oleh Sivarajan Arumugam

Wakil daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) telah hadir ke Parlimen pada pagi ini (17 Mac 2022) untuk mengutarakan pelbagai permasalahan yang masih gagal diselesaikan oleh Kerajaan sekian lama. PeSAWAH membawa suara daripada para pesawah padi, khususnya mereka dari Kedah, negeri jelapang padi, kepada perhatian ahli-ahli parlimen yang sedang bersidang.

Parti Sosialis Malysia (PSM) juga bersama semasa menerima memorandum daripada wakil PeSAWAH ini, dan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan oleh para petani kita yang bertungkus lumus untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat stok beras mencukupi.

Antara isu amat serius yang dibantah oleh wakil pesawah ialah rancangan untuk mengambil alih tanah sawah daripada petani kecil untuk diuruskan oleh korporat besar. Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ini akan memperlihatkan industri padi dan beras ini diambil alih secara berperingkat oleh syarikat-syarikat besar yang akan menguruskan sawah seperti ladang komersial.

Ladang-ladang padi ini akan mewujudkan monopoli korporat secara total dalam sektor bekalan padi dan beras negara yang merupakan isu keselamatan negara (national security). Sehingga kini, kami difahamkan bahawa 19 buah syarikat peneraju sedang melobi Kerajaan untuk melaksanakan projek ini. Projek ini akan membunuh petani-petani kecil, petani-petani muda dan syarikat-syarikat kecil apabila korporat besar menawarkan harga sewa tanah yang tinggi kepada petani kecil, sekaligus meminggirkan mereka.

Perjanjian dengan korporat besar ini juga mungkin menyebabkan tanah petani tergadai jika perjanjian tidak diteliti. Pelaksanaan penghasilan padi secara industri perladangan ini juga akan menyebabkan penggunaan racun perosak yang berleluasa kerana ianya dimonopoli oleh pembekal benih dan racun multinasional. Sepertimana yang berlaku dalam ladang kelapa sawit, penggunaan racun untuk jangka masa panjang akan menjadikan kualiti tanah tersebut tidak lagi sesuai untuk pertanian.

Korporat besar yang melibatkan diri dalam Skim SMART SBB ini juga bermotifkan keuntungan besar dan cepat, bukannya seperti para petani tempatan yang menanam padi secara turun-temurun. Jadi, mereka akan meninggalkan bisnes ini jika ia tidak membawa hasil yang dijangkakan. Apakah yang akan berlaku selepas itu, pada masa tiada lagi generasi petani muda selepas mereka “dibunuh” oleh pelaksanaan skim sedemikian?

PSM turut bersama PeSAWAH dalam membantah usaha Kerajaan memperkenalkan SMART SBB ini yang jelas akan hanya menguntungkan beberapa buah syarikat kroni dan memusnahkan kehidupan para petani kita.

Antara isu dan saranan lain daripada para petani adalah seperti berikut:

  • Menuntut agar sasaran sara diri (SSL) beras ditingkatkan ke 100% dalam setiap Rancangan Malaysia demi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara melalui penghasilan bekalan makanan dalam negeri tanpa bergantung kepada bekalan import.
  • Hentikan segera projek Smart SBB, dan galakkan pertanian berkelompok (collective farming) untuk kongsikan modal dan kurangkan kos.
  • Jangan sertai konvensyen antarabangsa UPOV 1991 dan hentikan penggubalan Rang Undang-undang Kualiti Benih Tanaman yang akan memberikan kuasa kepada pihak syarikat swasta untuk mendaftarkan hak milik penjenisan benih dan menghalang usaha pengumpulan dan pengkongsian benih dalam kalangan pesawah kecil. Sebaliknya perkasakan hak petani untuk menyimpan, memproses, berkongsi dan menjual benih secara bukan komersial.
  • Subsidi input Kerajaan haruslah disalurkan terus kepada petani, bukannya melalui syarikat-syarikat benih dan racun yang terpilih sahaja.
  • Salurkan bantuan wang ehsan kepada petani yang menunggu padi dituai.
  • Potongan pemutuan padi tidak memlebihi 17%.
  • Wujudkan 3 gred padi dengan harga minimum terjamin bagi gred masing-masing.
  • Kembalikan belanjawan infrastruktur dan penyelenggaraan untuk membolehkan penyelenggaraan dan pembaikpulihan saliran air dan kunci air.
  • Tambahkan pegawai dalam unit lapangan kawalan penyakit dan perosak.
  • Wujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara.
  • Hentikan monopoli beras dan batalkan konsesi kepada BERNAS.
  • Utamakan beras tempatan untuk penyediaan simpanan stok negara.
  • Wujudkan kuota pembelian padi oleh kilang-kilang beras berdasarkan kapasiti kilang masing-masing untuk memastikan keadilan dan persaingan sihat antara kilang-kilang pemprosesan padi yang kecil.
  • Kerajaan harus tegas menghalang pertukaran syarat guna tanah pertanian padi kepada status bukan pertanian, yang kini dilakukan dengan sewenang-wenangya.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *