KANGKAR PULAI, JOHOR – 3 MAC 2022: Skim Jana Kerja merupakan salah satu teras utama yang digariskan dalam Manifesto Pilihan Raya untuk kawasan DUN N49 Kota Iskandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Calon PSM untuk Kota Iskandar, Arangkannal Rajoo @ Ara, memberi penerangan tentang cadangan Skim Jana Kerja ini dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Bilik Gerakan PSM di kawasan DUN Kota Iskandar pada hari ini. Turut hadir dalam sidang akhbar ialah Arveent Kathirtchelvan, Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Arveent berkata bahawa adalah amat penting untuk kerajaan mewujudkan Skim Jana Kerja supaya menangani isu pengangguran dengan lebih berkesan. “Daripada 100,00 orang pekerja Malaysia yang menetap di Singapura, lebih kurang 15,000 orang warga Johor telah hilang kerja akibat pandemik COVID-19. Kadar pengangguran di Johor telah meningkat daripada 2.7% pada tahun 2019 kepada 4.8% pada tahun 2021. Pengangguran anak muda sahaja sudah meningkat kepada 12%. Oleh sebab ini, kadar kemiskinan di Johor telah meningkat daripada 3.9% kepada 8%. Perniagaan di Johor juga merudum akibat ketiadaan pelancong Singapura sehingga 5-10% perusahaan kecil dan sederhana di Johor terpaksa tutup kedai. Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi di Johor, terutamanya di Johor Bahru, amat bergantung pada eksport dan pelancongan dari Singapura. Ini satu perkara yang buruk kepada ekonomi Johor. Oleh itu, kami membawa cadangan skim jana kerja untuk mewujudkan kelestarian ekonomi di Johor,” kata Arveent.

“Terdapat berbagai-bagai isu rakyat marhaen yang belum selesai. Harga sayuran di Johor meningkat secara mendadak, pengangkutan tempatan kurang, rumah warga marhaen diselenggara dengan buruk, rumah untuk rakyat biasa terlalu mahal dan rakyat Johor dilanda banjir dan pencemaran alam yang teruk. Isu-isu ini tidak menjejaskan orang kaya yang dilindungi oleh kekayaan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi Johor Bahru berpaksi kepada golongan kaya,” tambah Arveent. “Kehilangan kerja akibat pandemik menunjukkan kelemahan sistem kapitalis dengan pekerjaan swasta. Dalam sistem sebegini, hanya keuntungan majikan dipentingkan. Apabila berlakunya ekonomi merudum, pekerja yang harus tanggung segala kerugian. Ini mengakibatkan pekerja berada dalam situasi sangat tidak menentu. Kerajaan negeri harus mengambil tanggungjawab untuk memastikan kebajikan setiap anak Johor dipikul oleh kerajaan yang dipilih mereka.”

“Kita boleh menjana kerja baharu dalam sektor-sektor yang membuahkan hasil kepada rakyat marhaen dan menangani isu-isu yang dihadapi masyarakat,” tegas kata Arveent.

“Skim Jaminan Kerja Johor harus fokus pada penjanaan kerja yang bermanfaat untuk memenuhi keperluan rakyat Johor,” kata Ara, calon PSM untuk kawasan DUN Kota Iskandar. “PSM telah mengenal pasti 7 sektor yang boleh melaksanakan Skim Jana Kerja ini.”

7 sektor yang boleh melaksanakan Skim Jana Kerja untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu ialah:

  • Pertanian: Membuka tanah baharu dan melatih petani-petani baharu untuk bercucuk tanam supaya meningkatkan produktiviti makanan tempatan dan mengatasi masalah kebergantungan pada import makanan.
  • Pengangkutan awam: Mempertingkatkan dan memperkembangkan kemudahan bas, terutamanya laluan di kawasan petempatan rakyat yang berpendapatan rendah. Ini mewujudkan kerja pemandu bas, penyelenggaraan dan pekerjaan pejabat untuk mengkoordinasi perkhidmatan bas.
  • Perumahan: Pembinaan rumah mampu milik dan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah. Semua ini memerlukan pekerja.
  • Kerja sosial: Mewujudkan pekerjaan sosial akar umbi yang memfokus pada komuniti miskin tegar, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah untuk memahami keperluan mereka dan cabaran yang dihadapi mereka untuk menghapuskan kemiskinan dari pelbagai dimensi.
  • Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar: Memberi fokus kepada sungai dan paya bakau supaya bencana alam tidak berlaku dan masalah pencemaran tidak mengakibatkan masalah kesihatan kepada orang ramai, tumbuhan dan haiwan.
  • Kesihatan: Mewujudkan lebih banyak kemudahan perkhidmatan kesihatan seperti ambulans 24 jam, sekaligus mewujudkan pekerjaan baharu.
  • Hab Data: Pelan sekarang melibatkan RM17.5 billion dan akan mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan, akan tetapi kerajaan mesti pastikan bahawa pelaburan ini tidak berat sebelah ke pekerja asing atas nama kemahiran.

PSM juga menyarankan bahawa dana untuk penjanaan kerja ini patut datang daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor seperti Perbadanan Johor. PSM berpandangan bahawa keuntungan yang dijana oleh Kerajaan Negeri mesti disalurkan kepada rakyat negeri Johor untuk membangunkan mereka serta menjamin kebajikan hidup mereka. Pihak swasta tidak dapat membangunkan pekerjaan-pekerjaan ini kerana potensi keuntungan yang rendah. Dengan adanya dasar pelaburan kepada rakyat Johor sebegini, boleh membuahkan hasil dalam bentuk menjimat perbelanjaan dalam kesihatan, pengendalian gejala sosial dan pengurusan bencana alam yang dapat dielakkan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *