2 orang demonstran ditembak mati dan beberapa orang lagi cedera di kabupaten Yahukimo, provinsi Papua, pada 15 Mac 2022, apabila pihak berkuasa Indonesia menggunakan kekerasan untuk menyuraikan protes rakyat yang membantah rancangan kerajaan Indonesia untuk memecahkan wilayah Papua Barat dengan lebih lanjut lagi.

Insiden terbaru ini merupakan tindakan penyuraian protes dengan keganasan yang paling teruk sejak gelombang protes Papua Barat pada tahun 2019. Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam penindasan secara ganas oleh pihak berkuasa Indonesia terhadap protes rakyat Papua Barat pada bulan Ogos-September 2019, yang tercetus untuk melawan rasisme terhadap warga Papua.

Sejak tahun lalu, kerajaan Indonesia telah merancang untuk memecahkan wilayah Papua Barat kepada 6 provinsi baharu, dengan alasan perlunya pembaharuan pentadbiran kerana keluasan Papua yang besar dan hendak mempercepatkan pembangunan di situ. Wilayah Papua Barat telah pun dipecahkan kepada dua provinsi pada tahun 2003, iaitu provinsi Papua (yang beribu kota di Jayapura) dan provinsi Papua Barat (yang beribu kota di Manokwari). Tito Karnavian, Menteri Dalam Negeri Indonesia, telah mengumumkan pada bulan April 2021 tentang rancangan memecahkan seluruh wilayah Papua Barat kepada Papua Barat Daya, Papua Barat, Papua Tengah, Pegunungan Tengah, Papua Selatan, dan Papua Tabi Saireri.

Pemecahan wilayah ini dianggap oleh ramai warga Papua sebagai usaha kerajaan pusat Indonesia untuk memperketatkan kawalan ke atas Papua Barat yang semakin kuat semangat menuntut hak menentukan nasib sendiri dalam kalangan masyarakat orang asal di situ.

Protes telah tercetus di banyak tempat di wilayah Papua, termasuk Jayapura, Wamena dan Paniai. Pelajar-pelajar Papua di Jakarta juga mengadakan aksi protes, tetapi ditindas oleh pihak berkuasa dengan 90 orang ditangkap dalam protes pada 11 Mac 2021.

Rakyat Papua Barat telah dinafikan hak untuk menentukan nasib sendiri sejak wilayah tersebut diilhakkan oleh Indonesia pada tahun 1960-an. Sepanjang enam dekad yang lalu, dianggarkan sebanyak 500,000 orang warga Papua telah dibunuh oleh tentera Indonesia hanya kerana memperjuangkan pemerintahan sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.