oleh Biro Antarabangsa PSM

60 tahun dahulu, pada 1 Disember 1961, bendera kebangsaan Papua Barat, bendera Bintang Kejora, telah dikibarkan untuk kali pertamanya di bumi Papua Barat. Bendera ini melambangkan impuan warga Papua untuk sebuah negara Papua Barat yang merdeka.

Sejak bendera ini dikibarkan untuk kali pertamanya 60 tahun dahulu, rakyat Papua Barat terus dinafikan hak asas mereka untuk menentukan nasib mereka sendiri. Ramai warga Papua Barat telah melibatkan diri dalam perjuangan yang belum selesai untuk menentukan nasib sendiri, melalui pelbagai aksi, termasuklah mengibarkan bendera Bintang Kejora. Sejak pengambilalihan Papua Barat oleh Indonesia, kerajaan Indonesia telah menganggap pengibaran bendera Bintang Kejora sebagai sesuatu tindakan yang haram di sisi undang-undang, dan sesiapa yang berbuat demikian berisiko untuk dipenjarakan dan dihukum oleh pihak berkuasa. Walaupun menghadapi gangguan yang berterusan, rakyat Papua Barat telah mengekalkan amalan tahunan mereka untuk menaikkan bendera Bintang Kejora pada 1 Disember.

Tidak lama selepas bendera Bintang Kejora dinaikkan untuk kali pertamanya pada tahun 1961, impuan warga Papua untuk sebuah negara Papua Barat yang merdeka telah dihancurkan oleh Perjanjian New York 1962. Perjanjian yang menyerahkan kuasa Papua Barat kepada Indonesia daripada kerajaan penjajah Belanda tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan Perang Dingin Amerika Syarikat untuk menjauhkan Indonesia daripada pengaruh Kesatuan Soviet. Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa perjanjian tersebut ditandatangani oleh Belanda dan Indonesia di bawah seliaan Amerika Syarikat, dan tiadanya perwakilan daripada masyarakat orang asal Papua yang terlibat dalam proses itu. Pada tahun 1969, “Penentuan Pendapat Rakyat” (Act of Free Choice) menjadi “Pemaksaan Pendapat Rakyat” (Act of No Choice), dengan 1025 orang “wakil” dipilih oleh pihak tentera untuk mengundi dalam satu “pungutan suara” yang diadakan di bawah muncung senapang pemerintahan kediktatoran Suharto, di mana ia menggabungkan Papua Barat ke dalam Indonesia secara rasminya. Pengilhakan dan penjajahan Papua Barat merupakan hasil daripada campurtangan kuasa imperialis untuk melindungi kepentingan modal antarabangsa di wilayah yang kaya dengan sumber alam ini.

Sejak pengilhakan Papua Barat oleh Indonesia, adalah dianggarkan sebanyak 500,000 orang warga Papua telah dibunuh oleh tentera Indonesia yang menindas usaha mereka untuk menuntut pemerintahan sendiri. Rakyat Papua Barat telah mengalami penaklukan yang ganas dan sebuah masyarakat yang berasaskan ketakutan untuk berdekad-dekad lamanya. Tentera dan polis Indonesia telah menindas warga Papua secara sistematik dengan cara mengapi-apikan sentimen perkauman. Papua Barat telah melalui sejarah penyeksaan, pembunuhan di luar undang-undang dan pengusiran secara paksa yang berpanjangan. Pada tahun 2019, satu gelombang demonstrasi yang hebat tercetus di Papua Barat sebagai reaksi terhadap serangan polis dan kelompok perusuh berhaluan kanan yang rasis terhadap pelajar-pelajar Papua. Protes tersebut telah disambut dengan satu lagi gelombang penindasan yang zalim daripada pihak berkuasa.

Sejak tahun 1960-an lagi, kerajaan Indonesia telah bertindak sebagai pelindung kepada kepentingan modal asing di Papua Barat. Freeport-McMoRan, sebuah syarikat perlombongan gergasi Amerika Syarikat, telah menandatangani persetujuan dengan kerajaan Indonesia pada tahun 1967 untuk membolehkannya melombong emas dan tembaga di Papua Barat. Industri ekstratif di wilayah yang kaya dengan sumber alam ini, yang disokong oleh tentera Indonesia yang represif dan kuasa imperialis, tidak memanfaatkan masyarakat orang asal di Papua Barat, malah meninggalkan parut yang berkekalan pada mereka kerana perampasan tanah yang berterusan dan pembersihan etnik secara sistematik.

Ramai warga Papua dan warga Indonesia yang menyokong perjuangan Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri telah dilayan dengan penangkapan sewenang-wenangnya, penahanan dan pendakwaan di bawah undang-undang yang menindas selama ini. Menurut laporan  Papuans Behind Bars pada tahun 2021, 418 orang individu telah ditangkap dalam tempoh setahun dari bulan Oktober 2020 hingga September 2021, dengan sebanyak 106 orang masih dalam tahanan, dengan majoritinya telah didakwa dengan pertuduhan menderhaka oleh pihak berkuasa Indonesia.

Walaupun hidup di bawah keadaan yang menindas, rakyat Papua masih berjaya dalam mengumpulkan sebanyak 1.8 juta tandatangan untuk petisyen yang menuntut referendum kemerdekaan, di mana mereka menyerahkannya kepada Jawatakuasa Khas Penyahjajahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2017 dan kepada Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2019. Namun begitu, kerajaan Indonesia masih menolak tuntutan rakyat Papua untuk mengadakan satu referendum yang sah dan berbeza dengan “Pemaksaan Pendapat Rakyat” tahun 1969.  

Bersempena dengan ulangtahun ke-60 pengibaran bendera Bintang Kejora, kami ingin menegaskan sokongan kami kepada perjuangan rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri.

Kami menyeru pada kerajaan Indonesia untuk:

  1. Mengiktiraf dan menghormati hak rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri, termasuk mengadakan referendum untuk menentukan masa hadapan Papua Barat;
  2. Menghentikan penindasan terhadap rakyat Papua Barat yang menyuarakan tuntutan mereka untuk menentukan nasib sendiri, termasuk mereka yang mengibarkan bendera Bintang Kejora;
  3. Membebaskan semua tahanan politik dari Papua Barat dan mereka yang menyokong perjuangan Papua untuk menentukan nasib sendiri;
  4. Melindungi hak untuk kebebasan maklumat, kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan pemikiran bagi rakyat Papua;
  5. Memperbaiki kehidupan rakyat Papua Barat dengan meningkatkan perlindungan sosial;
  6. Menghapuskan rasisme terhadap rakyat Papua Barat.

Kami juga menolak sebarang bentuk campurtangan kuasa imperialis dalam proses rakyat Papua Barat menentukan nasib sendiri.

Kami menyeru pada rakyat seluruh dunia untuk mempertingkatkan solidariti kita bersama perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri.

==========

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Choo Chon Kai dan Amanda Shweeta Louis.

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Koordinator Biro Antarabangsa PSM. Amanda Louis ialah Koordinator Kumpulan Kerja Papua Barat Biro Antarabangsa PSM.

Kenyataan asal dalam Bahasa Inggeris

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Biar bendera Bintang Kejora berkibar: Solidariti bersama perjuangan Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *