20190926 - Misael Noel - EPA - merlin_161342355_7e54037c-6056-4ae4-ad7e-43c48d9618e5-jumbo.jpg
(foto oleh Misael Noel/EPA)

Papua Barat masih dilanda dengan protes dan tindakan keganasan daripada pihak berkuasa Indonesia beberapa hari yang lalu, dengan ramai orang mati dan cedera.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid, menyifatkan 23 September 2019 sebagai “salah satu hari yang paling berdarah dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini di Papua”. Angka kematian yang diumumkan oleh pihak berkuasa Indonesia ialah 33 orang telah mati di provinsi Papua dalam konflik keganasan di situ beberapa hari lepas, dengan 29 orang mati di bandar Wanema dan 4 orang lagi di ibu kota provinsi Papua, Jayapura.

Amnesty International telah menyeru supaya pihak penyiasat mengumumkan hasil siasatan terhadap peristiwa keganasan yang berlaku, dan mereka yang terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia perlu dipertanggungjawabkan dalam perbicaraan yang adil.

Pada 23 September 2019, tentera Indonesia menggunakan keganasan untuk mematahkan protes orang Papua di bandar Wamena, dengan bangunan kerajaan di situ dibakar. Protes dan pertempuran di Jayapura tercetus antara pelajar Papua dengan pihak berkuasa dan kumpulan militia yang pro-tentera.

Kerajaan pusat Indonesia telah menyekat akses internet di sebahagian tempat di provinsi Papua, kononnya untuk menghalang penyebaran berita palsu, tetapi ini telah menjadikan pengesahan terhadap peristiwa keganasan susah dilakukan dan juga menyukarkan usaha masyarakat Papua untuk mengaturkan aksi protes.

Kerajaan Indonesia juga menyekat kemasukan wartawan dari luar negara ke Papua Barat, menyebabkan banyak maklumat yang diumumkan pihak berkuasa dan informasi disebarkan di laman web susah dikenalpasti kesahihannya.

Berikutan kebangkitan masyarakat Papua yang hebat pada bulan Ogos 2019 yang dicetuskan oleh peristiwa rasisme terhadap orang Papua, Kerajaan Indonesia mempertingkatkan kawalan keselamatan ke atas seluruh Papua Barat (iaitu wilayah yang meliputi provinsi Papua dan provinsi Papua Barat). Aksi protes orang Papua menentang kezaliman pemerintahan pusat Indonesia telah melumpuhkan Papua Barat dan seruan untuk kemerdekaan Papua Barat semakin lantang.

Reaksi tentera Indonesia yang bertindak secara ganas pula nampaknya sedang menjadikan Papua Barat medan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang asal Papua. Ramai orang telah ditahan polis, termasuk pelajar Papua dan aktivis yang menyokong perjuangan orang Papua yang berada di kawasan di luar Papua Barat. Antara yang masih ditahan kerana menyokong perjuangan Papua Barat ialah Surya Anta Ginting selaku jurucakap Fron Rakyat Indonesia untuk Papua Barat (FRI-West Papua). Sementera itu, Veronica Koman, seorang peguam hak asasi manusia yang menyokong perjuangan Papua Barat, sedang diburu oleh Kerajaan Indonesia dengan tuduhan bahawa beliau menghasut untuk rusuhan di Papua Barat.

20190926 - 70865425_10162382248265010_1062117933100040192_n.jpg

Walaupun menghadapi penindasan yang hebat daripada pihak berkuasa, masyarakat orang asal Papua masih bertekad dan berjuang bersungguh-sungguh untuk menentukan nasib mereka sendiri. Masyarakat Papua Barat menyeru untuk campurtangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan kekejaman pihak berkuasa Indonesia terhadap orang Papua, dan mengadakan referendum yang bebas bagi rakyat Papua Barat menentukan nasib masa hadapan mereka secara demokratik.

Terdapat juga sebahagian pelajar Indonesia yang terlibat dalam gelombang aksi protes menentang undang-undang zalim baru-baru ini menyuarakan solidariti mereka untuk rakyat Papua Barat.

Negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau Asia-Pasifik seperti Australia, telah lama berdiam tentang isu penindasan terhadap masyarakat orang asal di Papua Barat, kerana kuasa-kuasa besar ini masih senang hati dengan peranan kerajaan pusat Indonesia yang menjaga kepentingan pelaburan kapitalis mereka di Papua Barat. Jika perkara yang sama berlaku di negara yang tidak disukai kuasa-kuasa besar ini, sudah pasti bersiap sedia dengan bala tentera untuk mencampurtangan atas nama “kemanusiaan” atau “hak asasi manusia”. Namun, banyak negara termasuk negara-negara di Asia Tenggara membisu dalam isu Papua Barat. Masyarakat orang asal Papua pastinya akan tertanya-tanya, berapa ramai lagikah orang di kalangan mereka perlu mati sebelum dunia dapat membuka mata terhadap kesengsaraan dan penindasan yang sedang dihadapi mereka?

2 thoughts on “Berapa banyak lagi nyawa perlu hilang sebelum dunia buka mata terhadap penindasan di Papua Barat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *