SABAK BERNAM, SELANGOR – 18 FEBRUARI 2022: Pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam berpiket pada hari ini di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam kerana mereka tidak menerima bayaran gaji lebih 3 bulan!
Lebih kurang 100 orang pekerja pembersihan di 19 buah sekolah di sekitar Daerah Sabak Bernam tidak menerima gaji mereka sejak bulan November 2021. Pekerja-pekerja ini diupah oleh syarikat As Rezeki Resouces dan Panggilan Efektif Enterprise yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Mengikut Akta Kerja 1955, mana-mana majikan pun perlu membayar gaji kepada pekerjanya setiap bulan selewat-lewatnya pada 7 haribulan. Jadi, adalah jelas dua buah syarikat yang mengupah pekerja-pekerja pembersihan sekolah di sekitar Sabak Bernam ini telah melanggar Akta Kerja kerana gagal membayar gaji selama 3 bulan.
Pekerja-pekerja pembersihan yang tidak menerima gaji tersebut telah menghantar satu surat kepada PPD Sabak Bernam pada 31 Januari 2021 untuk mengadu tentang masalah mereka, tetapi masih tiada tindakan serius yang diambil oleh pihak PPD Sabak Bernam untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji sehingga hari ini. PPD Sabak Bernam sepatutnya bertanggungjawab dalam memantau prestasi syarikat kontraktor lantikan KPM ini. Oleh itu, pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang terpaksa hidup tanpa pendapatan dalam tempoh lebih 3 bulan lalu ini berpiket di hadapan PPD Sabak Bernam untuk menyuarakan keluhan mereka dan bertanyakan nasib mereka.
Pekerja-pekerja pembersihan sekolah ini telah mengemukakan 2 tuntutan kepada PPD Sabak Bernam, iaitu:
- Mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pekerja yang berlarutan sejak bulan November 2021;
- Menyenaraihitamkan segera kedua-dua buah syarikat kontraktor yang gagal membayar gaji kepada pekerja tepat pada tempoh masa yang ditetapkan di bawah undang-undang buruh, selepas semua tunggakan gaji mereka dijelaskan, dan melantik syarikat perkhidmatan pembersihan yang mampu menjaga kebajikan pekerja.
Pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang berpiket pada hari ini juga menegaskan bahawa selagi mereka tidak dibayar gaji 3 bulan yang tertunggak itu, mereka tidak akan turun bekerja.
Masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan sekolah ini bukannya sesuatu yang baharu, kerana ia pernah berlaku juga di tempat lain di bawah syarikat kontraktor yang lain. Ini merupakan sebahagian masalah dalam sistem penyumberan luar perkhidmatan sokongan (seperti pembersihan dan kawalan keselamatan) kepada syarikat kontraktor swasta. Jika pihak majikan itu menepati segala syarat yang ditetapkan dalam kontrak pun, pekerja-pekerja ini masih tidak mempunyai jaminan pekerjaan dan terus ditekan dengan gaji rendah pada paras gaji minimun. Jika adanya majikan yang bermasalah seperti yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam ini, nasib mereka adalah lebih teruk lagi.
Sistem kontrak memang menyusahkan pekerja bawahan dan memangsakan pekerja apabila pihak majikan tidak patuh pada undang-undang buruh. Kementerian Pendidikan tidak harus mencuci tangan dalam isu ini, kerana ia yang menganugerahkan kontrak kepada syarikat kontraktor yang bermasalah. Oleh itu, pihak kerajaan atau Kementerian Pendidikan harus bertindak segera dalam menyelesaikan masalah kebajikan pekerja pembersihan sekolah yang tidak dijaga ini. Untuk jangka masa panjang pula, sistem kontrak harus dihapuskan dan semua pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan harus diambil sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan.
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
2 thoughts on “Pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam tidak dibayar gaji 3 bulan”