oleh Choo Chon Kai
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine. Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah tidak boleh diterima dan menyedihkan, kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa dan membawa malapetaka kepada rakyat Ukraine dan Rusia. Perang ini sedang membawa kemusnahan kepada nyawa, ekonomi dan alam sekitar di Eropah Timur, dan sedang mengancam keamanan di peringkat dunia.
Pencerobohan tentera ke atas Ukraine oleh tentera Rusia menunjukkan sifat nasionalis-chauvinis rejim Putin. Ia tidak akan membantu apa-apa dalam apa yang didakwa oleh Putin sebagai “penyah-Nazi-an”. Sebaliknya, pencerobohan Rusia ke atas bumi Ukraine hanya akan membantu dalam menyemarakkan sentimen nasionalis pelampau kanan yang anti-Rusia di Ukraine dan tempat-tempat lain.
Sambil mengecam tindakan semberono Rusia yang melancarkan pencerobohan tentera ke atas Ukraine, kita tidak harus melepaskan Amerika Syarikat yang menghasut perang itu daripada tanggungjawabnya. Tindakan agresif Amerika Syarikat yang mendesak untuk mengembangkan antik Perang Dingin abad ke-20 – NATO – menuju ke timur sehingga sempadan Rusia itulah yang memperhebatkan dan meningkatkan keadaan tegang pada masa kini.
Perang itu tidak pernah merupakan penyelesaian kepada konflik geopolitik, dan solusi cara ketenteraan hanya akan membawa kepada lebih banyak konflik. Hanya diplomasi yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati antara semua pihak dapat menyelesaikan persoalan keselamatan serantau yang kompleks.
Perang Rusia ke atas Ukraine akan menyekat lebih lanjut lagi ruang demokrasi yang sudah semakin mengecut di kedua-dua negara Ukraine dan Rusia, membawa kemusnahan kepada mana-mana gerakan masyarakat progresif yang mencabar pemerintahan kapitalis oligarki di negara-negara ini.
Oleh itu, kami menyeru:
- Pengunduran segera semua tentera Rusia dari Ukraine;
- Kembali kepada diplomasi untuk menyelesaikan konflik ini dengan cara yang aman dan saling hormat-menghormati;
- Hormati hak rakyat Ukraine untuk menentukan nasib sendiri secara demokratik, begitu juga bagi rakyat yang tinggal di wilayah Donbas;
- NATO harus menghentikan pengembangannya ke timur.
Kami juga menyanjungi dan menyatakan solidariti kami kepada rakyat Rusia yang berani yang berprotes di jalanan walaupun menghadapi penindasan oleh rejim yang semakin autokratik di Rusia.
Apabila dunia sedang berdepan dengan krisis kesihatan global, ketidaksamarataan sosio-ekonomi yang semakin teruk dan krisis iklim bertahap kepupusan, umat manusia tidak perlu satu lagi perang imperialis.
==========
Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Antarabangsa PSM.
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
2 thoughts on “Tolak perang di Ukraine”