTK dan JPP tidak ada kos’.

PSM mencadangkan bahawa JTK harus mengkaji bagaimana elak daripada mengenakan kos ke atas pekerja, dan bagaimana pengadu dapat dibantu.

Cara pengendalaian kes tidak seragam

“Cara kes mahkamah dikendalikan adalah mengikut pegawai pengerusi (presiding officer) masing-masing. Ini menyusahkan wakil pekerja dalam persediaan kes.

“Ada perbezaan antara pegawai yang menerima aduan dan yang mengendalikan aduan. Sebagai contoh. pegawai yang menerima kes menasihati pekerja untuk menghantar surat ‘Status Kerja’ kepada majikan untuk mendapat respon daripada majikan yang memberhentikan pekerja tanpa notis. Tetapi ini tidak diterima oleh presiding officer.”

PSM mencadangkan supaya JTK menyeragamkan prosedur pengendalian kes.

Masalah dengan sikap pegawai JTK

Kajian PSM juga mendapati wujudnya masalah etika kerja seperti kekurangan “kesaksamaan dan kerahsiaan” (Impartiality & Confidentiality) dalam kalangan segelintir pegawai JTK. Antara aduan yang diterima dan cadangan daripada PSM untuk penambahbaikan adalah:

1. Pegawai tidak neutral

“Semasa rundingan, pegawai suruh pekerja menerima tawaran majikan yang sangat rendah berbanding dengan tuntutan.” 

“Pegawai berpihak kepada majikan dalam keadaan di mana majikan jelas melanggar undang-undang kerja seperti membayar gaji lewat untuk beberapa bulan,… dan menasihati pekerja untuk terus bekerja atau berhenti kerja.”

“Pegawai tangguhkan kes lebih 3 kali dengan senang menerima alasan syarikat.”

“Ada pekerja yang mengadu kepada Pengarah Negeri dan memohon ganti pegawai yang secara terbuka berat sebelah, tetapi permintaan ditolak dengan alasan, i) ia bukan SOP jabatan, ii) pekerja boleh dapatkan peguam untuk mewakilinya, dan iii) jika kalah, dan tidak puas hati, pekerja boleh rayu di Mahkamah Tinggi. Pekerja ini telah kalah walaupun diwakili oleh seorang peguam secara pro bono, di mana peguam sendiri mendapati pegawai itu berat sebelah. Dan pekerja enggan buat rayuan di Mahkamah Tinggi kerana tidak mampu bayar kos berkaitan.”

“Ada pegawai yang sedia memberi banyak ruang untuk melayan majikan, dan tidak pedulikan undang-undang kerja. Seorang pekerja telah failkan tuntutan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan untuk pemberhentian terancang (constructive dismissal) berkaitan gangguan seksual di tempat kerja. Syarikat pula telah failkan tuntutan untuk bayaran ganti notis 2 bulan terhadap pekerja itu. Pegawai masih belum batalkan kes majikan, walaupun undang-undang tidak benarkan pemfailan ‘bertindih’ ini.”  

2. Pegawai tidak rahsiakan identiti pengadu yang membuat pertanyaan atau aduan

“Saya buat aduan tentang syarikat tetapi pegawai JTK memberitahu nama saya kepada majikan dan saya diberi amaran oleh majikan.”

“Pegawai JTK tip off majikan 4 orang pekerja yang membuat pertanyaan tentang cuti umum dan cuti perayaan. 4 orang pekerja itu dibuang oleh syarikat.”

3. Pegawai ugut dan intimidasi pekerja

“Dua pegawai mengintimidasi pengadu-pengadu untuk menarik balik tuntutan mereka terhadap syarikat. Dan seterusnya mengugut bahawa JTK akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja yang mengetuai dan mewakili lebih kurang 40 orang pengadu. Lepas itu cara pegawai yang mengadili kes di mahkamah buruh – terang-terangan mengugut, menganggu dan membuli saksi. Apabila wakil kesatuan/IRO membantah kelakuan pegawai, dia diarahkan keluar. Akibat kelakuan pegawai ini, jumlah pengadu turun dari 40 orang kepada hanya 5 orang.  Bukan saja dalam kes ini, tetapi pegawai tidak benarkan IRO untuk mewakili pekerja di Mahkamah Buruh dalam 3 kes lain’.

 4. Pegawai mematahkan semangat pekerja memfailkan tuntutan pada peringkat menerima aduan 

“Pegawai mematahkan semangat (discourage) pekerja membuat aduan/tuntutan dengan mengatakan bahawa tiada kes, tak boleh menang, nanti kena bayar kos.”

“Pegawai suruh pekerja buat sumpah ‘potong ayam’ sebagai bukti tuntutannya berasas.”

‘Pegawai mematahkan semangat pekerja yang memfailkan tuntutan untuk OT 1 jam sehari kerna kerja 9 jam tanpa clear break untuk masa makan. Pegawai buat interpretasi undang-undang pada masa menerima aduan dengan mendakwa bahawa undang-undang membenarkan 48 jam untuk 6 hari dalam seminggu.

PSM mencadangkan supaya:

  • Mengadakan latihan kepada pegawai JTK untuk menyedarkan mereka tentang peranan mereka, dan tentang etika kerja.
  • Mengadakan peti cadangan untuk orang awam, dan menyiasat serta mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima.

Saranan PSM kepada Kementerian Sumber Manusia:

1. Beri keutamaan kepada penguatkuasaan Akta Kerja 1955.

2. Pelanggaran undang-undang dengan kerja 7 hari seminggu, 12 jam sehari dan kerja lebih masa (OT) secara paksaan harus dihentikan. Pekerja tidak harus dipaksa untuk mencari pekerja gentian sendiri jika mengambil cuti.

3. Surat perlantikan dan kontrak perkhidmatan, penyata gaji dan surat penamatan kerja wajib diberikan oleh majikan. JTK harus menguatkuasakan peraturan ini apabila memproses aduan pekerja dengan menuntut dokumen-dokumen ini daripada majikan dan bukannya pekerja. 

4. Membenarkan representasi oleh wakil pilihan pengadu di JTK, seperti yang sudah diamalkan di JPP sekarang.

5. Akese kepada JTK untuk pekerja migran mendapatkan pembelaan harus ditentukan dan diamalkan di semua JTK.

6. Perjanjian persetujuan harus dilaksanakan berasaskan terma-terma perjanjian, termasuk kuantum bayaran dan tempoh masa pelaksanaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *