Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) menerbitkan laporan terbarunya, “Perubahan Iklim 2022: Impak, Adaptasi dan Kerentanan”, dengan amaran yang disifatkan oleh sesetengah ahli sains sebagai “paling suram setakat ini” mengenai kerosakan iklim.

Laporan “Perubahan Iklim 2022: Impak, Adaptasi dan Kerentanan” disediakan oleh Kumpulan Kerja II (WGII) bagi Laporan Penilaian Keenam (AR6) IPCC yang terdiri daripada 270 orang penulis dari 67 buah negara, di samping mendapat sumbangan penulisan daripada 675 orang pakar. Laporan ini telah memetik daripada lebih 34,000 sumber rujukan, dan menerima sebanyak 62,428 ulasan daripada pakar dan kerajaan.  Laporan Ringkas untuk Pembuat Dasar bagi laporan ini telah diluluskan pada 27 Feburari 2022 oleh 195 kerajaan anggota IPCC melalui satu sesi secara atas talian.

Ahli-ahli sains yang mengarang laporan ini menyatakan bahawa perubahan iklim yang dicetuskan oleh manusia sedang menyebabkan gangguan yang berbahaya dan meluas kepada alam semula jadi dan menjejaskan kehidupan berbilion-bilion orang rakyat di seluruh dunia, walaupun terdapat usaha untuk mengurangkan risikonya. Rakyat dan ekosistem yang paling kurang kemampuan untuk mengatasinya telah terjejas paling teruk.

“Atlas penderitaan manusia”

António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), berkata dalam sidang akhbar pelancaran laporan IPCC terbaru ini, “Saya telah membaca banyak laporan saintifik pada zaman saya, tetapi tiadanya yang seperti ini. Laporan IPCC hari ini ialah sebuah atlas penderitaan manusia dan penunjuk keburukan yang menjahanamkan untuk kepimpinan iklim yang gagal.”

“Laporan ini merupakan amaran yang teruk tentang kesan kegagalan untuk bertindak,” kata Hoesung Lee, Pengerusi IPCC. “Ia menunjukkan bahawa perubahan iklim ialah ancaman besar dan semakin meningkat terhadap kesejahteraan kita dan sebuah planet yang sihat. Tindakan kita hari ini akan membentuk cara bagaimana rakyat menyesuaikan diri dan respon alam semula jadi terhadap risiko iklim yang semakin meningkat.”

Dunia kita bakal menghadapi pelbagai bahaya iklim yang tidak boleh dielakkan sepanjang dua dekad akan datang dengan pemanasan global 1.5°C. Walaupun hanya melepasi tahap pemanasan ini sementara waktu, ia akan mengakibatkan kesan tambahan yang teruk, dengan sesetengahnya tidak boleh dipulihkan. Risiko untuk masyarakat juga akan meningkat, termasuk ancaman kepada infrastruktur dan petempatan di kawasan persisiran pantai yang rendah.

Peningkatan dalam gelombang haba, kemarau dan banjir sudah melepasi ambang yang boleh diterima tumbuhan dan haiwan, mendorong kematian besar-besaran dalam spesies seperti pokok dan batu karang. Cuaca yang ekstrem ini sedang berlaku serentak, menyebabkan impak yang meluas yang semakin sukar untuk dikendalikan. Ini mendedahkan jutaan orang kepada ketidakjaminan makanan dan air, khususnya di Afrika, Asia, Amerika Tengah, Amerika Selatan, pulau-pulau kecil dan Artik.

“Langkah separuh masak bukan lagi satu pilihan!” – Tindakan segera diperlukan untuk menangani risiko yang semakin meningkat

“Laporan ini mengiktiraf saling kebergantungan antara iklim, biodiversiti dan manusia serta mengintegrasikan sains semula jadi, sosial dan ekonomi dengan lebih kuat lagi berbanding penilaian IPCC sebelum ini,” kata Hoesung Lee. “Ia menekankan kepentingan untuk tindakan segera dan lebih bercita-cita tinggi demi menangani risiko iklim. Langkah separuh masak bukan lagi satu pilihan.”

Untuk mengelakkan kehilangan nyawa, biodiversiti dan infrakstruktur yang semakin meningkat, tindakan yang bercita-cita tinggi dan dipercepatkan adalah diperlukan untuk mengadaptasi kepada perubahan iklim, pada masa yang sama dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang cepat dan mendalam. Laporan terbaru IPCC mendapati bahawa, setakat ini, kemajuan dalam adaptasi adalah tidak seimbang dan wujudnya jurang yang semakin meningkat antara tindakan yang diambil dan apa yang diperlukan untuk menangani risiko yang meningkat. Jurang ini adalah paling besar dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Laporan IPCC terbaru telah memberikan pencerahan baharu tentang potensi alam semula jadi, bukan sahaja untuk mengurangkan risiko perubahan iklim, tetapi juga untuk memperbaiki kehidupan rakyat. Memang terdapat pilihan untuk menyesuaikan diri dengan iklim yang berubah.  

Hans-Otto Pörtner, Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja II (WGII) IPCC, berkata, “Ekosistem yang sihat adalah lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan memberikan khidmat kritikal-hidup seperti makanan dan air bersih. Dengan memulihkan ekosistem yang merosot dan memulihara secara berkesan dan saksama 30 hingga 50 peratus habitat tanah, air tawar dan lautan Bumi, masyarakat boleh mendapat manfaat daripada kapasiti alam semula jadi untuk menyerap dan menyimpan karbon, dan kita boleh mempercepatkan kemajuan menuju pembangunan mampan, tetapi sokongan kewangan dan politik yang mencukupi adalah penting.”

Ahli-ahli sains juga menegaskan bahawa perubahan iklim berinteraksi dengan trend global seperti penggunaan sumber-sumber semula jadi yang tidak mampan, urbanisasi yang meningkat, ketidakadilan sosial, kerugian dan kerosakan daripada peristiwa ekstrem dan pandemik, sedang menjejaskan pembangunan masa hadapan.

“Penilaian kita jelas menunjukkan bahawa menangani semua cabaran yang berbeza ini melibatkan setiap orang – kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil – bekerjasama untuk mengutamakan pengurangan risiko, serta ekuiti dan keadilan, dalam membuat keputusan dan pelaburan,” kata Debra Roberts, seorang lagi Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja II IPCC. “Dengan cara ini, kepentingan, nilai dan pandangan dunia yang berbeza boleh diselaraskan. Dengan menghimpunkan pengetahuan sains dan teknologi serta ilmu masyarakat orang asal dan tempatan, solusi akan lebih berkesan. Kegagalan untuk mencapai pembangunan berdaya tahan iklim dan mampan akan mengakibatkan masa hadapan yang tidak optimum untuk manusia dan alam semula jadi.”

Laporan IPCC terbaru juga memberikan penilaian terperinci tentang impak perubahan iklim, risiko dan adaptasi di kawasan bandar, di mana sekarang ini dihuni oleh separuh daripada populasi dunia. Kesihatan, nyawa dan kehidupan, serta harta benda dan infrastruktur yang penting, termasuk sistem tenaga dan pengangkutan, semakin terjejas teruknya oleh bahaya daripada gelombang haba, ribut, kemarau dan banjir serta perubahan yang berlaku secara perlahan, termasuk peningkatan paras laut.

“Urbanisasi yang meningkat dan perubahan iklim secara bersama mewujudkan risiko yang kompleks, khususnya untuk bandar-bandar yang sudah mengalami pertumbuhan bandar yang tidak terancang baik, tahap kemiskinan dan pengangguran yang tinggi, dan kekurangan perkhidmatan asas,” kata Debra Roberts. “Namun bandar-bandar juga memberikan peluang untuk tindakan iklim – bangunan hijau, bekalan air bersih dan tenaga boleh diperbaharui yang boleh dipercayai, serta sistem pengangkutan mampan yang menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar yang semuanya boleh membawa kepada masyarakat yang lebih inklusif dan lebih adil.”

Walau bagaimanapun, terdapat juga semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa adaptasi boleh mewujudkan kesan yang tidak diingini, seperti memusnahkan alam, membahayakan nyawa rakyat atau meningkatkan lagi pelepasan gas hijau. Masalah ini boleh dielekkan dengan melibatkan semua orang dalam proses perancangan, memberi perhatian kepada kesamarataan dan keadilan, di samping menggunakan pengetahuan masyarakat orang asal dan tempatan.

Jendela untuk bertindak sedang menyempit

Laporan “Perubahan Iklim 2022: Impak, Adaptasi dan Kerentanan” membekalkan maklumat serantau yang meluas untuk membolehkan Pembangunan Berdaya Tahan Iklim. Laporan ini menyatakan bahawa Pembangunan Berdaya Tahan Iklim sudah pun penuh cabaran pada tahap pemanasan pada masa kini. Usaha ini akan lebih mencabar lagi sekiranya pemanasan global melebihi 1.5°C. Hasil penemuan oleh IPCC ini menggariskan keperluan mendesak untuk tindakan iklim yang memfokuskan kesamarataan dan keadilan. Pendanaan yang mencukupi, pemindahan teknologi, komitmen politik dan kerjasama yang ikhlas boleh membawa kepada adaptasi perubahan iklim dan pengurangan pelepasan karbon yang lebih berkesan.

“Bukti saintifik adalah jelas: perubahan iklim ialah ancaman kepada kesejahteraan manusia dan kesihatan planet ini. Sebarang kelewatan dalam tindakan global yang bersepadu akan terlepas jendela untuk menjamin masa hadapan yang sesuai didiami yang sedang menutup dengan cepatnya,” tegas kata Hans-Otto Pörtner, Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja II IPCC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *